NAK 'ISLAMIK' ATAU ISLAMIK?
(Lukisan Women Conversing, public domain. Kredit: metmuseum.org )
Ada sebuah pusat beli belah di sebuah negeri di Malaysia mengasingkan kaunter pembayaran mengikut jantina. Seorang kenalan saya takjub seperti sedang melihat keajaiban dunia yang kelapan. Menurut kenalan saya yang melihat kejadian itu, dia berasa keharuan sedang menjentik hatinya.
"Jauh beza sangat dengan negeri lain yang tak berapa islamik. Bila aku ke negeri yang ini aku rasa syahdu. Kalau waktu solat, Amier, masjid meriah. Subuh pun meriah." jelasnya kemudian mengatakan biarlah negeri itu kekal begitu. Saya yang mendengar luahannya cuma kata yang apa yang baru sahaja diludahinya itu adalah sampah. Bullshit.
Saya membalas dengan melepaskan tawa saya saja bila kenalan saya itu lumur saya dengan perkataan toksik, sesat, dan macam-macam tohmahan. Rasa sendu mencuit juga memikirkan betapa sempitnya pemikiran kenalan saya itu. Besarnya bak sarang burung pipit cuma!
Wahai... 'islamik' itu didasarkan oleh orang semacam kenalan saya itu cuma kepada stadium dan panggung wayang yang mengasingkan tempat ikut jantina, pusat beli belah yang mengasingkan kaunter pembayaran mengikut jantina, dan perlakuan berhenti imbas harga barang bila azan berkumandang sahaja. Kesian sungguh! Demikian dangkal orang seperti kenalan saya itu.
Saya kurang pasti di manakah letaknya 'islamik' itu bila mengasingkan kaunter pembayaran di pusat beli belah dan berhenti imbas kod barang bila azan berkumandang. Adakah Nabi Muhammad, ketika berdagang, menganjurkan berbuat yang demikian? Saya benar-benar ingin tahu, setakat pembacaan saya, belum pernah lagi saya menemukan perkara se-bullshit itu.
Teringat saya sebuah karangan almarhum Prof. Syed Hussein Alatas (Alatas) perihal 'Sastera Islam' dalam buku beliau 'Kita Dengan Islam: Tumbuh Tidak Berbuah'. Dalam penulisan itu, Alatas ada menerangkan tentang dua pembahagian fikiran: Agama Islam (iaitu agama anjuran Nabi Muhammad, khusus untuk orang Islam) dan nilai-nilai Islam. Saya cuma ingin fokus kepada nilai-nilai Islam. Negara/negeri/kerajaan 'islamik' yang menurut pemikiran dangkal macam kenalan saya itu adalah sampah semata. Yang lebih baik, menurut saya, sebuah negara/negeri/kerajaan yang Islamik itu adalah mengamalkan atau punya nilai-nilai Islam.
Apakah nilai-nilai Islam (yang universal) itu? Saya pernah disoal oleh Dr. Azhar Ibrahim akan perkara ini sewaktu kelas Sekolah Cita Mandiri di Mandala Kawah Buku. Saya yang kurang ilmu waktu itu cuma kata yang nilai-nilai Islam (yang universal) itu adalah semua nilai-nilai yang baik sebelum diperincikan lagi oleh peserta kelas yang lain---Saudara W.N Khuzairy memberi contoh nilai keadilan: pemerintah, rakyat biasa, dan hamba dipandang sama di sisi Tuhan.
Jadi, ringkasnya, sebuah negara/negeri/kerajaan yang mencegah jenayah, benteras rasuah, membasmi kemiskinan, juga menyediakan peluang pekerjaan dan kemudahan yang terbaik adalah sebuah negara/negeri/kerajaan yang lebih wajar dipanggil Islamik. Bukan semata negeri yang rehatkan operasi perniagaan kala orang solat Jumaat atau rakyat undi para lebai ketika Pilihan Raya.
Maksud saya, contohnya, apa guna negeri 'islamik' itu ada kaunter pembayaran ikut jantina, pemerintahnya orang beragama islam perut buncit pakai kopiah, laksana cuti hari Jumaat, azan pakai pembesar suara paling besar di dunia, dan belia mereka tak hina ulamak walaupun merempit atau 'terencat' kalau negeri itu kotor, infrastruktur mereka daif, sungai tercemar, hutan macam padang pasir, keperluan asas sukar dapat, jenayah berleluasa, dan rakyatnya sukar cari peluang kerja setimpal tingkat pelajaran?
Ingin ditambah lagi, nilai-nilai Islam itu tidak terhad dilakukan/untuk orang Islam semata. Alatas menganjurkan yang bukan Islam pun dapat menghidupkannya. Maka saya berpandangan yang pemerintah yang bukan beragama Islam pun boleh mengusahakan sebuah kerajaan yang Islamik. Tidak perlu, untuk sebuah kerajaan Islamik itu, ada lebai tua pakai serban yang cuma tahu cakap fasal agama untuk jadi pemerintah atau wujud undang-undang mengarut seumpama denda lelaki pakai seluar pendek semata paksa rakyat tutup aurat.
Moga ada usaha lebih giat untuk membetulkan kecelaruan yang dialami orang-orang senasib kenalan saya ini. Dalam usaha untuk membangun masyarakat progresif ini, ulamak-ulamak jahat berleluasa mengusaha kerja pembodohan umat. Mereka wajar ditentang. Kita tidak mahu 'manusia Islam yang lama' yang menurut Alatas adalah "mereka yang tidak sanggup menerima kemajuan pemikiran zaman sekarang, tidak sang-gup membuka pintu ijtihad, tidak sanggup berhujah dengan tenang dan tepat, tidak sanggup melepaskan dirinya dari kongkongan pemikiran kuno.". Kesanggupan mereka cuma "Berteriak sekuat-kuatnya, hingga ketiaknya basah, bahwa kita sekalian mesti kembali kepada al-Quran dan Hadis, bahwa kita mesti menegakkan Syariat Islam, bahwa kita mesti memperkuat iman, dan bahwa kita mesti tunduk kepada pendapat-pendapat yang lampau.". Orang-orang begini, yang sehingga anggap 'islamik' itu cuma tutup kaunter bila azan dan seumpamanya, adalah pathetic.
Mengakhiri tulisan ini, saya sertakan karangan Alatas yang turut datang dari tulisan 'Kita Dengan Islam': "Adalah penting supaya masyarakat lebih teliti dan lebih waspada dalam memilih pimpinan berfikir. Jangan terpedaya oleh mereka yang hanya sanggup mengkobar-kobarkan semangat, mendengungkan ayat-ayat al-Quran, dan catatan-catatan Hadis, dengan jalan pemikiran yang berlintang-pukang, jahil dalam ilmu dan persoalan, membawa ummat Islam ke jalan buntu. Yang demikian ini banyak berkeliaran di kalangan kita. Mereka ini mesti dibedakan daripada guru-guru Agama yang jujur dan saleh, yang tidak bergaya sebagai ahli dalam berbagai hal, yang memberi petunjuk kepada penghidupan sehari-hari tanpa mencampuri urusan yang mereka tidak kuasai. Guru-guru agama yang demikian ini patut dihargai dan dipelihara oleh masyarakat."
Nota: 'terencat' di sini bukan bermaksud mereka yang dilahirkan istimewa. 'Terencat' yang saya maksudkan adalah mereka yang buat perlakuan dungu untuk raih perhatian khalayak.


Apa guna Islamik dari segi nilai seperti dibandar-bandar besar yang berjaya memenuhi hampir semua keperluan asasi manusia, sedangkan rohani mereka kosong seperti tin-tin minuman keras yang bertebaran seusai sambutan tahun baharu pagan?
BalasPadamYa, apa dikatakan saudara itu ada asasnya, tapi apa guna kemodenan dalam kehidupan seharian kalau rohaninya makin menjauh daripada menyembah Tuhan Yang Esa. Teramat dangkal pemikiran seperti itu, saudara.
Tidak dinafikan, di negeri yang dikatakan Islamik itu masih ada lagi kesilapan dalam mencerminkan apa itu Islam di mata rakyat jelata lain yang kafir. Tapi setidaknya, mereka sedar apa tuntutan dalam Islam itu sendiri. Apa guna nilai-nilai Islam (dari sudut pandang saudara) itu banyak diberi, akan tetapi masalah/gejala yang makin merosakkan nilai kemanusiaan berleluasa seperti aktiviti persundalan, hiburan melampau dan tempat-tempat judi.
Kalau nak disebut nilai-nilai yang disebut oleh saudara, negara Jepun lagi hebat dalam nilai tersebut. Akan tetapi mereka makin menjauh daripada agama, malah lebih sombong kepada Tuhan Yang Esa. Jadi, apa guna penerapan nilai-nilai tersebut tanpa pemahaman terhadap tuntutan dalam agama yang lebih utama?
*Nota kaki; dalam penulisan jikalau tidak jumpa perkataan yang sesuai dengan "bullshit" tak perlu tulis. Kalau hanya sekadar menambah "se" hanya untuk memenuhi nafsu saudara. Nampak agak kebudak budakan di situ.
Maseh juga disebut islamic walau un dah tak cakap pasal hudud?
BalasPadam