CERPEN: SEJATI

    Bulan lalu, saya ada menukang sebuah cerpen untuk pertandingan anjuran sebuah universiti awam dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Berkat pertolongan Nisa (anak teater saya) yang memaklumkan---dia kongsikan pautan siaran Facebook milik seorang pengarang dan juga merupakan pensyarah di universiti sama.
    Sebenarnya agak rungsing memikirkan cerpen yang bagaimana perlu saya tuliskan. Ralat. Bila bermain dalam ruang DBP perlu kawal nafsu. Sehari sebelum tarikh penghantaran, petang, sebelum tamat bengkel menulis cerpen diatur Dr. Mawar Safei, saya sempat tanyakan pendapat Puan Salina Ibrahim tentang cerpen saya tukangi. "Sedap tulisan awak." Katanya lepas tatal cerpen ini dalam tablet saya. Ada ketawa sikit-sikit. "Hantar saja." Kata Puan Salina Ibrahim lagi dengan nada mesra. Betullah katanya. Cuba. Menang, kalah, lain cerita. Hantar saja.
    Malangnya, sehingga ke hari ini tiada sebarang makluman dari pihak penganjur hatta emel balasan karya diterima. Sebarang media sosial untuk memantau juga tiada. Maka saya anggap tiada rezeki. Walau bagaimanapun, serasa membazir kalau karangan saya itu tidak dikongsikan ke khalayak. Jadi, di bawah ini aku kongsikan versi penuh cerpen saya hantar hujung bulan Jun lepas. Saya letakkan 'Sejati' sebagai tajukknya---tiada wahyu untuk berikan tajuk apa waktu itu (sampailah ke hari ini). 



    Dia marah. Sungguh marah. Mungkin sehingga dia mati nanti, orang Melayu di Antah Berantah sana akan masih tersekat dengan persoalan kewujudan Hang Tuah cuma. Sejati Mukhtar memicit-micit pangkal hidungnya dengan jari-jari kurus tangan kanan. Di massa orang sedang bingit dengan Hang Tuah. Menurut berita, seorang menteri berkacamata dan buncit pula perutnya itu sedang berpulun mempersiap sebuah majlis besar merasmikan kitab alih aksara manuskrip Hikayat Hang Tuah. Diklaim paling awal ditemukan. Pelannya, kitab itu nanti akan dirasmi pemimpin  (diktator?) juga bertubuh besar Antah Berantah.

    Tidaklah dimaklumi pihak media dan para wartawan akan khayalan menteri gemuk itu yang semuanya nanti diwajibkan berbusana Melayu dan apabila usai perasmian, akan bergema laungan ‘Tidak hilang Melayu di Dunia!’ sebanyak tujuh kali oleh Pemimpin Antah Berantah; Bertambah padu lagi disahut-sahut rakyat Melayu di sana. Membayangkan hal itu bikin air liur menteri yang besar itu meleleh keluar dari mulut yang terukir senyum, tumpah ke kotnya sewaktu kelalaian. Dia tidak perlu risau akan keadaannya dan Sang Pemimpin berkulit tampak seakan haiwan terlarang berbaka yorkshire itu sewaktu Pilihan Raya. Mereka berjaya mengalih pandangan rakyat akan kerja keji yang berlangsungan. Dia dan Sang Pemimpin akan masih memegang kuasa mentadbir Antah Berantah. Syaitan melompat gembira dengan lidah terjelir-jelir. Dapatlah dia lagi keriangan mengumpul (curi) kekayaan dan melanggan wanita.

    Memikirkan hal di Antah Berantah bikin Sejati Mukhtar mual. Dia harus melepaskan seketika cerita celaka itu dan tumpu pada cerita dia di kota penjajah. Kini dia di London. Perempuan dengan tiga tahi lalat kecil di pipi kiri yang gemar akan penampilan ringkas itu mahu berkunjung ke British Library. Dia bersama Dr. Nadia Uthman dari Universiti Kebangsaan Antah Berantah (UKAB) berkongsi ruang dengan tiga warga Malaysia dan seorang warga Singapura. Semuanya Melayu. Mereka mendiami hostel Kabannas London St Pancras, letakknya lebih kurang 150 meter dari British Library dan hanya perlu seberang jalan untuk ke stesen kereta api. Mereka makan pizza sewaktu bulan bulat cerah dilindung awan tebal sayup-sayup menonjolkan indahnya.

    “Aku cemburu dengan Malaysia dan Singapura!” Luah Sejati Mukhtar lalu meneguk cola, warga Malaysia dan Singapura kehairanan sejurus itu. “Maksud kau?” Soal salah seorang warga Malaysia, Layali Idris yang panjang dan kehitaman rambutnya. Mereka belum tahu Sejati Mukhtar dan Nadia Uthman adalah akademia.

    “Korupsi.” Nadia Uthman, persis pelakon Vanidah Imran dari Malaysia wajahnya, bantu menjawabkan. Dia kawan lama yang mengerti. Warga Malaysia dan Singapura tampak keharuan. Setiap kita ada geloranya masing-masing, jelas seorang lagi wanita warga Malaysia dengan sekeping pizza di tangan. Lupa namanya tapi rambutnya yang blonde pendek seperti penyanyi Anita Sarawak itu melekat kuat dalam ingatan. 

    “Yang anehnya, kita terima bala korupsi walaupun kita angkat teks yang sama.” Kata Amalina Johari dari Singapura dengan sinis. Setelah digali, barulah diketahui yang gadis itu pelajar Pengajian Melayu dari National University of Singapore (NUS). Turut ke London dia, secara solo, untuk menjejaki Hikayat Nabi Yusuf disimpan di British Library. Tambah Amalina Johari lagi: Sulalatus Salatin diangkat, tapi berapa ramai yang ambil iktibar peristiwa kurap korupsi di dalamnya?     

    “Bagaimana pula dengan Hikayat Hang Tuah? Kenapa penguasa terlalu mengangkatnya?” Sejati Mukhtar menambah persoalan lagi. Semua tercengang termasuk Amalina Johari yang menunggu jawapan dengan mata bulat bersinar. “Teks bikinan golongan feudal Melayu ini mahu mempertegas yang hamba seperti Hang Tuah adalah hamba yang kita semua wajar contohi. Mahu kita jadi hamba yang setia mutlak. Hamba sebeginilah yang diidam penguasa!” 

    Malam itu malam yang hangat. Meluahkan kerunsingannya agak melapangkan. Masing-masing negara berjiran (Malaysia, Singapura, dan Antah Berantah) bertukar sudut pandang. Antah Berantah, yang letaknya bersebelahan Malaysia dan Singapura, semakin dahsyat korupsinya. Bagaimana hendak mengangkat tamadun Melayu ke peringkat antarabangsa kalau Antah Berantah demikian rupa? Kita mengagung-agung teks tunggangan feudal. Kita membincangkan hal enteng. 

    “Ada ubatnya? Apa ubatnya?” Soal Nadia Uthman, akademia Fakulti Ilmu Sains. Mulanya dia anggap ajakan ke London adalah semata liburan melepas lelah bekerja. Tidak sangka ia sebuah misi serius.

    Bertahun lalu membaca makalah Prof. Shahruddin Maaruf, hati Sejati Mukhtar kuat mengatakan jawapannya ada di sini. “Penawarnya ada di sini. Di Kota London ini. Dan esok pagi kita akan menemukan penawar itu.”


***


    Nancy, kurator British Library yang berjaket blazer warna hijau lumut dengan blouse putih berpotongan leher bulat yang sederhana menyambut kedatangan Sejati Mukhtar dan Nadia Uthman dengan senyum mesra siang itu.

    “Ubatnya di sini? Di British Library?”

    Senyum manis Nancy berjangkit kepada Sejati Mukhtar. Dia mengangguk membalas pertanyaan sahabatnya.

    Nancy membawa pasangan sahabat itu mendampingi sebuah naskah terbuka beriluminasi warna warni penuh pesona. MSS Malay X.1. ‘Taj Us Salatin’ Malangnya di antara tangan mereka dengan naskah itu ada peti kaca yang membentengi.

    “Gusti Allah! Luar biasa indah!”

    “Taj Us Salatin? Ini penawarnya?”

    “Iya. Ini penawar kita, Nadia.”

    Nadia Uthman kelihatan bingung manakala Sejati Mukhtar dengan latar pengajian Melayu tampak gamam. Nancy yang mesra bantu menjelaskan, “Taj us Salatin, atau Mahkota Raja-Raja adalah sebuah manuskrip Melayu yang asalnya disusun di Sumatera Utara, Aceh pada tahun 1603 oleh Bukhari al-Jauhari. Di dalamnya panduan etika untuk para penguasa dengan nasihat tentang bagaimana untuk memerintah dengan betul, menekankan garis panduan untuk pemerintahan yang adil, serta tadbir urus yang baik; Selaras dengan tradisi Islam. Ia mengingatkan penguasa tentang peranan mereka sebagai hamba Allah di muka bumi.”

    Bagaimana Taj Us Salatin mampu mengubati? Nadia Uthman masih kebingungan. Sambil meninjau Taj Us Salatin dalam peti kaca, Sejati Mukhtar membicarakan: “Dalam sejarah kebudayaan dan pemikiran Melayu, dunia idea-idea tidaklah keseluruhannya dimonopoli oleh gaya pemikiran feudal. Sejak berabad-berabad yang silam, dan lama sebelum penjajahan Barat menebarkan kekuasaan dan pengaruhnya, pemikiran dan jiwa feudal terpaksa bersaing dan juga digugat oleh suatu lagi gaya pemikiran utama, kemanusiaan Melayu.” 

    Nadia Uthman takjub. 

    “Setiap kali ada rombongan dari Malaysia dan Antah Berantah datang melawat, mereka tertarik dengan naskah terbuka Taj Us Salatin kerana iluminasi yang paling cantik dalam simpanan kami di sini.” Nancy yang tak lekang dengan senyum itu bercerita. Jelasnya lagi, pengunjung-pengunjung setakat puji cantik sahaja. Tiada tindakan susulan selepas itu.

    “Mungkin merasa sudah cukup dengan Hikayat Hang Tuah dan Geneologi Raja-Raja. Tapi tak sayangkah kamu semua dengan warisan kamu yang ada di sini?” Soal Nancy. Ingin tahu. 

    Bungkam. 

    Segala isi dalam British Library bungkam. 


***


Menipulah kalau mengatakan kerja merumikan Taj Us Salatin adalah sebuah kerja yang menyenangkan. Dalam takjub, ia melelahkan. Kadang menyiksakan. Namun, kerana matlamat yang ingin dituju, dia menyambung asanya. Mujur kerja rumit merumikan ini dibantu penyelidik-penyelidik dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) lokal, Malaysia, dan Singapura. Sebagai ketua projek, Sejati Mukhtar memberitahu sidang media yang tidak lama lagi ia akan diterbitkan dalam bentuk buku. Ia akan dijual dengan harga mampu milik untuk bacaan semua. Pelannya, Taj Us Salatin yang selesai dirumikan itu akan dirasmikan pada hari sama perasmian kitab Hikayat Hang Tuah yang dikatakan, sekali lagi, (kononnya) paling terawal yang ditemukan berbanding sebelum ini yang diusaha Menteri gemuk yang sama dan dirasmi oleh Pemimpin Antah Berantah yang sama. Mereka menang Pilihan Raya lampau—dan punya kuasa (peluang mengaut kekayaan) untuk selama tiga tahun setengah sahaja lagi.

Bila salah seorang dari sidang media, lelaki Melayu yang gebu berkemeja corak geometri kotak hijau pudar lengkap berseluar kelabu keputihan dengan rambut iras gaya Elvis Presley, bertanyakan perihal kelainan dibawa Taj Us Salatin dengan dua naskah diangkat penguasa Antah Berantah, Sejati Mukhtar mula dengan senyum menampakkan barisan gigi putihnya yang menawan. Dengan tenang jawabnya, “Kelainan dibawa antaranya adalah aliran, idea, dan nilai ditonjolkannya. Di saat kita lihat Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah pada dasarnya mendukung nilai-nilai dan kepentingan golongan pemerintah masyarakat Melayu feudal, dan segala idea, nilai, ukuran baik-buruk, dan betul-salah ditentukan juga oleh mereka, Taj Us Salatin menzahirkan yang berlawanan. Apa yang mulia bagi yang satu dianggap dosa besar pula oleh yang satu lagi.“

    Wartawan wanita chindia dengan penampilan seakan Bjork, berkemeja putih krim, dan seluar hitam pula bertanyakan tentang kandungan di dalam Taj Us Salatin dengan penuh minat di wajah. Juga dengan tenang Sejati Mukhtar menjawab, “Taj Us Salatin menyamaratakan manusia. Ia menyelar pemimpin yang hidup menurut nafsu. Pemimpin harus adil. Pemimpin itu bekerja, bukan anti kepada kerja. Pemimpin itu tidak dikaitkan dengan jawatan besar dengan kemewahan dan keistimewaan. Pemimpin ada kuasa tetapi kekuasaan pula tidak bererti lagi hak melakukan segala dengan sewenangnya. Pemimpin-pemimpin zalim, menurut Taj Us Salatin, adalah bayang-bayang iblis, khalifah syaitan, seteru Allah dan Rasulullah!”


***


    Tersedak Pemerintah Antah Berantah, Menteri yang besar, Ketua Agama yang ketiga-tiganya berlabuh punggung tua mereka atas sofa menghadap tivi di ruang tamu rumah agam pemerintah. Semangkuk Supering dia lambung ke belakang. Lantai marmar putih ada noda-noda jingga. Segan apa? Malu apa? Esok siang akan ada kuli membersihkan rumahnya macam selalu. 

    Pemerintah Antah Berantah yang bertubuh besar dan kulit merah jambu pudar seperti haiwan terlarang baka yorkshire itu mulai murung. Dia jalan mundar-mandir di belakang sofa sementara sidang media itu masih bersiaran “Celaka! Celaka! Perempuan ini bahaya. Aku sangkakan yang semua ancaman sudah lenyap.”

    “Tenang, Pemerintah! Tenang, bosku! Saya dan Ketua Agama akan bereskan. Saya akan hubungi segera Zakr Turun. Ketua Agama pula akan membuat fatwa melarang orang ramai membaca Taj Us Salatin. Haram hukumnya! Perempuan itu… Perempuan itu pula akan kita canangkan membawa ajaran liberal!” Menteri yang buncit perutnya berjaya melegakan Pemimpin Antah Berantah yang gundah gulana laksana kucing hilang anak itu. 

    Pemimpin Antah Berantah yakin dengan strategi Menterinya yang bermata empat dan boroi itu. Bertambah lega lagi apabila Zakr Turun diarahkan melakukan kerja ini. Lagipun, Zakr Turun perlu turun membalas jasa. Pakar perbandingan agama dengan ijazah ilmu kimia itu perlu berterima kasih kerana dilindungi dan dapat menetap secara percuma di sini. Kalau tidak kerana ihsan Pemerintah Antah Berantah itu mungkin dia sudah padam dari dunia. Bagi Zakr Turun yang hitam manis berbulu lebat, berada di negara selain Antah Berantah adalah seperti sengaja masuk ke mulut buaya. Dia dikehendaki oleh ramai di luar sana. Ramai tidak tahu rekod jenayah Zakr Turun agak luar biasa!

***

    Sabtu jam sembilan petang itu Zakr Turun menendang sofa kulit hitamnya sejurus terima panggilan telefon dari Menteri yang besar. 

    “Apa kau buat?”

    “Berzikir.”

    “Bohong!” Benar tebakan Menteri mata empat yang boroi itu. Zakr Turun, yang cuma berseluar pendek kuning pudar itu, sedang menekuni filem Hollywood tanpa sensor di kaca tivi di apartmen luas letak di kota kotor tengah Antah Berantah. Sambungnya, “Apa-apa pun, aku ada tugas untuk kau.”

    “Tugas apa?”

    “...........................                                                                                        .”

    “Apa? Kau nak aku ……………………………………………?”

Zakr Turun resah. Rungutnya, kenapa dalam ramai-ramai orang, dia juga yang terpaksa melakukan arahan orang atas itu? Filem di tivi dibiar berlangsungan. Dia, seorang bukan warganegara, yang sudah muak dan lelah. Kerap kali dia membalas budi. Mungkin sudah sampai waktunya dia melakukan ‘persembahan akhir’. Lagipun, menerima peluang ini bermakna dia dapat melepas dendam kepada wanita. Dia benci wanita seperti Sejati Mukhtar. ‘Pakar perbandingan agama’ itu ditendang keluar dari Malaysia dulu pun kerana gerakan kumpulan wanita.

Perasmian penerbitan Hikayat Hang Tuah dan Taj Us Salatin berlaku tujuh hari lagi. Keduanya di Pinggang Belantik—tiga buah dewan di tengah-tengah Antah Berantah.

Filem biar dimainkan. Zakr Turun menderap ke dapur. Ingatan dia bawa ke zaman belajar kimia dulu. ‘Kimiya al-Sa’adah’ di dapur lantai marmar putih itu ditutup dengan kain buruk. Ia adalah TATP, triacetone triperoxide.


***


    Orang sudah muak dengan Hikayat Hang Tuah. Resam manusia. Kadang mereka perlu yang baharu. Warga Antah Berantah lebih tertumpu kepada Taj Us Salatin yang kira mereka kontroversi itu. Makanya, lebih ramai orang di dalam Dewan Pinggang Belantik Dua yang merasmikan kitab karangan Bukhari yang Jauhari itu berbanding di majlis perasmian di Dewan Pinggang Belantik Satu diurus Menteri yang besar dan berkaca mata, dihias pula dengan kehadiran Sang Pemimpin Antah Berantah yang setia berperut buncit dan tona kulit seperti haiwan terlarang baka yorkshire itu.

    Sepatutnya bukan Sejati Murni sahaja yang terlibat dalam perasmian. Dalam rancangan, mereka mahu menjemput Dr. Azhar Ibrahim Alwee dari NUS. Namun, malangnya dia diharamkan daripada masuk dek fatwa daripada Ketua Agama misai kontot dan berjanggut seperti kambing yang setia dengan kopiah putih itu. Atas arahan Sang Pemimpin, Faisal Tehrani juga menerima nasib yang sama. Jadi dalam bangunan gaya brutal menawan dihiasi pohon-pohon hijau itu,Sejati Murni yang datang bersendirian itu sahajalah yang memberi ucap rasmi. 

    Nadia Uthman, sahabatnya, tidak dapat hadir kerana demam panas. Dia akan menemani perempuan dengan tiga tahi lalat di bawah mata itu melalui tivi.

    Dalam ucapannya, Sejati Mukhtar yang mengenakan kebaya kuning muda dengan sulaman berwarna emas dan sepatu hitam berkongsikan pada khalayak perihal cerita Munshi Abdullah. Di dalam bukunya, Kisah Pelayaran Abdullah, ada menyinggung peri penting keadilan ditegakkan di dalam negeri. Adalah amanah kepada pemerintah itu memastikan kebajikan rakyatnya terjamin. Munshi Abdullah menganjurkan supaya penguasa feudal Melayu merujuk Tajussalatin sebagai pedoman. Yang menghadiri dan mendengar melopong. Takjub.

    “Melayu tidak boleh dibiar terpisah dengan akal dan keadilan. Itu identiti kita. Identiti kita, Melayu, bukan busana dipakai elit feudal dahulu itu. Bukan juga ketuanan dan sikap rasis. Bukan juga Islam radikal dan amalan keji untuk kuasai politik… Saya percaya, Tuan-tuan dan Puan-Puan, budi yang mampu membantu meninggi martabat kita; Mengangkat tamadun kita hingga lebih zahir gergasi di mata dunia…” Sejati Mukhtar jeda dalam ucapnya. Mata perempuan itu merenung lautan manusia yang meluas itu. Dalam masa yang sama, Zakr Turun, yang memanfaatkan kerumunan yang ada, merenangi lautan itu. Dia semakin ke hadapan. Ada buah tangan: bahan padat kering yang sudah mengkristal. Serbuk putih sensitif dengan suhu panas. 

     “Perempuan dengan tiga tahi lalat di bawah mata…” Desis hati Zakr Turun. Semakin dekat. Dia nekad.

     Mata Sejati Mukhtar berjabat dengan mata Zakr Turun.

    ………………………………………………….

    ………………………………………

    ………………………….

    ………

    

***

    “Abang, lekas! Ada bom meletup di kota! Sejati di kota!” Nadia Uthman cemas menelefon suaminya yang berada di Fakulti Pendidikan UKAB. Suku jam kemudian, Nadia Uthman dibawa suami dengan kereta segera ke kota.

    Jalan ke tengah kota sesak. Laluan ke sana dihalangi. Nadia Uthman tak dapat berdiam. Tangannya terketar-ketar. Gegar ini berlaku tiba-tiba. Sewaktu dia menonton perasmian Taj Us Salatin melalui kaca tivi, dewan di tengah kota itu meletup tatkala Sejati Mukhtar di pertengahan ucapannya.

    Tanpa fikir panjang, wanita persis Vanidah Imran itu keluar dari kereta. Mujur tidak bertumit tinggi. Nadia Uthman yang sedang demam itu menderap laju menuju ke dewan diberi nama Pinggang Belantik Dua yang jaraknya kurang lebih 100 meter dari situ.

     Orang awam berkumpul di kawasan kejadian meskipun hangat. Ada asap hitam berkepul-kepul keluar dari dewan yang musnah separuh itu. Kecoh dan riuh. Berpusu-pusu ahli bomba bertugas. ada kumpulan paramedik membawa masuk mangsa dalam ambulans. Ada yang cuba diselamatkan di situ juga. Binaan dewan sebahagiannya musnah. Seluruhnya dijilat api. Ada batu bata bersepahan. Mayat-mayat bergelimpangan. Ada yang separuh dijilat api. Tak lupa ada yang sepenuhnya terbakar. 

    “Tuan, mana Sejati Mukhtar? Mana kawan saya? Tolong, tuan.” Sejurus sampai dia mendapatkan seorang ahli bomba hitam manis yang berkeringat dan berbadan tegap berhampirannya. Lelaki itu menggelengkan kepala perlahan. Nadia Uthman yang tersentak jatuh melutut atas tanah.

    Empangan air matanya pecah. Hatinya kaca pecah ke lantai. Sahabatnya sudah tiada. Sejati Mukhtar sudah tiada.

Dalam hati dia bersoal: Tuhanku, apa salah aku? Apa salah Sejati? Kenapa harus begini? Siapa pelakunya? Adakah ini kerja diktator gemuk itu?

    Dia tahu Tuhan maha kasih mendengar.

    Tidak lama kemudian, Nadia Uthman menerima e-mel. Ianya dari Sejati Mukhtar. Kandungannya pautan untuk video durasi 30 minit, Taj Us Salatin dalam Portable Document Format (PDF), dan sedikit ucapannya di permulaan e-mel. Antaranya berbunyi begini: “Saya percaya budi yang mampu membantu meninggi martabat kita; Mengangkat tamadun kita hingga lebih zahir gergasi di mata dunia. Budi itulah yang dikatakan nikmat rafik kerana membezakan kita dengan binatang; Menentukan kebahagiaan dan kedukaan kita; Budi itulah jua yang memelihara kita daripada kehinaan dan menjaga kesejahteraan pula.”

    Seorang perempuan tua berbaju kurung dan berkain batik dua meter darinya juga menerima e-mel sama. Turut sama tiga remaja lelaki yang salah seorang darinya sedang merakam kejadian di Pinggang Belantik Dua ini dengan telefon hitam Samsung miliknya. Semacam wabak, semua orang di situ… Bukan… Seluruh Antah Berantah menerima e-mel dari Sejati Mukhtar itu! 

    Si hitam manis iras pelakon Perempuan Melayu Terakhir itu perlahan bangun dari jatuhnya. Dia meninjau sekelilingnya dan terpana. Ucap dari bibir Nadia Uthman, “Aku tidak melihat semua ini selain keindahan.”

Warga Antah Berantah ralit dengan Taj Us Salatin. Ralit dengan video pesanan akhir Sejati Mukhtar. Ada yang takjub. Ada yang keharuan. Ada yang mulai insaf. Mereka memperkatakan perihal Sejati Mukhtar, juga Taj Us Salatin, dan juga kerja keji Sang Pemimpin (Diktator). Suara-suara bingit menyatu tadi mulai bungkam. Segalanya sunyi. 

    Sunyi.

    Indah.


Tamat.


Ulasan

Catatan Popular