TIGA CERITA DARI CHERITA BUALAN
Alkisahnya pada petang tadi, kurang lebih jam 3.30 petang 25 September, aku ketemukan sebuah buku tulisan bekas residen British Pahang, C.C Brown yang terbit tahun 1948 di Singapura. Ringkasnya, buku dengan judul 'Cherita Bualan' oleh Charles Cuthbert Brown adalah koleksi cerita-cerita pendek mengenai kehidupan sosial, adat istiadat, politik dan kerajaan Tanah Melayu.
1. CERITA 1: PUKUL ANAK SINDIR MENANTU
Adalah lebih kurang 50 tahun sudah maka pada suatu hari dua orang anak raja di Kuala Kangsar telah dipersilakan oleh Tuan Residen bermain tenis di rumahnya. Maka kedua-duanya pun suka sangat bermain lagi pandai, Tuan Residen pun demikian juga. Maka pembaca-pembaca pun terlebih maklumlah barang siapa hendak main tenis itu patutlah ia memakai kasut yang bertapak getah dengan tumitnya pun rendah. Maka sebab pun begitu ialah supaya jangan kita tergelincir pada ketika sedang bermain itu dan supaya padang main tenis pun terpelihara daripada bekas-bekas kaki yang boleh merosakkan padang datar itu. Maka pada hari yang tersebut itu yang seorang anak raja itu telah terlupa membawa kasut yang berpatutan, hendak balik ke istana mengambilnya pun sudah tak dan (sempat). Oleh itu, fikir hati dia "biar aku main dengan memakai kasut yang ada ini, insya-Allah tak jadi mengapa(apa-apa)," dan dia pun bermainlah. Akan tetapi dia juga bernasib dia pada hari itu, kerana sebelah pagi telah turun hujan, menjadi lembaplah sedikit padang itu, tambahan pula kasut yang dipakainya pun tinggi juga tumitnya. Oleh yang demikian di mana-mana yang ia berlari sedang bermain itu ada lah bekas tumit kasut itu merata-rata padang dan susahlah hatinya melihatnya. Di dalam itu pun berjurus juga ia bermain, sehingga kalahlah Tuan Residen berlawan dengan kedua anak raja itu. Maka Tuan Residen pun puas hati kerana dia ahli permainan tenis itu sangat-sangat dan tidak sekali-kali disangkakannya begitu pandai kedua anak raja itu bermain. Oleh itu katanya, "Marilah kita cuba sekali lagi, biar saya main belah sana pula." Maka setelah bermain itu barulah Tuan Residen melihat bekas kasut anak raja itu merata-rata padang tempat mereka bermain tadi, dan ia pun marah dalam hatinya sebab disayangkannya padang yang elok datarnya itu sudah terpunah begitu, tetapi hendak menegur anak raja itu pun tidak sampai hatinya.
Maka dilihatnya isterinya duduk memandang permainan itu, lalu ditegurnya "Hai, terlupakah awak menyuruh tukang kebun menjaga jangan padang ini terpijak-pijak dek kerbau lembu!!!"
2. CERITA 3: TERKELIRU
Adalah pada suatu hari, lebih kurang 40 tahun sudah, maka Sultan Brunei telah berangkat ke Singapura hendak berjumpa dengan Tuan Gabenor. Maka yang menjadi Pemangku Gabenor pada masa itu ialah seorang pegawai yang berpengetahuan sangat luas dalam Bahasa Melayu. Maka ianya telah mempersilakan Sultan Brunei berangkat ke Government House santap teh bersama-sama dengan dia, kedua suami isteri sahaja dahulu, kemudian barulah dijamu besar seperti biasa.
Maka sebelum tiba raja, sudah Tuan Gabenor mengajar isterinya dalam bahasa yang patut dibahaskan kepada raja supaya jangan tersalah ia bertutur kelak, istimewanya diberi ingat kepada isterinya iaitu bila-bila hendak bercakap dengan raja seperti Sultan Brunei hendaklah bertuanku.
Maka setelah raja sampai, maka duduklah ketiga-tiganya sambil-sambil minum teh sambil-sambil bercakap. Maka diperhatikan oleh Tuan Gabenor yang isterinya sungguh pun menjawab bila-bila raja bercakap kepadanya, tetapi itu pun dengan sehabis-habis pendeknya sahaja dan sekali pun tidaklah ia sendiri mulai cakap kepada raja, hanya menjawab sahaja.
Maka setelah Sultan Brunei berangkat balik, maka kata Tuan Gabenor kepada isterinya, "Mengapakah tadi saya tengok awak bergaya seperti hendak bercakap juga kepada raja, tetapi akhirnya sepatah pun tidak keluar, pada halnya bukan awak tak biasa bercakap Melayu, berbahasa kepada raja pun tahu juga?" Maka jawab isterinya, "Sebenarlah bagaimana kata awak itu, saya pun hendak juga bercakap kepada raja tadi, tiba-tiba terkeliru pula rasanya sebab saya kurang ingat akan ajaran awak, iaitu bila bercakap dengan raja patutkah kata tukang atau taukeh, itulah sebabnya yang saya tidak bercakap!"
3. CERITA 5: TAK SUDAH SELUANG MELAUT
Sebermula maka ada lah pada tahun 1921 saya berjawatan di Kuala Kangsar menjadi Collector, dan biasalah saya mudik Sungai Perak mengutip hasil, membicarakan perkara tanah dan lain-lainnya.
Maka pada suatu hari saya telah sampai ke sebuah kampong yang jauh ke hulu, boleh dikatakan tempat yang sunyi sungguhlah saperti kata orang padang jarak, padang tekukur, dan hajat saya hendak melihat bagaimana rupa hal kehidupan orang daerah itu. Maka Penghulu Pulau Kemiri pun membuat rakan saya dan tengah berjalan tiba-tiba katanya, "Di kampung ini ada seorang yang tahu bercakap bahasa tuan." Maka fikir hati saya haruslah orang itu orang muda yang baharu lepas sekolah, dan saya pun kata begitu. Maka jawab penghulu, "Bukannya, tuan; dia itu orang tengah (pertengahan) umur yang tak pernah bersekolah."
Maka saya pun hairan, kerana pembaca-pembaca pun sedia maklum, pada zaman ini di hulu-hulu sungai hendak mencari orang yang tahu bercakap Inggeris usahkan orang tengah (pertengahan) umur, orang muda pun jarang berjumpa. Maka kata saya pula, "Marilah kita mendapatkan orang itu, tok penghulu."
Maka berjalanlah ke darat sampai ke sebuah rumah lalu dilaungkan tuan rumah. Maka ia pun turun lalu ditegurnya saya dengan bahasa Inggeris, kata-nya "Good morning, sir." Maka saya pun tercengah kerana orang itu ialah saperti kata penghulu tadi orang tengah (pertengahan) tubuh lalu dan rupanya serta pakaiannya pun cara orang hulu sungai benar. Maka saya pun bertanya, "Mika (awak [loghat Perak]) mendapat pandai bercakap orang puteh ini di mana?" Langsunglah ia bercetera(bercerita?).
"Ada lah," katanya, "lebih kurang dua puluh tahun sudah maka pada masa itu saya sudah mendapat salah sikit dalam kampong, tuan pun maklumlah orang muda. Hatta fikir hati saya 'Baiklah aku berubah dari sini sementara belum senyap perkara itu.' Lanjar saya hilir ke Teluk Anson menumpang perahu orang Kampar Luar yang biasa mudik ke mari berjual beras garam apa-ma. Maka tiba ke Teluk Anson saya keleh ada kapal sedang nak belayar ke Singapura. Maka saya pun mencuri naik kapal itu bersembunyikan diri hingga sampai ke Singapura. Maka sampai di sana saya pun menumpang merata-rata rumah orang Islam, tetapi pencarian satu pun tak ada. Tiba-tiba pada satu hari saya melihat budak-budak Melayu yang pergi kepada kapal-kapal besar yang berlabuh di situ menyelam mencari duit yang dicampakkan dek pensenjer-pensenjer (Penumpang-penumpang) atas kapal-kapal itu.
"Maka pada masa itu saya sendiri pun pandai sikit menyelam dan pada perasaan saya ada lah jalan itu mencari rezeki, langsung saya berkirakan menyewa sampan, lalu saya pergi menyelam berhampiran dengan sebuah kapal besar itu. Maka saya tengah menyelam-menyelam itu, duit pun sudah dapat sikit, tiba-tiba datang orang atas dari kapal. Saya pun rapat. Kata seorang anak kapal, 'Naiklah, ada orang putih nak cakap.'
"Maka saya pun naik-lah berjumpa dengan orang puteh itu. Kata dia, 'Kamu sukakah ikut aku ke negeri Australia membuat kerja menyelam mutiara?'
"Maka mula-mulanya saya berasa segan nak pergi jauh-jauh itu, tambah pula tak tahu saya berchakap orang putih, sepatah pun merancun. Kemudian baharu saya memikirkan pula hal yang sudah menjadi di kampung itu, lanjar saya belayar dengan orang putih itu.
"Maka sampai di negeri dia, saya pun bekerjalah menyelam mutiara, dengan gaji sepaun sehari, makan tanggung. Tuan pun terlebih maklum, macam kata orang Melayu tikus jatuh ke dalam kembong! Maka bekerja-bekerja itu selama tiga tahun lebih, maka berasa ingin pula nak balik ke Tanah Melayu ini. Maka saya pun patah baliklah, duit yang dapat disimpan di sana pun bawa sama, tak kurang daripada lima ribu ringgit. Maka sampai balik ke Singapura tampillah berjudi sehingga cuci mengkalaslah, baharu saya balik ke mari, saperti burung gagak balik ke benua, hitam pergi hitam balik!"



Ulasan
Catat Ulasan