PAKYU - Cerpen Amier Suhaimi


Tiada layanan istimewa untuk Biajib di penjara, kata komisioner sewaktu dijolok soalan kepadanya. 

Ramai mahu tahu sebenarnya. Sedangkan dari zaman kegemilangan kesultanan Melayu Melaka lagi sudah ada beza hukuman antara kelas, apatah lagi pada hari ini. Tambah tuan komisioner secara waspada, semua kakitangan Jabatan Penjara tertakluk kepada SOP dalam menguruskan banduan.

Malam gelap pekat dan aku dalam kamar menatap-natap cerita tentang bekas Perdana Menteri Datuk-Seri-Dah-Tak-Lagi Biajib Mazak dalam telefon, dalam selitan keratan akhbar dan dalam buku. Sebenarnya, dalam malam gelap pekat yang beriringan pekik-pekik dari cengkerik ini, aku bukan hendak berseloroh tentang kleptokrat terkenal, Biajib Mazak, tapi sebenarnya aku sedang cerna tentang sikap penguasa. 

Ringkasnya, tahun lepas, kalau tak silap Biajib Mazak sudah diheret masuk dalam penjara, drama pentas aku yang ketiga mengambil kisah seorang wanita yang ditindas pemimpin dan penguasa jahat, jahil, dan jangak dipersoal oleh pihak tertentu kerana memburukkan imej penguasa. 

"Aku ingatkan ramai yang marah sebab ada watak pemimpin tunggang agama dalam cerita ni." Luah aku pada Tuan Direktur. Sebenarnya, itu yang aku hendakkan tapi lain pula jadinya.

"Mereka tak suka. Mereka ingat kita burukkan imej penguasa bila dalam cerita ni ada penguasa yang seronok makan duit rasuah." Tuan Direktur yang muda sedikit dari aku menjelaskan. Kemudian dia tersengih-sengih. Aku pula tercenggang sekejap sambil garu kepala yang tak gatal. Tidaklah sampai ke situ niat aku. Aku cuma nak bercerita saja dan segala apa yang aku tulis sebenarnya berdasarkan pengamatan aku. Tidaklah terdetik di hati aku yang aku nak burukkan semua penguasa. Dalam banyak-banyak buah berlonggokkan, mustahil semuanya elok dan molek; Mesti ada beberapa yang rosak. Yang rosak itulah yang kita jauhkan. Janganlah jadi yang rosak, jadilah yang baik.

Ketegangan tak tahan lama pun. 'Kontroversi' ini pudar lepas beberapa hari. Yang pilunya (dan lucu?), hampir setiap minggu aku dengar kisah tentang penguasa: penguasa rogol mangsa rogol, penguasa mengamuk langgar anak orang dengan kereta sampai maut, penguasa 'pau' duit pekerja asing dan banyak lagi yang menyusul.

Awalnya aku masih bertahan toleran. Masih pegang kata-kata aku sebelum ni: Dalam banyak-banyak buah berlonggokkan, mustahil semuanya elok dan molek; Mesti ada beberapa yang rosak. Tapi peristiwa yang satu ini bikin aku pasrah. Longgar kepercayaan aku... macam agnotis. 

Pendeknya, sahabat aku dari luar negara, Nora yang berkulit putih dan rambut blonde datang ke negara untuk melancong dan menjengguk, tanya khabar. Dia datang dengan suaminya yang badan besar. 

"Dah lama tak jumpa! Jom makan-makan." Ajaknya, dalam Bahasa Inggeris, selepas kami berpelukan dan berkongsi sedikit cerita hidup masing-masing. Matahari sudah tegak atas kepala dan kami bertiga agak kelaparan, "Di mana kedai makan yang jual makanan negara kau yang enak-enak?" Nora bertanyakan. Suaminya memandu dan aku tunjukkan jalan (sebab aku tak pandai memandu).

Dalam jeep, aku dan Nora bertukar-tukar cerita. Sesekali suaminya yang gemuk itu menyertai. Segalanya seronok dan ketawa yang berdekah-dekah hinggalah jeep mereka ditahan ketika dalam perjalanan. Seorang anggota penguasa trafik memberitahu Nora dan pasangan, dalam bahasa inggeris yang mudah, berkenaan bahawa van yang kami naiki dipandu 80 kilometer sejam berbanding had laju yang dibenarkan iaitu 60 kilometer.

“Saya akan berikan kamu surat saman dan kamu perlu pergi ke balai polis untuk membayarnya." kata penguasa trafik itu. Nora dan pasangan angguk-angguk saja macam burung belatuk. Aku pula di belakang memerhati. Mungkin sebab tubuh aku petite dan kulit aku cerah, peguasa trafik ingat aku anak pasangan Nora dan suami. Lagipun aku pakai topeng muka.

"Jika bayar di balai, nilainya 300. Bayar sekarang, nilainya 100.” sambung anggota penguasa trafik berkulit gelap dan badan sedikit tegap tadi. 

"O... bayar di balai, 300. Bayar sekarang, 100? Kami bayar sekarang." balas Nora. Sekeping not bernilai 100 dikeluarkan dan dia serah pada suaminya untuk diserah kepada penguasa trafik. Aku cuma perhatikan saja. Jeep kami dilepaskan untuk meluncur di jalan raya selepas itu.

Aku tak mahulah memburukkan lagi penguasa. Lagipun, perbualan antara Nora dan penguasa trafik tadi dirakam dengan dashcam dan telah tular. 

O... apa jadi dengan kleptokrat Biajib Mazak? Kawan aku yang masuk penjara yang sama dengan bekas PM itu kata yang Biajib Mazak terima layanan yang sangat istimewa, berbeza dengan banduan-banduan lain. Perkataan 'sangat' itu perlu dipanjangkan. 

Ulasan

Catatan Popular