DUNIA SIMSIM: DUNIA LUAR LOGIKA MANUSIA
Catatan ini ditulis pada 2 Januari 2024 sebagai reviu naskah Dunia Simsim.
Di awal tahun baru berjaya habiskan satu bacaan. Ia naskah ringkas, beberapa mukasurat cuma, tapi menarik. Menurut penterjemah di sudut muqaddimahnya, manuskrip yang dihasilkan Ibnu Arabi ini dianggarkan wujud pada kurun ke-14 hijrah. Ia kini disimpan di Maktabah Universiti Al-Malik Saud di Arab Saudi.
Ibnu Arabi seorang sufi. Beliau juga ulama besar bertaraf wali Allah, juga telah dianggap sebagai al-syakykh al-akbar Sultan al-Ariffin (gelaran amat tinggi dalam Tasawuf), yang masyhur dengan kitab-kitabnya semisal Futuhat al-Makiyyah dan Fusus al-Hikam. Kekadang ramai yang tertukar pula dengan Ibnu al-Arabi, seorang ulama besar mazhab Maliki.
Dunia Simsim, diterjemah dengan gemilang oleh Arsyad Mokhtar dari manuskrip berjudul Ard Al-Simsimah, menceritakan tentang dunia lain yang dicipta daripada lebihan tanah setelah penciptaan pohon kurma yang datang pula dari lebihan setelah penciptaan Nabi Adam. Menurut manuskrip ini, lebihan tanah itu adalah sebesar biji bijan:
"...Maka daripada lebihan tanah sebesar biji lenga itu Allah Taala telah menciptakan sebuah bumi yang tersangat luas, yang mana Allah telah menjadikan Arasy, Kursi, segala langit dan bumi serta yang di bawah tanah terbawah, segala syurga dan neraka kesemuanya itu berada di bumi yang ini..." (halaman 4)
Sebenarnya, rasa sedikit hairan usai baca naskah ringkas ini. Saya tertanya-tanya kenapa ia dinamakan 'Dunia Simsim' dan kemudiannya bila diperhatikan kalimah 'bijan' saya teringatkan pula perkataan 'Sesame' (kerana terlintas pula perkataan 'Open Sesame!'). Ini andaian saya waktu itu dan setelah difikirkan kembali, barangkali karya ini dinamakan Ibnu Arabi sebagai 'Dunia Simsim' kerana dunia ajaib yang terhasil itu datangnya daripada tanah sebesar biji bijan (dalam naskah digunakan perkataan 'biji lenga') saja.
Dalam tulisan Ibnu Arabi ini, dunia Simsim yang diluar logika ini adalah dunia yang terkandung di dalamnya pula segala dunia. Dunia kita diami dan dapat capai kini bagai sebutir pasir dalam lautan pasir di padang pasir. Simsim di sini pula ialah sebuah dunia yang tak mampu tercapai secara jasadiah kerana keistimewaannya melainkan menerima perjalanan manusia atau jin atau malaikat melalui roh.
Beliau merakamkan perjalanan di bumi Simsim luar logika yang ada bermacam keanehan dan keajaiban. Ia sebuah dunia penuh takjub yang memberi rasa kagum kepada Maha Pencipta buat si penikmatnya---(dalam naskah mengatakan:) yang merupakan para ahli-ahli makrifat. Ada bumi yang seluruhnya kasturi, bumi yang segalanya emas kuning lembut, bumi perak putih, bumi yang lebih panas berbanding api dan bumi sejuk. Namun, Ibnu Arabi mengatakan tiada antara itu yang dapat menandingi pula bumi yang satu ini yang mana seluruh isinya manis menyambut kedatangannya, juga kaya bermacam perkara luar pengetahuan dan batas logik akal.
Apa yang ada di bumi yang satu ini pula? Buah-buahnya yang tidak akan habis-habis, tumbuh dan 'sembuh' sediakala usai digigit, dan wanita-wanitanya adalah sejelita isteri di syurga dalam sekumpulan para bidadari. Yang sempat Ibnu al-Arabi rakamkan juga adalah lautan emas dan lautan besi yang masing-masing mengalir, mengalun, mengombak dan tak bercampur bila di titik temu. Banyak lagi sebenarnya yang beliau karangkan dalam manuskripnya. Namun, wajarlah anda telitikan sendiri naskah ringkas ini.
Mahu percaya atau tidak? Saya tidak pasti hendak pilih jawapan yang mana kalau perlu pilih antara dua pilihan itu sahaja. Agak payah. Saya fikir, wajar untuk tidak beri apa-apa komentar tentang ini. Belum sampai lagi tahap saya untuk berbicara tentangnya tapi agak mengujakan melihat diskripsi-diskripsi dunia dalam Simsim. Saya buat untuk bacaan santai saja.



Ulasan
Catat Ulasan