MENGENANG SANG PENDETA, MEMBUKA KEMBALI TIRAI KARYANYA
Tidak wajar beliau dikenang jasanya cuma sebagai Bapa Tatabahasa Melayu Malaysia serta karyanya perihal ejaan Jawi dan Rumi, juga retorik. Tidak wajar juga nama beliau cuma digunakan sempena nama bangunan, misalnya kolej kediaman, sekiranya gagasan-gagasan beliau yang bernas tidak diteliti kembali dan kemudiannya hanyut dilupakan. Beberapa bulan lalu, sempat saya membaca beberapa tulisan-tulisan beliau. Tidak cukup untuk mengingati beliau sebagai tokoh yang terlibat dalam perjuangan pembinaan negara dan reformasi masyarakat Malaysia sebelum kemerdekaan. Saya melihat pandangan beliau yang kritis dan berani dalam bidang agama dan ekonomi, juga politik wajar dikenang dan dibuka tirainya kembali (terutama) untuk kita kini.
Lahir tahun 1895, Pendeta Za'ba adalah (antara) intelektual Melayu yang tak harus dibiar tenggelam namanya dek masa. Rugi benar saya kerana hanya terdetik menggerumuni beberapa karangan-karangannya hanya setelah 21 tahun bernafas di muka bumi. Banyak pesan-pesan juga buah fikir beliau lewat karangannya yang boleh diambil untuk pembangunan diri. Misalnya, inti-inti bernas hasil daripada tinjauan tentang orang Melayu di zamannya yang telah dikongsikan Sang Pendeta yang bestari ini dalam beberapa karangannya, Perangai Bergantung Pada Diri Sendiri, Kemiskinan Orang Melayu (dalam beberapa Majalah Al-Ikhwan) dan Jalan Keselamatan Bagi Orang-Orang Melayu antaranya, boleh digunakan kita di masa kini---bukan sahaja terhad untuk orang Melayu semata---demi memajukan serta mensejahterakan masyarakat kita.
Mutiara fikir Pendeta Za'ba, hasil renungan tajamnya terhadap masyarakat zamannya, wajar ditelitikan kembali oleh orang kita zaman kini. Pesan beliau yang bestari: kemunduran orang kita adalah kerana tidak percaya diri, terlalu berharap kepada orang lain, kurang berhemah dan lemah cita-cita. Kelemahan yang lain yang wajar diperbetulkan menurut beliau lagi adalah kemiskinan segala segi. Sifat-sifat miskin, semisal miskin harta juga keperangaian yang mulia, miskin pengetahuan dan miskin kemahuan untuk mencapai kemajuan itu harus terhapus. Serpihan daripada salah sebuah daripada renungan dan pandangannya yang termuat dalam artikel Kemiskinan Orang Melayu adalah seperti yang disertakan di bawah :
"...Tentang syarat-syarat yang dibangsakan kepada otak orang-orang Melayu ini miskin pada pihak pengetahuannya, pada perbendaharaan atau tumbuh-tumbuhan hatinya, dan pada alat-alat yang am bagi menyuburkan hati dan fikiran dan mengisikan tanam-tanaman yang berharga ke dalamnya. Surat-surat karangan atau kumpulan kitab dan hikayat dalam bahasa mereka itu miskin dan bukan daripada jenis yang mengangkatkan perasaan atau meninggikan fikiran. Perkelilingan mereka di rumahnya dari masa kecil sentiasa miskin daripada asuhan-asuhan yang sempurna. Dan jarang-jarang benar keadaannya yang menghembuskan roh yang bersih, atau memberi contoh keelokan perangai, atau menanamkan perasaan-perasaan yang tinggi dan mulia. Pemandangan mereka terhadap hal hidup di dunia ini miskin daripada perasaan-perasaan yang hidup dan penuh dengan malap, muram, dan kesugulan yang jarang-jarang atau tiada pernah berasa cerah dengan sinaran riang dan sukacita. Kehidupan agamanya dan amal ibadatnya amat miskin daripada isi dan roh yang asli, dan tubuh (amalannya atau agamanya) yang tiada berisi roh itu pun beberapa banyak telah diselaputi oleh lumpur dan cemar-cemar daki air serta telah hanyut dan beralih rupa beberapa jauhnya daripada ajaran-ajaran asal yang bersih dan hening jernih yang dibawakan oleh Nabi Muhammad s.a.w..."
Dari karangan-karangan beliau juga dapat ditelitikan bahawa menurut beliau, sahsiah yang tinggi akan memperkuatkan sesuatu bangsa. Sungguh benar bagai dikata. Masakan suatu bangsa itu dapat berjaya kalau segala sifat yang disebutkan di perenggan sebelumnya tadi menguasai seluruh bangsanya?
Dalam tulisan beliau yang lain, Perangai Bergantung Pada Diri Sendiri, ada ditawarkan pula supaya sikap malas, tidak mahu berusaha dan berikhtiar dan tidak mahu bergerak untuk memajukan diri harus juga dibuang jauh kerana ia dianggap bak kutu di atas kepala yang kemudiannya memudaratkan diri. Ditegaskan juga oleh Sang Pendeta Za'ba yang bestari, lewat judul yang sama, untuk memperkakaskan diri dengan ilmu. Ini penting untuk mengelakkan kita sendiri daripada bertaklid buta, tidak mampu membuat pertimbangan dan senantiasa memerlukan orang lain menyuapkan. Wajar amat masyarakat kini meniliti kembali gagasan-gagasan beliau, lebih-lebih lagi, kini, apabila segala perkara mahu ditanyakan kepada agamawan termasuklah tentang perkara yang tidak perlu dipertanyakan langsung. Ia semacam perangai tidak pandai bergantung pada diri ini sudah menjadi wabak yang (bakal) membinasakan dan wajib segera dibasmi.
Tidak harus beliau dikenang cuma sebagai orang yang meletakkan huruf 'N' dalam UMNO. Juga, tidak wajar hanya mereka yang terlibat dalam bidang bahasa, persuratan juga kebudayaan Melayu semata yang mengerumuni idea-idea Pendeta Za'ba. Inti pati penanya yang harus dikenang dan dibuka tirainya kembali, oleh dan untuk semua. Tidaklah sukar kerana ada beberapa tulisan-tulisan beliau mampu diperoleh dengan harga mampu milik. Tidak semata itu, saya memikirkan bahawasanya sifat dan sikap Pendeta Za'ba juga perlu diteladani oleh orang-orang kini. Tidak hanya dijadikan sebagai nama tempat atau bangunan, kekritisan juga keberanian dan kerja-kerja menawarkan idea-idea baru dalam masyarakat yang pernah beliau lakukan semasa hayatnya harus sungguh-sungguh dibangkitkan semula oleh generasi kini dalam melahirkan sebuah sebuah bangsa dan Malaysia yang tinggi teguh darjatnya.



Ulasan
Catat Ulasan