CERPEN: QURAN, ROTI JALA, ROTI CANAI DAN KUIH KARIPAP
Tapi ini bukan kisah tentang najis korupsi busuk yang terpalit pada NGO itu (secara tak langsung kepada dia juga). Asal-muasalnya, sahabat aku---seorang ateis yang baik itu---bertanyakan kepada Hajiq Karman akan sesuatu berkait ajaran Islam; Tentang Quran spesifiknya. Lupa barangkali yang selalu meluang masa dengannya ini juga adalah seorang Muslim (atau barangkali dia menyimpan sesuatu hasrat di dalam dasar telaga hatinya?).
Tanpa segan silu Yusuf Samad, nama kawan aku itu, bertanyakan, "Kalau benar Quran menerangkan segala sesuatu, tunjukkanlah ayat mana yang menerangkan tentang resepi membuat Roti Jala, Roti Canai dan kuih Karipap."
Dari sebelah kanannya aku memandang atas-bawah. Entah apa yang merasuk Sang ateis, Yusuf Samad. Hajiq Karman tersenyum kecil. Kebiasannya orang akan bertanyakan tentang ilmu sains dan dia akan menerangkan (sudah tentu dengan gaya menyuntik elemen Islam dan konservatifnya) dengan penuh bangga macam ayam jantan yang paling jantan berkokok di pagi hari.
Ditonton lagi oleh beberapa orang---majoritinya berbangsa sama dengan Hajiq Karman; Bangsa yang majoritinya sedia ada pekat dengan doktrin konservatifnya---menambah lagi keyakinan kepada lelaki itu semacam kopi kaw yang menyegarkan engkau di pagi hari yang dikuasai rasa mengantuk yang hebat. Diselak-selaknya halaman dalam Quran itu dan setelah beberapa ketika dia berhenti di satu halaman dan jarinya berhenti dan melekat semacam digam dengan gam maha kuat di satu ayat. Jelasnya, "Sudah tentu ada! Sudah tentu ada, saudara! Ayat tentang Roti Jala, Roti Canai dan bermacam kuih muih ada dalam kitab agama kami. Ini ayatnya. mari dekat!"
Dua ayat dari surah berlainan Si Hajiq Karman suluhkan:
Menurut Hajiq Karman, untuk membuat Roti Canai, Quran (konon) mencadangkan untuk bertanyakan kepada Pembuat Roti Canai. Untuk membuat Roti Jala pun Quran (konon), menurut Hajiq Karman, mencadangkan untuk bertanyakan kepada Pembuat Roti Jala. Sama juga untuk Karipap.
Yusuf Samad menekuninya. Dan aku menurut dari belakang tubuhnya yang kurus itu. Bunyi sorak-sorakan pecah memberi erti Si Hajiq Karman menang kerana berjaya menjawab soalan dari Sang Ateis.
Hajiq Karman mengangkat kedua belah tangannya perlahan; sorakan yang pecah tiba-tiba tadi mulai mereda. Hajiq Karman belum tamat nampaknya. Dia menjelaskan lagi secara panjang lebar. Ringkas, menurutnya, semua isu boleh dikembangkan ke infiniti dan berbalik semula kepada hal pokok iaitu kitab agama Islam itu sendiri yang tak boleh dikembangkan lagi. Ianya tidak memerlukan apa-apa lagi.
Sorakkan pecah tanda takjub dan gembira soalan dari Yusuf Samad terjawab sudah. Hajiq Karman senyum bangga. Jawapan itu belum cukup. Aku masih dahaga dan memerlukan penerangan lagi kerana ia bercanggah benar dengan apa yang aku fikirkan.
Lantas, cepat aku mematahkan kemenangannya, "Ayat yang saudara gunakan itu bukan boleh dijadikan rujukan untuk menyediakan Roti Canai atau segala perkara sekali pun! Ianya berkenaan AhlulZikri iaitu kitab Quran itu sendiri."
Giliran aku pula menyuluhkan:
3. Dan Kami tidak mengajarkan syair kepadanya, dan kepandaian bersyair itu pula tidak sesuai baginya. Yang Kami wahyukan kepadanya itu tidak lain melainkan nasihat pengajaran dan Kitab Suci yang memberi penerangan; (Yaa Sin ayat 69).
Aku menjelaskan lagi di seputar aku itu bahawasanya jawapan Hajiq Karman secara langsung menyatakan Quran itu LITERAL tentang segala perkara. Mata memandang tepat ke Hajiq Karman, tajam, lalu menyoalkan, "Sejak bila Quran menjelaskan secara literal tentang segala perkara?"
Sunyi menguasai. Tanpa melengah masa terus mengambil alih lagi, "Jika Quran menjelaskan segala perkara secara literal, kita tak perlu lagi segala kitab-kitab dan buku-buku lain untuk dihasilkan.
"Perkataan 'Shay' iaitu 'sesuatu' kalau menurut konteks merujuk kepada sesuatu yang PENTING dalam hidup yang dipamerkan dalam kisah-kisah dalam Quran." Aku menjelaskan. Terdiam masih, Hajiq Karman kaku meneliti.
"Saudara Hajiq Karman tanpa segan silu dan penuh yakin memberitahu semua bahawa kitab kita menerangkan secara literal tentang segalanya." Aku meneruskan lalu memandang pula ke audien, menyoalkan, "Saya nak bertanya kepada semua: Adakah martabat Quran akan tersungkur jatuh sekiranya didalamnya tak punya resepi Roti Jala, Kuih Karipap, Speghetti atau makanan lain? Bagi saya, tak! Sebab Quran adalah kitab panduan. Bukan kitab masakan atau kitab menerangkan segala perkara."
Lalu aku memberikan pandangan aku bahawasanya Hajiq Karman tak perlulah gigih membuat kenyataan, kona kanan dan kiri, semata untuk beritahu yang dalam Quran ada resepi Roti Canai atau segala resepi celah bedah dalam dunia ini.
Sunyi menguasai. Tiada sorakan pecah. Barangkali auidiens yang hadir hanya basah apabila Hajiq Karman yang membicarakan (dan menang walau apa sekali jawapannya?). Semua beredar tak lama kemudian selepas suasana seputar itu diselubungi kesenduan.
***
Di kafe, aku dan Yusuf Samad makan tengahari. Sempat berbual dengannya tentang kejadian di Atrium Fakulti Studi Sains tadi.
Dia menikmati lagi Sirap Bandungnya lalu menzahirkan sesuatu secara tiba-tiba, "Sedih pula bila engkau tak dapat apa-apa tepukan atau sorakan lepas kau dah patahkan hujah budak tu. Ahhhh... orang-orang macam audiens tadi tu cuma nak dengar apa yang diaorang nak dengar saja gamaknya!"
Aku senyap saja. Tak mahu fikirkan sangat tentang hal yang itu tapi perkara tu perlahan-perlahan memanjat masuk ke dalam kepala dan minta untuk difikirkan. Suara Yusuf Samad berziarah lagi ke telinga, "Ada harapan untuk negara ni?"
Bungkam. Aku senyap. Tak pasti apa yang perlu aku jawab. Kadang dirasakan sayu. Kadang kegusaran menerpa macam hantu yang datang tak diundang. Aku tak mahu rakyat negara ni diperlembapkan dengan perangkap Sang Ultra Konservatif dan Ahlul Teori Konspirasi. Bungkam. Memerhatikan Yusuf Samad yang belum selesaikan lagi Sirap Bandungnya dan suaranya menerpa ke telinga. Membicarakan tentang nasib negara (pandangannya): Sedang menghitung hari negara yang nampak gayanya bakal berubah sedikit demi sedikit menjadi sebuah negara yang menuju kemunduran.



Ulasan
Catat Ulasan