CERPEN: GERHANA


Hari sial itu tidak dapat luntur dari ingatannya sampai bila-bila.

Kebiasaanya kalau Mat Aris pulang, Hayati, isterinya akan menyambut dengan nada riang. Tapi bukan sejak hari (sial) itu. Sambutan riang bertukar kejutan pedih buat Mat Aris dan Hayati.

"Allahuakhbarrrr!" Hayati menempik. Ada hiba. Ada pedih. "Anak aku... Allahuakbarrrrr.... abahnyaa.... anak kita!" Sambungnya dengan muka basah kuyup. Badannya yang kukuh jatuh melutut atas bumi.

Mat Aris pulang dengan membawa beberapa orang kampung. Mat Aris pulang dengan anak gadisnya digendong. Mat Aris pulang dengan mukanya, juga, basah kuyup.

Sabariah, di sebelah Hayati, kelu lidahnya. Tiada apa dapat dia ucap selain memeluk Hayati erat untuk menenangkannya–suatu yang sukar dilakukannya. Sripertiwi, dari rumahnya, bergegas turun menemani emaknya bersama Hayati. "Apa jadi? Apa jadi?!" Sripertiwi mempersoalkan. Terkejut benar.

"Ini!" Salah seorang penduduk kampung yang bersama Mat Aris menerangkan sambil tonyoh batang kayu ke kepala seorang tua berjubah dan berserban putih yang sedang melutut atas bumi. Disambungnya lagi, "Kami semua tangkap orang tua yang konon terpaling suci ni dengan dua lagi keparat dekat sana tu buat aniaya dekat anak Mat Aris!"

"Buat aniaya?" Sripertiwi tertanya-tanya dan dia terpandangkan anak gadis belasan tahun milik pasangan Hayati dan Mat Aris dalam keadaan separuh bertelanjang, kusut masai, ada tompokan darah, kesan gigitan dan lemah longlai dalam gendongan bapaknya.

"Celaka!" hanya itu yang Sripertiwi mampu balas. Terkejut besar.

"Tok Guru Iblis! Dasar iblis! Lebai iblis!" Jerit Sabariah. Tanpa fikir panjang, dia meluru laju ke arah Tuan Guru Haji Bakar dan menendangnya berkali-kali tanpa belas. Muka Sabariah merah. "Sampai hati engkau! Budak yang kau aniaya tu sebaya cucu kau, tahu. Celaka! Tergamak engkau..." Tak dapat Sabariah teruskan. Empangan air matanya hampir pecah. Telapak sebelah tangannya diletakkan ke mulutnya. Ada hiba menguasai.

Muncul pula satu suara datangnya dari sekumpulan orang kampung itu, "Orang tua ni tak layak dipanggil Tuan Guru! Dekat masjid, dekat surau pandai cakap fasal dosa, fasal akhirat. Sudahnya dia sendiri tak ikut dan anak orang juga yang dia perkosa!"

"Lebai iblis..." perlahan terpancut dari mulut Sripertiwi. Dia berpaling kepada pasangan Hayati dan Mat Aris yang sedang meratapi anak tunggalnya yang dalam keadaaan sayu itu. Sripertiwi mengulang ucapnya. Ditatapnya Hayati yang sedang teresak-esak dengan air mata mengalir deras di pipinya. Sripertiwi mengulang ayat tadi. Ayat-ayat yang dia fikir wajar dipanggil 'ayat-ayat syaitan' dari Tuan Guru Haji Bakar yang disampaikan di surau itu dulu datang secara tiba-tiba lewat fikirannya, "... Nak masalah zina kurang, masalah rogol kurang kena tutup aurat! Hadirin hadirat dikasih Allah sekalian, masalah-masalah ini tak perlu dibesarkan! Perempuan kalau dirogol elok kita padan mukakan saja! Sebab mereka tak tutup aurat! Padan muka kena rogol!"

"Lebai iblis!" Perlahan diucap Sripertiwi. Dia memandang tajam menusuk ke muka Tuan Guru Haji Bakar. Ada bara amarah yang amat panas. Sebenarnya memang dari dulu lagi dia menyimpan geram kepada Tuan Guru Haji Bakar.

Gadis remaja itu terbawa-bawa ke memorinya mendengar ceramah Tuan Guru Haji Bakar di surau itu lagi. Dia mengangkat tangan lantas pantas berdiri. "Dalil apa yang tuan guru guna sampai membolehkan rogol ni?"

Suasana di surau diam seketika. Semua memandang dan menumpu kepada Sripertiwi yang berdiri. Tuan Guru Haji Bakar, yang memandang tepat ke wajah Sripertiwi, ada menyimpan geram kerana ceramahnya diganggu dan dia dipersoal. "Betul apa yang saya kata; Kalau kamu jual murah-murah betis kamu, muka kamu, peha kamu... padanlah muka kamu kalau kamu dirogol!" Orang tua kurus setia dengan serban putih itu menjelaskan.

Ternyata, dia punya delusi bahawa kalau semua menutup aurat, maka dunia akan aman damai. Segala masalah selesai. Realitinya? Sripertiwi anggap itu semua khayalan palsu!

Sripertiwi menghela nafasnya. Geram menguasai. Perempuan itu memandang tepat ke wajah tuan guru yang jaraknya lebih kurang 8 meter darinya itu. "Hemat saya: ajaran sadistik dari ulama macam tuan guru inilah yang membuahkan mentaliti 'rogol perkara enteng' dan menyuburkan ugutan rogol dalam kalangan orang kita!"

Suasana dalam surau sedikit riuh. Ada yang bersetuju dengan pernyataan Sripertiwi. Gadis itu menuju ke tengah-tengah antara kawasan laki-laki dan perempuan, seterusnya menambah lagi: "Hadirin hadirat sekalian, ulama semacam tuan guru kita di sini sepatutnya jadi penentang kepada jenayah seksual. Ulama semacam tuan guru kita di sini juga patut ajar laki-laki bahawa ianya salah untuk menganiaya perempuan walau apa keadaan sekali pun!"

Suasana dalam surau bertambah riuh. Tuan Guru Haji Bakar kelihatan sedikit cemas. Tubuhnya menyuburkan butir-butir peluh walaupun kipas besar berputar menghadapnya.

"Cukup!"
"Tuan guru... realitinya pada hari ni, bukan perempuan yang tak bertudung saja yang dianiya. Yang bertudung pun sama!"
"Kamu keluar dari surau ni!"

Sripertiwi menurut tapi sebelum melangkah keluar itu dia membuahkan lagi satu situasi untuk tuan guru (dan yang lain) di sudut depan dalam surau: "Tuan guru, o, tuan guru... kanak-kanak dan bayi pun kena aniaya! Jadi, masih salah mereka? Perkara sama juga berlaku di sekolah pondok, makanya masih salah mangsa atau salah pelakunya, tuan guru?"

"Keluar!" Tinggi suara Tuan Guru Haji Bakar yang terbakar. Ada beberapa orang yang asalnya mendengar ceramah turut keluar mengikuti Sripertiwi. Masih ada beberapa sahaja yang setia duduk di lantai surau. Beberapa langkah keluar dari kawasan surau, Sripertiwi keluar dari lubang ingatan silamnya. Dapatlah dia lihat Hayati memeluk terlalu erat anak perempuannya yang kusut, kotor, lemah longlai itu sambil (cuba) ditenangkan emaknya di sisi.

"Anak aku, Yah! Anak aku! Bangun nakkkkk.... bangun! Allahhhhh...." Hayati berusaha membangkitkan anaknya namun gagal. Sripertiwi tergoncang jiwanya. Luluh hatinya. Dapat dia rasa betapa tak amannya hati Hayati.

Ditulis Tuhan: Anak mereka berada dalam dakapan Tuhan.

Beberapa hari (makan minggu!) dunia serasa mendung buat Sripertiwi dan dirasakannya seperti dunia serba tak kena. Burung-burung melayang semacam tak tentu arah.

Sejak hari itu juga Sripertiwi berhasrat menjadi wanita yang berani dan melawan!


Ulasan

Catatan Popular