DRAMA: KONFESI
Nota: Naskah ini asalnya diberi nama 'Konfesi Murni' dipentaskan sempena ICAF pada kira-kira Jun 2023 di Panggung Seni UKM dan dilakonkan oleh Cik Anie, yang juga pelakon utama untuk teater Terpinggir sempena FESTER 2023. Yang anda baca kini adalah versi ubahsuai.
BABAK 1 / TUNGGAL
LATAR/TEMPAT: BILIK
MASA: MALAM
WATAK: MURNI SAHAJA
PENTAS DIBUKA. RUANG DITERANGI DENGAN CAHAYA MALAP. MURNI YANG SEDANG DUDUK BERSOLEK RINGKAS DI HADAPAN CERMINNYA DISULUHKAN DENGAN CAHAYA PUTIH (SPOT LIGHT).
MURNI
Setiap perkara yang kita buat, pasti akan ada kesannya, kan, Bang? Dah lama kita jadi suami isteri. Kau tahu kan, bang, yang aku paling pantang orang menipu aku. Sekarang, kau terimalah akibatnya! (Senyum sinis) Bodoh, Sahadannnnnnn… Tak boleh harap langsung! (ketawa kecil) Entah apalah yang orang nampak pada kau. Kalau dibandingkan dengan lembu, lembu jauh lagi pandai buat kerja daripada kau!
MURNI BANGUN DARI DUDUKNYA. BERJALAN MUNDAR MANDIR BERHAMPIRAN MEJA SOLEKNYA.
MURNI
Bang, orang mengadu. Bila daerah kita nak membangun? (Memandang ke kiri pentas) Bila? (Memandang ke kanan pentas) Bila? (Menghela nafas berat) Macam manalah nak membangun kalau berbahas pun macam orang bangang di Dewan Rakyat. Gaji dibayar! Bukan sikit! Banyak! Datang dari mana duit-duit tu semua? Duit siapa lagi… Duit rakyat! Punyalah banyak isu yang kau boleh bangkitkan, Sahadan… pakaian orang juga yang kau sibukkan. Celaka… Senang betul kerja kau ya!
Bang… kau tahuuuu sangat-sangat, kan? Aku paling pantang orang menipu aku. Kenapa kau tipu aku, Bang? Kenapa kau tipu aku? Kenapa Sahadannnnnnn?! Kenapa perlu menipu semua orang! (Menjatuhkan segela alat-alat solek di ruang tersebut) KAU KATA KALAU KAU MENANG, KAU NAK TOLONG ORANG SUSAH TAPI ALIH-ALIH KAU TUNGGANG AGAMA! KAU BODOH!
(Bangun dan hadap ke audiens–sedikit mendongak ke atas) ya Tuhan… aku tak sangka yang hidup akan jadi macam ni… aku tak sangka… aku ingat… dengan jadi isteri kepada jantan tak guna tu, hidup… akan bahagia! Rupanya azab… PEDIH! Ya Tuhan… Aku tak sangka… suami aku perangai macam sial!(Tersungkur ke lantai dengan perasaan sedih) Kenapa berat sangat ujian yang kau timpakan dekat aku ya Tuhannnnnnnn! KENAPA AKU? KENAPA AKU? (Menutup muka)
Laki aku curang di belakang aku Ya Tuhannnn… Isteri manalah yang boleh terima kalau suami dia buat perangai macam ni… Mana ada orang yang suka diduakan? (menangis) Aku dah tak cantik lagi ke?! Hah? APA LAGI YANG TAK CUKUP?!
(Murni tersungkur atas lantai meratap. Ada jeda seketika)
Syaitan punya suami! Sahadannnnnn…. Sanggup kau buat perkara terkutuk dengan budak bawah umur… Mana otak kau?! Ya Tuhannnnnn! Sahadaannnnnnn! (Kusut) Kau bodoh! Sanggup kau rosakkan masa depan budak tu demi puaskan syahwat kau? KAU PANDAI CAKAP FASAL DOSA, FASAL AKHIRAT, TAPI KAU SENDIRI TAK AMALKAN. MACAM SIAL! Budak tu... budak tu masuk pusat pemulihan akhlak sebab kau! Dan kau... dan kau pula boleh jadi wakil rakyat? Memang dunia ni dah gila! Memang betul orang kata, nak kuasai orang bodoh, kau bungkus saja semua benda dengan agama. Kau tunggang agama, kau tunggang bangsa. Suci murni kau nanti! Memang dunia ni dah gila... Tak! Memang orang dekat daerah ni gila!
SIREN POLIS SAYUP-SAYUP KEDENGARAN. PENTAS DISINARI LAMPU MERAH. LAMPU SEMAKIN MALAP TETAPI SIREN POLIS MASIH KEDENGARAN KUAT. MURNI MENGANGKAT KEDUA BELAH TANGANNYA KE UDARA DENGAN RIAK WAJAH BERSAHAJA.
LAMPU DIGELAPKAN BEBERAPA KETIKA DAN KEMUDIAN MENYALA KEMBALI DENGAN CAHAYA MENUMPU KEPADA MURNI YANG SEDANG BERADA DI KEDUDUKAN TENGAH PENTAS, DUDUK ATAS KERUSI MENGHADAP KE LANTAI PANDANGANNYA.
SUARA MAGISTRET KEDENGARAN (AUDIO SAHAJA) "Hanya ada satu sahaja hukuman yang boleh dijatuhkan terhadap kamu bersabit kesalahan ini, dan dengan ini, mahkamah memerintahkan kamu, Murni Binti Mansor, dihukum gantung sampai mati." DAN KEMUDIANNYA DISUSULI DENGAN PUKULAN TUKUL HAKIM. LAMPU PENTAS SEMAKIN MALAP.
PENTAS DIGELAPKAN
TAMAT
nota dua: Ada beberapa orang bertanyakan, "Kenapa gemar tulis tentang hal-hal politik?". Saya diingatkan kembali tentang teater Terpinggir yang sarat dengan kritik politisyen dan ideologi tertentu. Saya menyambutnya dengan ketawa saja.



Ulasan
Catat Ulasan