KIAN CELIK USAI DISINGKAP: SEBUAH REVIU BUKU 'AKU ____, MAKA AKU ADA!'



  Buku-buku yang haram adalah buku yang wajar dikunyah!

    Walaupun begitu, masih mendukacitakan sekali, walau di bawah pimpinan kujur tubuh Bapa (konon) Reformasi, masih ada buku-buku diharamkan (dan hampir-hampir); Jauh sekali pula hendak lihat buku-buku yang difikir wajar dibaca umum ditarik pula pengharamannya.

    Apabila bercakap tentang buku-buku yang diharamkan, para penggemar sastera dan mereka yang ghairah dengan buku, pasti akan teringatkan satu sosok sasterawan marginal ini. Bukunya, yang sudah pasti menggugat, sudah tujuh buah diharamkan Kerajaan Malaysia. Alasannya? Barangkali sebab tepat hanya diketahui Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Tuhan saja. 

    Saya bertemu, bertentang dua mata dengannya, pertama kali di Kafe Canselori setelah bermesra dengan novel cetakan terhad beliau, Profesor (Manusia Tuhan)--dan sejak itu saya sudah jatuh cinta dengan tulisan-tulisannya yang lain dan sejak peristiwa itulah saya belajar perkataan 'Lingkaran Syaitan' yang saya kerap guna dalam beberapa cerpen saya. 

    Faisal Tehrani, seorang sasterawan yang tak mampu saya perkenal dan gambarkan    dengan kata-kata: kerana beliau lebih besar daripada gambaran-gambaran yang saya berikan. Beliau sasterawan nan gemilang! Saya makin mesra dengan karangan-karangannya selepas dapat tahu ada beberapa buku-bukunya sudah dilarang baca. Salah satunya, yang sudah sempat saya khatamkan sebelum diharamkan, adalah sebuah kumpulan esei menggelorakan!

    'Aku ___, Maka Aku Ada!' punyai 22 karangannya dan lengkap dengan blurb berayat menggoda dan mengundang! Dan jikalau seorang bernama Faisal Tehrani yang mengarangnya, kau tidak perlu berhitung-hitung, kau harus ambil dan baca! Dijamin intinya enak-enak belaka. Esei, artikel dan luahan beliau saya kira sedap-sedap, menggelorakan dan lengkap dengan fakta-fakta menarik. Otak saya menghitung-hitung dan memikirkan kembali tentang perkara-perkara dirasakan betul sebelum ini. Ia berjaya mengeluarkan saya dari zon selesa yang mengasyikkan tetapi perlahan-lahan membinasakan.

    Tidak lupa setiap petikan-petikan yang dikutip beliau itu ada sumber-sumber rujukan yang berbagai: artikel, portal berita, buku sastera klasik dan buku akademik. Beliau akhirnya berjaya memesrakan saya dengan buku-buku kemudiannya--saya (ketika remaja itu) sudah mula berminat hendak membaca Kisah Pelayaran Abdullah dan Sulalatus Salatin! Efek yang luar biasa (bagi saya) setelah berjaya mengkhatamkan sebuah buku. Satu efek besar amat yang belum pernah terjadi kepada saya. 

    Faisal Tehrani yang saya idolakan sering menulis bermacam yang memikat dan menggegarkan. Yang mencelikkan setiap kali disingkap halaman-halamannya. Dalam  'Aku ___, Maka Aku Ada!', sungguh tidak disangka yang Hang Tuah, Laksamanana yang gemar dijulang-julang Islamis dan pejuang bangsa itu, ada digarap dalam versi lain hikayat sebagai Sang Juara minum arak! Menurut beliau, lambang keperwiraan Melayu-Islam itu memang sinonim dengan arak dan beliau menghidangkan tiga dalil dalam Hikayat Hang Tuah: Pertamannya dengan Ratu Melayu, keduanya dengan Raja yang disertai dengan khatib membacakan doa dan akhirnya, dengan Patih Gajah Mada yang kehairanan. (halaman 99-101)

    Yang lain-lain memikat daripada Pak Teh (gelaran mesra lain bagi Faisal Tehrani), tidak dilupakan juga, antaranya, beliau telah memperkenalkan istilah 'Islam Parameswara' yang saya lihat sebagai satu momok yang menghantui kita kini. Apa itu 'Islam Parameswara'? Ia Islam legislatif yang tidak mementingkan sama sekali hal falsafah dan akhlak. Menurutnya:

"...'Islam Parameswara' didefinasikan etosnya melalui zakar baginda." (halaman 127) dan "...'Islam Parameswara', adalah Islam fekah yang membolehkan umat Melayu menjadi dayus. Yang penting dalam 'Islam Parameswara' itu adalah sembahyang, oh, dan juga tasawuf, memelihara hati dan kalbu. Tetapi bukan Islam jenis melawan. Bukan Islam yang menolak kezaliman." (halaman 129)

    Di dalam esei sama, diberi nama 'Islam Seperti Parameswara', Pak Teh telah mencerahkkan lagi dengan menyajikan insiden daripada Sejarah Melayu seperti Sultan Mahmud yang berzina dengan isteri Tun Biajid dan tidak melakukan apa-apa kerana dia seorang Melayu, seorang hamba kepada raja dan dia setia (halaman 129). Islam jenis ini, yang turun di Melaka waktu itu, terbukti benar Islam yang tidak mementingkan akhlak. Yang hanya pada zakar dan sembahyang saja. Mereka hanya beriman sekadar ikut-ikutan, tidak menggunakan akal sepenuhnya dan rasionaliti. Mereka cuma buta-buta masuk Islam saja--kerana ketua mereka masuk Islam dan mereka menurut saja tanpa memikirkan kesan-akibat. Semuanya angkara kerana setia. Ia masih kekal kini, saya berpendapat, dan Ia menjahanamkan!

    Esei lain seperti 'Fatwasis Atau Fatwa Fasis' turut membuka mata. Faisal Tehrani berpandangan, "sesebuah fatwa yang dipaksakan ke atas penganut Islam adalah bukan fatwa. Tetapi ia adalah fatwa fasis. (halaman 118)". Fasis yang molek adalah fasis yang sudah mampus kerana melindungi niat busuk dengan kain 'meletakkan kepentingan negara melebihi individu atau/dan masyarakat. Mereka (saya fikir ayat ini boleh ditujukan kepada yang lain dan bukan semata untuk Sisters In Islam (SIS) yang telah difatwakan haram) "...berhak menolak fatwa yang diwartakan tersebut (halaman 119)." Ini kerana, diterangkan beliau, rata-rata ulama yang ada hari ini kurang dilengkapi dengan ilmu-ilmu selain Islam. 

    Bukan itu sahaja, beliau juga turut melondehkan beberapa perkara tentang institusi fatwa. Antaranya, masih wujud ulama-ulama yang sangat rendah kemahiran berbahasa Inggerisnya dan mendapat maklumat daripada sumber sekunder sahaja (halaman 119). Barangkali itulah sebabnya fatwasis dan ceramah inti jadong berlaku--maksud saya, mereka tidak tahu, tetapi cuma belajar dari sumber sekunder dan tidak bergelumang dengan bahan bacaan Inggeris (bahasa yang digunakan meluas dalam kertas kajian dan macam-macam lagi). Sisi hitam lain yang berjaya disuluhkan adalah keahliannya Ahli Jawatankuasa Syariah yang boleh dipertikaikan. Menurut beliau, memetik bahan ilmiah, ada anggota dan mufti yang datang daripada hanya institusi pengajian tradisional. Mereka tiada sijil! Lebih geger, kriteria menyertai institusi fatwa adalah bersifat tidak jelas, tiada kelayakkan tertentu dan, mengejutkan, tiada temuduga! (halaman 121) Ini jelas menyedarkan yang fatwa memang boleh dimanipulasi ulama jahat yang kurang ilmu!

    'Aku __, Maka Aku Ada!' sedikit sebanyak telah membentuk diri saya yang kini. Yang sudah gemarkan sastera, buku dan sejarah. Yang sudah gemarkan menjadi ekspresif dan melawan. Buat yang berkesempatan memang wajar mendapatkan dan membaca tulisan-tulisan terkandung di dalamnya kerana ia suatu perjalanan yang membawa ke suatu daerah yang mencerahkan. Tidak lupa juga koleksi esei judul lain tulisan beliau: 'Sastera Adalah Makanan Anjing'.

    Malang sekali 'Aku ___, Maka Aku Ada!' sudah diharamkan dan sukar diperoleh kini. Kendatipun begitu, anda masih berpeluang mendapatkan buku-buku lain dari penerbit Bukuliar (dahulu namanya Dubook): Sebuah 'masterpiece' berupa syair panjang dengan judul 'Syair Dukana Lubaba' yang berkisahkan Lubaba, Isteri Abal Fadl Abbas, seorang saksi tragedi di padang Karbala. Beliau, ketika menuju ke Iraq, bersyair tentang Adam, Nuh. Tidak lupa juga dihidangkan kisah duka-luka Karbala. Saya masih simpan harapan moga-moga ada yang di dalam Kerajaan kini atau akan datang dengan waras sekali memikir dan mencadang penarikan pengharaman buku-buku Pak Teh dan lain-lain yang wajar dibaca.

Ulasan

Catatan Popular