CUKAI BARANG DAN PERKHIDMATAN (GST): YANG MENANG NAMUN TERBUANG

foto: lukisan lama waktu COVID-19

***Tulisan ini asalnya adalah kerja laporan untuk kursus Percukaian Lanjutan di Universiti.


1.0 PENGENALAN KEPADA CUKAI DAN CUKAI  BARANG DAN PERKHIDMATAN (GST)


Semua sedia maklum bahawasanya cukai adalah antara sumber utama bagi Kerajaan untuk mendapatkan dana selain daripada hasil sumber daripada alam semisal petroleum. Cukai boleh didefinasikan secara mudah sebagai suatu kewajipan oleh individu dan syarikat yang berada dalam tahap berkemampuan untuk menyediakan pembayaran pada amaun tertentu kepada kerajaan dalam sebuah negara bagi melicinkan struktur pentadbiran untuk menjamin kebajikan rakyat dalam sesebuah negara itu. Dipercayai berasal daripada perkataan Tamil, சுங்கம்  [disebut: cuṅkam], kewujudan cukai dalam sesetengah negara yang terhad sumber buminya telah membantu sesebuah negara itu untuk bergerak dan tumbuh membangun (Russell, 2007).

Cukai barangan dan perkhidmatan (GST), atau di sesetengah negara luar dipanggil sebagai Value Added Tax (VAT), mula diperkenal dan dikuatkuasakan di Malaysia pada tahun 2015 oleh Menteri Perdana Malaysia yang keenam, Mohammad Najib bin Tun Haji Abdul Razak, pada kadar enam peratus (6%) bagi melicinkan urusan sistem percukaian dalam negara. Pengenalan GST ini telah menggantikan cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) – yang seterusnya dikembalikan pada 2018 setelah kerajaan baharu mengambil alih—seterusnya memastikan kepentingan setiap lapisan masyarakat dalam negara terus terjamin.

GST ditakrifkan sebagai sejenis cukai kepenggunaan yang berasaskan kepada nilai tambah menurut Jabatan Penerangan Malaysia. Menurut Chan (2010) pula, GST boleh didefinasikan sebagai satu sistem cukai yang dikutip secara berperingkat pada setiap peringkat pengeluaran dan pengagihan sesuatu barangan mahupun perkhidmatan. Ianya juga dikenali sebagai cukai yang terletak diantara cukai yang dikenakan keatas jualan dan cukai yang dikenakan keatas belian. Sesungguhnya, ianya bukanlah sebuah sistem cukai yang baharu. Sistem cukai ini sebenarnya telah diperkenalkan di negara Perancis seawal tahun 1954 lagi dan kini, menurut laman web Jabatan Kastam Diraja Malaysia, sudah hampir 160 buah negara telah menggunakannya.  Sebelum GST mula diperkenalkan, hasil negara Malaysia hanya bergantung pada cukai pendapatan individu, cukai pendapatan korporat serta dividen petroleum. Sistem GST merupakan langkah dalam dasar fiskal kerajaan dengan hasrat memperluas dan mempertingkatkan sumber pendapatan negara.

Di Malaysia, GST mula diperkenalkan melalui Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan 2014 dan kemudiannya berkuatkuasa pada 1 April 2015. Sebelum pembubarannya pada 2018, kadar standard untuk GST adalah enam peratus dan ia dikumpulkan pada setiap peringkat rantaian bekalan. Walau bagaimanapun, sesetengah barangan bernilai sifar manakala yang lain dikecualikan GST. Selain daripada itu, perniagaan boleh menuntut kredit cukai untuk GST yang dipungut dari mereka oleh pembekal mereka. GST dilihat (oleh kerajaan pada tahun pelaksanaan itu) sebagai satu langkah konsolidasi fiskal yang amat penting untuk memastikan kemapanan ekonomi negara. Ini dilaporkan dalam portal Astro Awani pada tarikh 18 Mac 2015. Menurut Kementerian Kewangan dalam portal sama, sebarang penangguhan pelaksanaan GST akan memberi impak negatif ke atas penarafan kredit Malaysia. Tambahnya lagi, kerajaan juga perlu mempelbagaikan sumber hasil kewangan dan tidak hanya harus bergantung kepada hasil komoditi yang lain semisal petroleum dan kelapa sawit. 

 Pelaksanaan sistem cukai GST sebagai satu bentuk cukai kepenggunaan telah berupaya meningkatkan hasil atau pendapatan kerajaan—dibawah pimpinan Najib Razak ketika itu.  Malahan pihak kerajaan juga telah menggunakan hasil tersebut untuk membantu lebih ramai golongan berpendapatan rendah. Hal ini bukan sahaja telah menyebabkan pengurangan masalah sosial dalam masyarakat namun ia juga boleh meningkat tahap kualiti kehidupan rakyat. Dalam laporan ini, akan dijelaskan selepas ini tentang nasib GST sebelum dan selepas pembubarannya setelah Pakatan Harapan mengambil alih pemerintahan negara. 


2.0 MENANG NAMUN TERBUANG: NASIB CUKAI BARANG DAN PERKHIDMATAN (GST) DI ERA PEMERINTAHAN MENTERI PERDANA KESEPULUH, YANG AMAT BERHORMAT DATUK SERI ANWAR BIN IBRAHIM. 

   

    November tahun lalu negara mula disirami sinar rahmat setelah beberapa hari menunggu dan berteki-teki tentang siapakah gerangan yang bakal memegang jawatan Menteri Perdana Malaysia kesepuluh. Pada 24 November 2022 yang lalu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan untuk melantik Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10. Politik negara stabil setelah itu dan ramai yang menanti-nantikan reformasi yang bakalan dilakukan oleh beliau.

    Februari lepas, rakyat Malaysia dimaklumkan melalui portal berita tentang niat Kerajaan pimpinan Menteri Perdana kesepuluh itu tentang nasib GST. Menurut berita yang disiarkan di Awani, juga Utusan Malaysia, pada tanggal 14 Februari lalu, kerajaan tidak bercadang untuk memperkenal sebarang cukai termasuk Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) bagi menampung kenaikan hutang negara. Nasib yang sama juga menimpa kepada cukai kepenggunaan berasas luas yang lain. Sebaliknya, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan yang pihak beliau akan mengetatkan pengurangan subsidi bagi golongan kaya supaya golongan yang tidak mampu akan tidak terus dibebani. 

    Keputusan ini barangkali diambil kerana Pakatan Harapan (PH) dahulunya pernah mengambil langkah menentang GST ini sendiri. Tamsilnya, sebuah demonstrasi berlaku dan dicatat dalam portal Berita Harian pada tanggal 2 April 2016. 1 Jun 2018 pula menjadi saksi bahawa cukai GST telah dihapuskan kurang 100 hari PH menjadi Kerajaan. GST dikenakan pada kadar sifar dan ia terpakai di seluruh negara waktu itu. Ini bermakna secara teknikalnya GST dihapuskan dan seterusnya telah digantikan dengan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST). Setelah kerajaan PH tumbang, perkara sama berlaku pada Jun 2022 yang mana tercatat dalam portal Utusan Malaysia pada tarikh sama. PH tidak bersetuju untuk kerajaan, pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, melaksanakan semula GST. Bantahan itu bertulang belakangkan alasan bahawa berlakunya inflasi, kenaikan kos sara hidup dan pendapatan isi rumah yang berkurang akibat pandemik Covid-19. 

    Ironinya, dalam penentangan dan penolakan terhadap pemakaian GST dalam negara, PH semacam mengakui juga kebaikan-kebaikan yang ditawarkan GST itu sendiri. Bukan itu sahaja, malahan ada menunjukkan bayangan bahawasanya GST akan dilaksanakan kembali nanti—suatu masa yang belum diketahui bila. Misalnya, tahun ini, tanggal 28 Februari menerusi portal berita Free Malaysia Today dan Astro Awani, Menteri Ekonomi Malaysia, Rafizi Ramli, ada mengakui yang bahawasanya kerajaan mungkin akan melaksanakan GST pada masa akan datang. Jelasnya lagi perlaksanaan cukai itu hendaklah mengikut masa dan ia mesti bersifat progresif. Rafizi sendiri sebelum ini pernah menentang GST apabila ia dilaksanakan semasa pentadbiran Mantan Menteri Perdana, Najib Razak, pada 2015. Di akhir artikel Free Malaysia Today itu, Rafizi Ramli sempat menyatakan pandangan beliau tentang GST yang tidak perlu didekati. Katanya, “GST tidak seharusnya didekati hanya sebagai satu cara untuk meningkatkan tabung kerajaan kerana ia boleh menjadi satu “ketagihan”.”. Beliau juga ada menyatakan beberapa kelemahan lain pelaksanaan GST dalam artikel dan memberikan bayangan sekali lagi yang mungkin GST akan dilaksanakan pada masa akan datang—tempoh yang tidak pasti bila. 

    Jelas di sini yang PH semacam dalam suatu keadaan ‘benci tapi cinta’ kerana walau dalam membantah dan menolak itu wujud juga rasa bersetuju dengan apa yang tidak digemarkan itu dan mahu pula melaksanakan ia semula. Menang, namun terbuang. Demikianlah nasib GST kini—walaupun dinasihatkan beberapa pihak tentang kewajaran pelaksanaan semula GST. Penulis membiarkan pembaca meletakkan sendiri punca kenapa PH bersikap yang sedemikian terhadap GST itu sendiri: Ego, permainan politik, atau apa saja. Dalam laporan ini, akan dijelaskan seterusnya kenapa kerajaan PH wajar mengembalikan semula GST. 



3.0 KEWAJARAN TINDAKAN KERAJAAN MADANI


    3.1 KEBAIKAN PELAKSANAAN GST.

Adakah tindak untuk tidak mengembalikan semula GST adalah suatu yang wajar oleh pihak kerajaan – pimpinan Datuk Seri Anwar Bin Ibrahim—kini? Di bahagian ini, penulis akan terlebih dahulu menyampaikan beberapa kebaikan pelaksanaan GST. Sesungguhnya, perlaksanaan sistem GST ini membawa kebaikan. Melalui hasil pembacaan, penulis dapati yang antara kebaikan perlaksanaan sistem ini adalah terletak pada sistem GST itu sendiri yang telah mewujudkan sebuah sistem cukai yang baharu dalam negara. Pandangan ini telah diperakui sendiri oleh Singh (2007) yang turut punyai sudut pandang yang sama. Pendapatnya, dalam hal ini, pelaksanaan GST mampu mengurangkan defisit kewangan negara, terutamanya dengan jangkaan yang dibuat terhadap pengurangan hasil petroleum dalam masa beberapa tahun dari sekarang. Bukan itu sahaja, GST yang diperkenalkan oleh pihak kerajaan mampu meningkatkan hasil negara iaitu secara tidak langsung mengurangkan pergantungan kepada cukai pendapatan. Menurut Abdul Aziz Awang (2010), Pelaksanaan GST akan meningkatkan jumlah kutipan hasil kerajaan yang secara langsungnya bakal menyumbang kepada sebuah kedudukan ekonomi negara yang lebih baik. Hal ini demeikian membolehkan lebih banyak projek pembangunan dilaksanakan dalam negara kita.

Sistem GST juga membawa kebaikan atas alasan GST sangat mudah difahami. Hal ini demikian kerana GST itu sendiri berfungsi menggunakan mekanisme penilaian kendiri dan koleksi. Maka dengan itu,  sistem cukai ini membantu mereka yang terlibat melaporkan maklumat GST untuk melakukannya secara betul dan tepat. Kesannya, pelaksanaan GST ini amat memudahkan mereka dalam urusan menuntut semula kredit-kredit input mereka kerana ianya tidak bersifat kompleks. 

Selain tu, pelaksanaan GST secara keseluruhan di Malaysia juga telah berjaya mengurangkan kebergantungan  terhadap hasil lain. Sebelum ini, pelaksanaan GST telah berjaya meminimakan kebergantungan negara terhadap hasil jualan minyak dan gas  sebanyak 15 peratus (15%). Berdasarkan kajian Permodalan Nasional Berhad (PNB), rizab minyak dan gas di Malaysia hanya mampu bertahan sehingga 20 tahun sahaja dan mungkin kita akan menghadapi kepupusan sumber minyak dan gas. Malaysia tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada sumber pendapatan berasaskan petroleum memandangkan bahan tersebut lama kelamaan akan habis. Ianya merupakan sumber yang tidak boleh diperbaharui – lebih-lebih lagi di Malaysia. Oleh yang demikian, pelaksanaan GST ini dilihat dapat mengatasi masalah kebergantungan negara kepada hasil jualan sumber asli negara. 

Seterusnya, sistem cukai GST membolehkan pihak kerajaan mengurangkan cukai korporat dan cukai pendapatan individu. Hal ini mampu menggalakkan lagi pelaburan. Pelaburan yang banyak dan pelbagai mewujudkan lagi peluang pekerjaan, mampu mengekalkan bakat di dalam negara dan menjadikan Malaysia negara yang lebih berdaya saing dengan negara-negara maju yang lain. Sistem cukai GST memastikan setiap individu akan membayar cukai kepenggunaan pada barangan dan perkhidmatan yang dikenakan GST seterusnya memainkan peranan yang lebih cekap, telus dan adil. Setiap rakyat akan menyumbang melalui GST mengikut kemampuan perbelanjaan mereka.

Salah satu kebaikan lain GST ini juga adalah dari segi perubahan kadar cukai tersebut. Apabila pihak kerajaan memerlukan dana (wang) bagi membolehkan negara ditadbir dengan lancar, pihak kerajaan boleh meningkatkan kadar cukai GST ini. Begitu juga sebaliknya, apabila pihak kerajaan tidak lagi memerlukan dana atau mahu mengambil hati rakyat pihak kerajaan boleh menurunkan kadar cukai pada bila-bila masa sahaja. Menurut Fazi (2022), apabila sistem mekanisme cukai tersebut telah wujud, ini memudahkan lagi pihak kerajaan untuk menukar kadar cukai GST ini tanpa perlu menukar keseluruhan sistem cukai yang ada. Sebagai contoh, apabila pihak kerajaan ingin meningkatkan kadar cukai, kerajaan tidak lagi perlu menukar sistem secara keseluruhannya bagi mengaplikasikan sistem baru. 

Walaupun pengenalan GST mungkin membawa beban, pihak kerajaan telah cuba mengambil langkah untuk memastikan berlakunya keseimbangan dengan mengurangkan cukai individu, korporat, Industri Kecil dan Sederhana (IKS) serta pemberian bantuan kewangan – misalnya, Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) ketika era pemerintahan Najib Razak. Pelaksanaan dan pengurusan GST yang baik disamping mendapat kerjasama pelbagai pihak juga mampu memberi impak yang besar. Perlaksanaan GST ini juga dikatakan boleh meningkatkan hasil negara melalui peningkatan kadar pematuhan cukai. Walaupun pelaksanaan dan pengurusan sistem GST dianggap mencabar, namun tempoh yang selesa dan sesuai sebelum pelaksanaannya diperlukan bagi membolehkan semua orang bersedia dan faham serta didedahkan kepada sistem cukai GST ini lebih adil daripada cukai jualan dan perkhidmatan yang sedia ada – iaitu SST.


3.2 APA YANG BOLEH DIRENUNGKAN KEMBALI DALAM PELAKSANAAN SISTEM GST DI ZAMAN NAJIB RAZAK. 


Memang tidak dapat disangkal yang bahawasaya GST membawa kebaikan sekiranya diimplementasikan ke dalam Malaysia. Namun kita harus meneliti juga kelemahan-kelemahan pelaksanaan supaya dapat melaksankan kajian seterusnya penambahbaikan untuk menghasilkan sistem yang lebih cekap dan terbaik. Apa yang boleh dilaksanakan adalah memandang ke belakang, melihat kepada sejarah-sejarah lepas dan dalam konteks GST, sebaiknya dipandang kisah-kisah pelaksanaan GST sewaktu zaman pemerintahan Najib Razak, mantan Menteri perdana Malaysia keenam. 

Ketika pelaksanaan GST pada era Najib Razak, mantan Menteri Perdana Malaysia keenam, didapati dalam kalangan masyarakat bahawa terdapat golongan yang kurang pengetahuan berkenaan impak-impak positif terhadap pelaksanaan GST terhadap ekonomi negara. Mereka berpendapat bahawa GST merupakan cukai tambahan dan memberi bebanan pada rakyat. Yang lebih parak, GST dijadikan bahan untuk meraih sokongan politik. Kelemahannya, tanpa melihat kebaikan, diperbesar-besar sehingga mempengaruhi yang lain di sosial media. Ini diperkuatkan lagi dengan permainan ‘catur’ politik yang hanya mementingkan kemenangan tanpa memikirkan pertumbuhan ekonomi yang sedang meningkat. Misalnya, berlakunya sebuah demonstrasi  seperti yang tercatat portal Berita Harian pada tanggal 2 April 2016.

 Walaupun begitu, jangan dilupakan memang wujud beban kepada rakyat sewaktu pelaksanaannya bermula pada April 2015 yang lalu. Rakyat-rakyat dikatakan terbeban dengan pelaksanaan GST yang bagi mereka telah meningkatkan harga barangan dalam negara. Misalnya memetik kajian yang dilaksanakan oleh Lee Siew Lian dan Aminudin Mokhtar pada 2019: “Apabila  ditanyakan  mengenai  GST  adalah  sejauh  mana  satu  sistem  cukai  lebih berkesan  dalam  mengawal  harga  barangan  dan  perkhidmatan  di  Malaysia.  Sebanyak  56% responden menyatakan bahawa mereka setuju bahawa cukai SST lebih baik dalam mengawal harga  barangan  dan  perkhidmatan  jika  berbanding  dengan  cukai  GST.  Manakala  44%  lagi menyatakan  bahawa  mereka  lebih  menekankan  kepada  cukai  GST.  Berdasarkan  pandangan mahasiswa/i IPTA/S, mereka berpendapat bahawa cukai GST lebih beban kepada rakyat jika berbanding  dengan  cukai  SST.  Hal  ini  kerana cukai  jualan  hanya  dikenakan  di  peringkat pengilang  atau  pengguna  manakala  cukai  perkhidmatan  dikenakan  pada  pengguna  yang menggunakan  perkhidmatan  bercukai.  Oleh  itu, majoriti  mahasiswa/I  IPTA/S  merasakan bahawa  cukai  SST  adalah  lebih  kurang  beban  jika  berbanding  dengan  cukai  GST  kerana cukai GST dikenakan pada setiap peringkat rantaian pembekalan iaitu pada pihak pengilang, pemborong, peruncit dan pengguna dan akan membebankan mereka.”(Lee, S. L., & Mokhtar, A., 2019). Sebaik mana pun sistem percukaian itu, tetapi bagi pengguna usaha, ianya gagal sekiranya sistem cukai itu sendiri menjadi punca kepada kenaikan harga barangan dan perkhidmatan yang seterusnya membebankan rakyat. 

Sudah sampai waktunya untuk kita pandang ke belakang dan muhsabah. Jangan dibiar perkara lalu berulang. Kerajaan dan pihak-pihak berkaitan seperti cendekia-cendekia dan pakar-pakar harus mengembleng dan bersinergi untuk memberikan kesedaran dan menyampaikan maklumat kepada masyarakat supaya perkara-perkara yang tak diingini yang akan memudaratkan ekonomi tidak akan berbuah dua kali lagi. 


3.2 KEKURANGAN PERLAKSANAAN SST.


Sebelum menghuraikan kekurangan yang ada pada SST, lebih baik sekiranya dijelaskan terlebih dahulu tentang SST itu sendiri. SST diperkenalkan menerusi Akta Cukai Jualan 1972 dan Akta Cukai Perkhidmatan 1975. Ianya berkuatkuasa sehingga digantikan oleh GST pada 1 April 2015, dan dikembalikan semula bermula 1 September 2018 dalam 100 hari pertama PH berkuasa. Tidak seperti GST, cukai itu hanya dikenakan ke atas pengilang dan pengimport sahaja. Bukannya keseluruhan rantaian bekalan. Selain daripada itu, tiada peruntukan untuk menuntut kredit cukai input.

SST, dipersetujui ramai penyelidik, mempunyai lebih kekurangan berbanding GST. Misalnya memetik Abdul Aziz Awang (2010), kaedah GST mempunyai banyak kelebihan berbanding dengan SST. Ini turut disokong dengan pernyataan ahli ekonomi utama Kumpulan Bank Dunia, Dr Apurva Sanghi, yang menurut beliau melalaui portal Utusan bertarikh 13 Jun 2022: “Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) adalah lebih baik berbanding Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) berikutan GST meluaskan asas cukai negara dan menawarkan lebih banyak hasil.”. Menurut beliau  lagi, lebih 170 negara di seluruh dunia telah melaksanakan beberapa cukai nilai tambah (VAT) atau sistem GST, dan ia antara faktor mengapa GST adalah lebih berkesan berbanding SST – walaupun dalam artikel yang sama beliau ada menjelaskan juga kelemahan GST namun menawarkan metod yang sesuai untuk menjadikan GST suatu sistem cukai yang lebih baik. 

Utusan melaporkan pada 2014, bahawa SST adalah sistem cukai yang terlalu banyak berlaku ketirisan dan kelemahan. Ianya turut disokong Abdul Aziz Awang (2010) yang menyatakan juga bahawa SST mempunyai banyak kelemahan seperti pengenaan cukai berganda dan cukai bertingkat. Pelaksaan GST ini (yang mengantikan SST) berupaya mengatasi masalah cukai bertindan yang mana akan mengurangkan beban cukai terhadap pengguna (rakyat).  Turut disokong Lee dan Mokhtar (2019), SST  hanya menyebabkan  pengguna  terpaksa  membayar  harga  yang  lebih  mahal  kerana  cukai  SST dikenakan pada peringkat kilang sahaja di mana seseorang peniaga akan memindahkan cukai tersebut kepada pelanggan.

Secara total, SST memiliki lebih banyak kekurangan jika dibandingkan dengan GST. SST menghadapi masalah seperti pengenaan cukai berganda dan cukai bertingkat, serta memiliki kelemahan dalam pelaksanaannya. Di sisi lain, GST dianggap lebih baik dan efektif oleh para penyelidik dan ahli ekonomi kerana meluasnya asas cukai negara dan hasil yang lebih tinggi yang ditawarkan. Selain itu, GST juga membantu meringankan beban cukai bagi pengguna dan mencegah pemindahan biaya cukai kepada pelanggan. Sebagai akibatnya, GST dianggap sebagai sistem cukai yang lebih unggul daripada SST.


3.3 KEWAJARAN PERLAKSANAAN SEMULA GST OLEH KERAJAAN MADANI. 


 Setelah menghuraikan tentang kelebihan yang ada pada GST dan kekurangan SST, maka eloklah wujud suatu ruangan untuk membincangkan kewajaran pelaksanaan semula GST ini di Malaysia. Secara jelas kita mengetahui yang lebih elok sekiranya sistem GST ini dilaksanakan semula, lebih-lebih lagi pada era pemerintahan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sungguh sinonim beliau dengan perkataan ‘reformasi’. 

Selain daripada beberapa kajian tentang kebaikan pelaksanaan GST, penulis berpendapat bahawa GST harus dikembalikan setelah mendengar dan meneliti suara-suara daripada beberapa pihak. Tamsilnya seperti yang tercatat dalam portal Harian Metro bertarikh 9 Januari 2023 lengkap dengan tajuk ‘Syor perkenal semula GST’. Dalam artikel itu, ada dicadangkan yang bahawasanya GST harus diperkenal semula pada kadar serendah mungkin serta merangkumi seluruh barangan dan perkhidmatan tanpa pengecualian termasuk harga minyak runcit. Ianya dikatakan sebagai usaha meningkatkan kecekapan kutipan hasil, seterusnya mengukuhkan kembali kedudukan kewangan Malaysia dalam mendepani ketidaktentuan global. Dalam artikel sama, Firdaos Rosli, Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, turut menyokong dan menyatakan kewajaran pelaksanaan semula sistem cukai itu pada kadar serendah dua ke tiga peratus pada peringkat permulaan. Tambahnya lagi sistem cukai ini harus diperhalusi dan bukannya diketepikan secara terus. Setiausaha Agung Persatuan Akauntan Percukaian Malaysia (MATA), Dr Mohd Fairuz A Razak turut juga diberi ruang  mencadangkan kepada kerajaan untuk mempertimbangkan dengan serius pengenalan semula GST 2.0 pada kadar empat peratus kerana percaya dengan sifat dan mekanisme GST itu sendiri  dapat membantu kerajaan mengutip hasil cukai, khususnya dalam sektor ekonomi tidak formal.

Selain daripada dua nama di atas, pelaksanaan semula GST turut disarankan oleh Senator Tan Sri Low Kian Chuan, yang juga merupakan Presiden Dewan Perdagangan dan Perindustrian Cina Bersekutu Malaysia (ACCCIM). Menurut beliau dalam portal Malaysiakini pada 3 April 2023, GST harus dipertimbangkan untuk dilaksankan semula oleh pihak Kerajaan dengan kadar yang munasabah bagi meluaskan pendapatan yang mampan dan komprehensif. Ini secara langsung dapat mengukuhkan pungutan hasil negara. Memetik ucapan beliau dalam artikel yang sama: “...ACCCIM menyokong sepenuhnya pengenalan semula GST. Kami mencadangkan penambahbaikan sistem bayaran balik dan penentuan nilai ambang tahunan ditetapkan pada paras munasabah…” .  Di sini kita dapat lihat betapa perlunya Kerajaan Madani pimpinan Datuk Seri Anwar Bin Ibrahim memandang serius akan isu pelaksanaan semula sistem GST ini. 

Oleh yang demikian, saya berpandangan GST harus dilaksanakan semula dan tak dilupakan juga wajar dihentikan daripada menjadi alat tunganggan politikus untuk meraih sokongan rakyat. Dalam usaha membangunkan negara, lebih elok sebenarnya sekiranya apa-apa usaha yang dirancang dan dilaksanakan pihak yang bertanggungjawab dalam membangunkan negara seperti melaksanakan dasar, polisi dan sistem cukai disokong atau didebatkan ataupun dilakukan dialog dengan tujuan untuk menghasilkan suatu output yang lebih efektif dan efisien. 

Salah seorang menteri di dalam kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Bin Ibrahim sendiri juga menyatakan yang GST itu sendiri lebih punya kelebihan berbanding SST. Buktinya, di dalam Sinar Harian, Tengku Zafrul, yang pernah menyandang jawatan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri telah memberi bayangan – antara menteri yang melakukan hal sama selepas Menteri kewangan – yang GST bakal diperkenalkan semula (Sebelum Pilihan Raya ke-15). Menurutnya: “Sekiranya dilihat perbandingan antara GST dengan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), secara teorinya hasil kutipan lebih kurang sama, cuma dari segi praktikal GST lebih efisien kerana penipuan cukai sukar dilakukan.” (Khairil Anwar Mohd Amin, 2022).




4.0 KESIMPULAN


    Sebelum ini penulis telah menghuraikan tentang beberapa kebaikan yang bakal diperoleh (semula) kepada negara sekiranya GST dilaksanakan kembali. Negara bakal: (kebaikan GST). Jadi amatlah wajar sekiranya kerajaan mengembalikan semula GST ini. SST dilihat sedikit kurang kebaikannya berbanding GST. Hujah ini disokong dengan kata-kata Menteri Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri yang pernah memegang ‘kerusi’ Menteri Kewangan, Tengku Zafrul : “Sekiranya dilihat perbandingan antara GST dengan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), secara teorinya hasil kutipan lebih kurang sama, cuma dari segi praktikal GST lebih efisien kerana penipuan cukai sukar dilakukan.” (Khairil Anwar Mohd Amin, 2022). Tambahan pula, beberapa negara maju menggunakan GST. 

Dalam menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju, Kerajaan perlu melaksanakan reformasi cukai yang bermaksud menjadikan sistem cukai sedia ada lebih mudah, telus dan lebih cekap. Reformasi cukai juga perlu untuk meningkatkan hasil dan menggerakkan pertumbuhan ekonomi.

    Moga-moga GST tidak akan lagi dijadikan bahan tunggangan politik. Beberapa kajian lagi harus dilaksanakan bagi memastikan sistem cukai tak langsung yang lebih mantap dapat dihasilkan supaya negara dapat mencapai kemajuan dan kemakmuran. 

Ulasan

Catatan Popular