SAYA TELAH MENGHAFAL SELURUH QURAN PADA USIA 8 TAHUN, SEKARANG SAYA TIDAK LAGI PERCAYA KEPADA TUHAN.


    Ibrahim dibesarkan dalam keluarga yang sederhana beragama, tetapi dia sudah didedahkan kepada pengajaran yang lebih mendalam sejak usia muda. Pada usia 8 tahun, dia telah menghafal seluruh Quran. Dia diatur untuk menjadi seorang ulama. Namun hari ini, dia tidak lagi percaya kepada Tuhan.

Ditulis Oleh: Sheriff Alimi

Inilah kisah Ibrahim* seperti yang diceritakan kepada Sheriff:

Saya dibesarkan dalam keluarga Muslim yang terdiri daripada lima orang. Kami agak beragama, setidak-tidaknya ketika saya masih mudalah.

Ayah saya dibesarkan dalam keluarga yang kuat agama tetapi meninggalkan rumahnya di usia muda, jadi dia tidak dapat didedahkan banyak tentang agama sebelum pergi ke sekolah asrama. Dia tidak mahu perkara yang sama terjadi pada saya, jadi saya mula didedahkan tentang Islam sejak usia yang sangat muda.

Saya berumur lima tahun ketika saya pertama kali masuk ke Madrasa - sebuah sekolah Islam, di mana saya belajar tentang dasar-dasar bahasa Arab dan Islam itu sendiri. Saya menghabiskan dua jam di Madrasa selepas sekolah pada hari biasa dan lima jam semasa hujung minggu.

Pada usia 8 tahun, saya telah menghafal seluruh Quran. Ini adalah satu pencapaian yang dibanggakan; orang di sekitar dan dalam keluarga saya menganggapnya sebagai sesuatu yang hebat untuk dicapai pada usia begitu muda.

Saya tidak berhenti menghadiri Madrasa selepas itu, jadi saya dapat mendalami pelajaran saya lebih dalam. Pada tahap ini, saya sudah dalam pelajaran setinggi sekolah menengah untuk Studi Islam. Saya belajar tentang Undang-undang Islam, Tatabahasa Arab, pemikiran teologi, dan bahkan cara menulis puisi dalam bahasa Arab. Pada usia sepuluh tahun, saya sudah fasih berbahasa Arab.

Kawan perempuan semasa kanak-kanak saya baru-baru ini memberitahu saya bahawa dia menjangkakan yang saya akan menjadi seorang ulama. Tetapi tidak.

Pada waktu itu, bagaimanapun, saya adalah anak suri teladan bagi ayah saya dan keluarga besar saya - berpengetahuan dalam agama dan cemerlang di sekolah juga. Sudah hebat seimbang dunia akhirat bagi mereka.

Tetapi ada satu masalah - saya terlalu ingin tahu. Ia bermula sebagai sesuatu yang tidak berbahaya yang ayah saya benarkan, tetapi akhirnya ia menjadi sesuatu yang seolah-olah ada nyawanya sendiri.

Saya akan mempertanyakan segala sesuatu yang tidak saya fahami, dan saya akan berdebat dengan awak sehinggalah saya mendapat jawapan yang memuaskan.

Pada awal sekolah menengah, saya terlibat dalam debat agama dengan rakan sekelas saya yang beragama Kristian mengenai agama yang "lebih tepat". Sekarang apabila saya berfikir tentangnya, saya pasti ia agak menjengkelkan. Bagi saya, saya tahu segalanya, dan agama saya adalah sempurna. Tidak ada kecacatan dalam apa yang saya pelajari, dan saya ada penjelasan logik yang kukuh untuk segala sesuatu. Bukannya dalam dialog antara agama itu pernah melampaui perdebatan yang  membahayakan, tetapi saya rasa puas bila dapat membuktikan bahawa saya betul.

Saya berumur 13 tahun ketika saya pertama kali sedar bahawa saya mungkin salah. Ia bermula apabila saya bertanya kepada seorang ulama tentang yang saya pelajari mengenai konsep takdir. Dalam doktrin Islam, kepercayaan kepada Qadar (takdir) adalah salah satu dari rukun iman.

Tetapi penjelasan yang saya terima dari ulama itu tidak masuk akal.

Sebagai seorang Muslim, anda sepatutnya percaya bahawa segala sesuatu yang berlaku ditetapkan dan ditakdirkan oleh Tuhan. Baik yang baik mahupun yang buruk. Dan ini tidak hanya berlaku pada perkara besar dalam kehidupan kita sahaja. Malahan perkara-perkara kecil seperti pilihan makanan awak untuk sarapan pada hari Isnin tertentu juga berlaku kerana Allah berkehendak begitu.

Soalan saya mudah: jika ini yang berlaku, mengapa Tuhan masih memerlukan kita untuk berdoa, beriman, berbuat baik, atau bahkan berbuat apa-apa? Kerana itu hanya kehendak-Nya yang bermain dalam kehidupan semua orang.

Bagi pertama kalinya, saya diberitahu bahawa ada  soalan-soalan diilhamkan oleh syaitan. Tetapi peristiwa ini adalah permulaan kepada pencarian jawapan saya. Saya bertanya kepada setiap orang dewasa yang saya kenal untuk mendapatkan jawapan, dan walaupun mereka semua melihat betapa tidak konsistennya idea itu, ia membuat mereka merasa mual kerana seseorang memabangkitkan ia. Mereka selalu terkejut setelah tahu apa kesimpulan yang logik. Oleh itu, mereka akan meminta saya untuk berhenti bertanya dan beriman saja, kerana ada perkara yang melebihi pengetahuan manusia.

Kerana saya tidak dapat mendapatkan jawapan daripada orang-orang dalam hidup saya, saya beralih kepada buku-buku. Ayah saya tidak pernah melarang jenis buku yang kami baca, dan untungnya, sekolah saya memiliki banyak buku. Ia mempunyai buku-buku yang sepatutnya tidak ada dalam perpustakaan sekolah menengah. Ia mempunyai novel yang meneroka sejarah agama, dan bahkan sebuah salinan Bhagavad Gita. Di sana saya membaca banyak tentang agama-agama lain dan doktrin-doktrin yang dibina atasnya. Saya juga belajar tentang agama-agama Abrahamic melalui lensa sejarah dan mulai melihat perkara dengan cara yang sangat berbeza.

Sebagai contoh, saya membaca tentang bagaimana pengumpulan Quran selesai beberapa tahun selepas nabi meninggal dunia, dan bagaimana pembentukan Quran membentuk asas bahasa Arab yang dipadankan hari ini, kerana puak-puak di situ memiliki dialek yang berbeza pada masa itu.

Jadi, bagaimana saya nak pastikan bahawa apa yang saya hafal sebenarnya sama seperti yang diajar kepada saya? Pada ketika ini, ajaran saya mula dilihat kurang kudusnya.

Juga, dengan ribuan agama yang wujud, dan laporan yang diterima mengenai pengalaman metafizik daripada masing-masing daripada mereka, bagaimana saya boleh pasti bahawa agama saya adalah yang betul?

Saya mengalami konflik rohani untuk beberapa masa, tetapi saya terus belajar di luar daripada yang saya selalu tahu. Apabila saya jejak ke universiti, akhirnya saya dapat bercakap secara terbuka tentang pandangan saya dengan kawan-kawan yang saya temui. Sesetengah dari mereka terkejut bahawa saya akan mengatakan perkara-perkara seperti itu, sementara yang lain mengakui bahawa mereka mempunyai keraguan sama, tetapi mereka memilih untuk terus percaya. lama-kelamaan, saya menyedari bahawa saya tidak terlalu bimbang tentang keimanan lagi.

Saya mula terlepas solat kerana saya fikir, "Apa gunanya?" Saya juga lelah bertanya soalan kerana pada kebanyakan masa saya tidak lagi peduli. Di rumah, ibu bapa saya perasan bahawa saya telah berhenti solat sama sekali, tetapi mereka fikir ia cuma fasa. Mereka masih memaksa saya untuk melakukannya, tetapi semuanya sekadar untuk menunjuk sahaja.

Setahun yang lalu, saya mengalami krisis eksistensial yang menggugahkan. Saya merasa seperti saya memerlukan sesuatu yang memberi makna kerana saya tidak lagi percaya bahawa ada seseorang di atas sana yang membimbing hidup saya. Saya agak tertekan kerana rasanya hidup saya tidak mempunyai makna sama sekali. Saya fikir, "Mengapa tidak kembali kepada beriman kepada Tuhan saja?  Penting sangatkah jika sebahagian daripadanya saja yang benar?"

Saya mula berdoa kerap dan melakukan semua perkara yang biasanya saya lakukan sebagai seorang Muslim nan patuh, tetapi rasanya seperti saya hanya melakukan hal rutin sahaja.

Saya telah berdamai dengannya sekarang - saya dah tak beriman, dan saya rasa tiada apa-apa boleh mengubahnya. Tapi saya tidak berniat untuk mengumumkannya secara terbuka tentang pegangan saya, sekurang-kurangnya bukan dalam kehidupan sebenar. Jadi, saya akan terus dan berharap sesuatu akan berubah dan membuatnya terasa betul lagi.

*Nama diubah untuk menjaga privasi.
Nota: Ini adalah kerja terjemahan rawak berdasarkan sebuah artikel menarik ditemui di internet. Artikel versi asal (Bahasa Inggeris) boleh ditemui di pautan ini: 

 

Ulasan

Catatan Popular