ISLAM DITINDAS ATAU LEBAI-LEBAI GELUPUR TAK RELEVAN?
Makian tidak surut-surut malah mula mewabak hingga muncul pula ugutan-ugutan kepada Nik Elin.
Pergilah ke mana-mana ruang medsos milik para lebai yang tidak habis-habis menunggang isu Nik Elin melawan Enakmen Syariah Negeri Kelantan, anda dapat lihat bermacam tomahan, cercaan dan ugutan usai mereka membaca dan mendengar perkongsian lebai-lebai. Mereka cuma mendengar alasan sebelah pihak. Bagaimana dengan pihak satu lagi (dalam kes ini, Nik Elin, tentunya)?Bagaimana pula dengan bacaan-bacaan tambahan?
Tahniah! Inilah yang negara dapat tuai apabila benih mabuk agama dan ketaksuban dibiar bercambah, menumbuh. Hemat saya, kalau yang disemai itu pemikiran kritis (antaranya), kebodohan melampau, oleh puak pelampau dan pengikutnya, tidak zahirlah di pandangan kita semua.
APA MASALAHNYA?
Wujud dua set undang-undang atas lebih kurang 20 kesalahan yang sama di bawah undang-undang sivil dan undang-undang syariah di Kelantan. Barangkali wujud kerana kononnya mahu tampil paling Islamik tetapi lupa kesalahan jenayah yang diluluskan Kerajaan Negeri Kelantan itu turut menjadi kesalahan di bawah undang-undang Malaysia. Makanya, mereka (muslim) yang melakukan kesalahan yang dicabar Nik Elin ini akan didakwa dua kali untuk kesalahan yang sama. Jadi, di manakah keadilan kalau seseorang itu didakwa dibawah lebih daraipada satu undang-undang hanya kerana dia memegang (atau terpaksa memegang, tapi itu cerita lain!) status beragama Islam? Cukup satu sajalah, nak banyak-banyak buat apa?
IBARAT ORANG BUTA DIBAWA MASUK KE DALAM LUBANG TAHI
'Melawan undang-undang syariah = melawan Islam, Allah' bagi saya adalah satu naratif yang lucu. Undang-undang syariah itu sendiri bukan datang dari Allah pun. Rekayasa manusia majoritinya. Mereka-mereka yang mendengar cakap lebai-lebai, yang tiada sumbangan langsung dalam ekonomi, teknologi, perubatan dan sebagainya selain cuma pandai jual air liur, dan tak dilupakan Tuan Mufti, yang ketika ramai kibar bendera putih sebab berada dalan situasi tenat boleh bincang hukum makan daging penguin, ibarat orang buta dibawa masuk ke dalam lubang tahi saja.
MELAWAN ALLAH ATAU MENGGUGAT PENJUAL AIR LIUR?
Menggelupur Melayu Islam dan paling mengejutkan (sebenarnya tidak pun) ada sertakan ugutan, makian kepada mereka-mereka (dalam kes ini, Nik Elin) yang cuba nak buat benda wajar.
Lucunya, mereka--yang kerjanya cuma angguk, setuju kata-kata dari lebai yang langsung tak menyumbang apa-apa kepada negara (mahu bina masjid, pondok pun minta duit orang ramai!)-- terkinja-kinja mempertahan undang-undang buatan manusia yang dijenamakan dengan nama 'syariah' dan kemudiannya didakyahkan sebagai datang daripada Allah.
Pengikut-pengikut pak-pak lebai mungkin tidak tahu yang sebenarnya ikutan mereka sedang risau benar pengaruh dan kuasa mereka tergugah makanya mereka, dengan menggelupurnya, terpaksalah memainkan naratif sampah seperti umat kini dalam keadaan 'tertindas' dan yang seerti. Maka, ramailah para pengikut yang termakan najis penipuan dari pak-pak lebai, tuan mufti dan penunggang yang mengatakan ada manusia-manusia yang mahu melawan hukum (kononya datang dari) Allah.
'Melawan Allah' atau menggugat manusia yang kemudiannya tak dapat cari makan (dengan cara tak sama manusia lain mencari makan iaitu) dengan jual air liur?
Lucu juga apabila melihat ragam dan gelagat mereka yang meninggalkan tapak kaki berupa cacian, makian, ugutan, mengharapkan musibah kepada mereka-mereka yang berniat melakukan perkara yang (sememangnya) wajar.
PEMIKIRAN KRITIS, AMALAN MINAT MEMBACA PENTING
Seperti kata pujangga: Tidak membaca jambatan bodoh! Maka, semua orang wajarlah dilengkapkan dengan semangat minat membaca dan pada masa sama dikurang-kurangkanlah minda 'rasa tertindas' sebab ianya hanya membawa kepada kemunduran semata. Bacalah karya-karya yang menggugah dan bukan banyakkan membaca karya-karya teori konspirasi dan buku-buku agama ada ton konservatif saja. Lautan pembacaan itu luas, maka renangi dan selamilah!
Kerajaan perlu main peranan sebenarnya. Pemikiran kritis perlu diterapkan awal dan wajarlah kepada orang-orang muda (pelajar-pelajar sekolah). Tidaklah nanti bila membesar, membesar dengan membawa kebodohan, ketaksuban, dan sikap hanya menerima tanpa menilai.
Apa-apa pun kuasa menetapkan sesuatu adalah di tangan kerajaan (Anwar dan jenteranya). Apa yang kita boleh lakukan kini cuma lihat, kongsi opini, menyampaikan di massa, dan makan popcorn saja.
Kepada Tuhan kita berserah. Moga-moga negara yang multi-agama, kaya pelbagai ras dan budaya ini senantiasa dalam keadaan aman.



Ulasan
Catat Ulasan