AHMAD FUGI MENULIS POJOK - Cerpen Amier Suhaimi


 

    Sedia maklum kita: Tugas syaitan sesungguhnya menghasut manusia menuju kebinasaan. 

    Ahmad Fugi kini masih bersetuju total akan hal itu yang dimaklumi beliau pada suatu malam gelap berbintang banyak sewaktu mudanya bekerja sebagai stringer Utusan Tanahair. Dia juga berpandangan yang sesungguhnya dalam keramaian manusia kini, ada syaitan-syaitan yang zahir tapi tersembunyi. Syaitan jenis ini (zahir tapi tersembunyi) kadang menampakkan sisi sebenarnya pada mereka-mereka yang tertentu--mangsa (kebanyakkannya) dan terbuka hijabnya bagi mereka yang berfikir.

    Pada suatu malam gelap berbintang banyak, Ahmad Fugi ligat berfikir dan ligat juga jari jemarinya menaip pantas atas papan kekunci, di depan PC. Dia sedang menulis pojok, suatu yang boleh dikata kegemarannya setelah diberi ruang usai dia berhenti dalam dunia kewartawanan (sudah tentu kerana gila-gawat politik dalam pejabat, dalam negara). 

    Akhir-akhir ini, di pojoknya dia kerap menuliskan soal ketaksuban melampau, tunggang agama, Islamisme dan bahananya, dan ulama jahat--serta beberapa lagi yang berkaitan.

    Di depan PC Ahmad Fugi tidak berbaju kerana malam sedikit bahang dirasakan (barangkali nanti akan hujan). Terdedahlah tubuhnya yang kurus kering berkeringat itu kepada kipas berputar pantas berbakti dari siling atas lebih semeter darinya.

    Sambil menaip dan jeda (kerana hilang ilham) itu, PC Ahmad Fugi memainkan video rawak lewat internet: Ada lagu, ada berita, juga serpihan ceramah politik kedengaran dan sambil menaip, menekap matanya yang berkaca mata segi empat tepat itu pada skrin, dia mendengar juga kalimat-kalimat lagu, berita dan serpihan ceramah politikus. 

    Ahmad Fugi jeda. PC-nya semacam mengerti lalu menayang pula serpihan ceramah parti yang gemar digelarnya Parti 'Lingkaran Syaitan' itu.

Suara lelaki kedengaran. Keras. Lantang kerana ketika itu musim pilihanraya. Jelasnya: "Undi kami maka anda mampu masuk syurga. Undi selain parti ini, masuk neraka!"

    Ahmad Fugi kembali lancar menaip. Serpihan pojoknya berbunyi begini:

"...Suatu ketika dahulu ketika saya terlibat dalam dunia kewartawanan, saya telah diberikan sepucuk surat daripada sebuah kumpulan ajaran sesat Al-Fulqrum. Mereka meminta agar jangan dibikin lagi tohmahan kepada mereka dan janganlah mempersenda hukum-hukum dari Tuhan. Menurut surat mereka itu, saya (lewat pendedahan di akhbar sebelumnya) mengutuk, kecam pakaian menutup 'aurat' dan sistem poligami yang pada masa itu memang sinonim benar dengan ajaran sesat Al-Fulqrum itu. 

Sudah tentu saya mendedah dan mengkritik dengan beralasan. Dan alasan saya itu waras!

Tidak lama selepas itu Jabatan Agama Negara (JAN) telah bertindak mengharamkan Al-Fulqrum. 

JAN DULU
Selepas itu, dari satu tahun ke tahun, kita dapat lihat kerja-kerja JAN mengharamkan ajaran yang menurut mereka menganggu ketenteraman awam yang multiras. Antaranya, ajaran Ayah Zin yang mengaku dewa dan pemilik negara atas langit dan juga ajaran Imam Awang Hitam yang mula membentuk kumpulannya untuk menakluk negara dengan alasan perlembagaan Negara Antah-Berantah bersifat kurang nilai agamanya. 

Namun demikian kalau dilihat hari ini seperti langit dengan bumi, lembu dengan babi kalau dibandingkan dengan pekerjaan pegawai-pegawai JAN kini. Mengapa saya mengatakan demikian? 

JAN KINI
Sebenar menurut penelitian saya, JAN semacam agak selektif dalam menentukan ajaran-ajaran mana yang perlu dibenteras, diharamkan dan tanda-tandanya sudah (sebenarnya) awal saya lihat sebelum mereka memandulkan Al-Fulqrum lagi..."

    Ahmad Fugi berhenti menaip dan dia teringatkan peristiwa suatu malam gelap berbintang banyak di sebuah daerah, di sebuah dataran penuh orang bertemasya menyaksikan Syaikh Tani, seorang politisyen-agamawan, di atas pentas berceramah politik (Tapi bagi pentaksub Parti Lingkaran Syaitan, ia adalah ceramah agama). Waktu itu, dia seorang stringer--menurut Ketua Pengarang Utusan Tanahair, dia terpilih kerana tubuhnya kecil!

    Di depannya ribuan orang. Ahmad Fugi ketika itu menjadi saksi. Menyelit-yelit tubuh kecilnya dalam keramaian pentaksub itu. Tuan Guru Syaikh Tani menjelaskan mengapa umat harus menolak kerajaan sedia ada. Malam gelap berbintang banyak itu jadi saksi, malam itu, bulan April, Tuan Guru Syaikh Tani bertanggungjawab mengeluarkan amanatnya. 

    Malam itu titik mula umat punah. Malam itu titik mula negara jahanam. Tuan Guru Syaikh Tani secara tersirat melakukan tuduhan takfiri (mengatakan seseorang atau organisasi itu sebagai kafir) kepada ahli parti Kerajaan sedia ada kerana bekerjasama dengan parti orang kafir, mengekal perlembagaan (yang menurutnya) kafir dan memisahkan agama daripada politik. Kerajaan begitu wajar diperangi, tambahnya.

    Ramai bersorak-sorakkan. Meniti nama Syaikh Tani dan nama Tuhan di bibir ribuan pentaksub. Mereka terpekik-pekik menyokong bayangan syaitan di pentas itu. Malam itu adalah satu permulaan kepada ketidakwarasan berpunca dari ketaksuban dan kepatuhan membabi buta!

    Tatkala malam sudah larut, di katilnya, Ahmad Fugi tak dapat tidur. Dia memikirkan apa yang akan berlaku berikutan Amanat Syaikh Tani itu. Dan dia teringatkan kata-kata seorang lelaki tua yang menemuinya (yang cemas itu), secara tiba-tiba memegang tangannya dan bercakap-cakap akan sesuatu dalam kebingitan jerit-pekik-lolongan pengikut Lingkaran syaitan itu.

"Nak, tugas syaitan sesungguhnya menghasut manusia menuju kebinasaan! Jangan ikut syaitan itu! Jangan kau ikut syaitan itu!" Dia menunjukkan ke batang tubuh atas pentas disimbah cahaya lampu itu. "Jangan kau ikut dia masuk ke lubang biawak!"

    Dan lelaki tua itu hilang secara misterius dalam keramaian itu. Dia bingkas pulang ke inap desa dan dalam keadaan resah mula memuntahkan segala yang dirakamnya atas mesin taipnya. Dia harus segera serahkan ke Utusan Tanahair untuk disiarkan!

    Pada malam gelap berbintang banyak itu. Pertama kali dalam tahun itu, Ahmad Fugi tidak dapat tidur. 

    Malam ini, sesudah Ahmad Fugi menyegar dengan beberapa kali sapuan air ke muka, dia meniliti kembali pojoknya sebelum dihantar:

"...Pada hemat saya, sewajarnya pada malam gelap berbintang banyak, bulan April, ketika saya menjadi seorang stringer Utusan Tanahair dulu, JAN wajar gegas bergerak menyekat fahaman ekstrim Syaikh Tani. 

Angkara amanat Syaikh Tani pada malam itu, umat Islam bersengketa sesama mereka. Anak kafirkan bapanya sendiri kerana tidak memilih parti Lingkaran Syaitan, wujud fenomena dua imam lantaran pengikut Lingkaran Syaitan enggan berimamkan orang lantikan kerajaan, penceraian akibat berlainan fahaman politik, penolakan terhadap sembelihan orang berfahaman politik kerajaan dan paling fatal sekali adalah, Amanat Syaikh Tani telah menyebabkan pembunuhan beramai-ramai! 

Kegilaan ini berlanjutan lama! Tapi agamawan hanya menfatwakan amanat Syaikh Tani haram, sesat selepas berpuluh tahun amanat sial itu mengorban dan memangsakan ribuan manusia. Syaikh Tani juga masih diberi peluang berpolitik walaupun sakit-sakit di usia tua.

Beberapa dekat kemudiannya, kini, ditakdirkan Tuhan, saya dengan mata saya sendiri melihat Amanat Syaikh Tani sudah ditarik balik fatwa pengharamannya. Ini berlaku ketika Parti Lingkaran Syaitan menjadi komponen dalam kerajaan. Amanat syaitani sudah halal, Syaikh Tani pula bebas menyebar fahaman kejinya, dan pada masa yang sama, JAN hanya membiarkan bayangan syaitan terus melata di bumi tercinta kita! Perpaduan antara masyarakat berbilang ras semakin dicarik-cari oleh bayangan syaitan!

Atas alasan itulah saya mengatakan yang JAN sangat pilih bulu dalam membenteras dan mengharamkan sesuatu fahaman. Ada yang tidak kena sebenarnya dan saya dapat rasakannya. Tambahan lagi saya menerima banyak pendedahan dari beberapa orang: yang dalam JAN itu sendiri ada pentaksub-pentaksub Lingkaran Syaitan! Kerajaan harus segera melakukan sesuatu sebelum negara punah dimamah pelampau!"

    Ahmad Fugi selesai menaip pojoknya tetapi kekal pegun atas kerusi duduknya dan menghadap PC kepalanya. Sedang resah dia memikirkan. Dia menerima emel oleh Aishah, antara sosok yang melondehkan JAN, dan Tamim Ad-Dhari, pemuda nan berani menceritakan pengalamannya menjadi guru di sebuah sekolah menengah tajaan parti Lingkaran Syaitan yang menyenandungkan lagu Lingkaran Syaitan seusai lagu negeri setiap kali di perhimpunan pagi. 

"Ah, ketidakwarasan apa ini!" Ahmad Fugi meluahkan. Ditekup mukanya. Ingin dia menyedut harum sigaret tapi dia teringat yang dia wajar meninggalkannya--walau apa pun jadi!

    Sebelum jatuh tidur, dia pinta kepada Tuhan moga-moga dipanjangkan lagi hayat dan kudratnya dan kalau sudah sampai waktunya berada dalam dakapan Tuhan, dia berharap amat yang dia akan hidup sejuta tahun lagi dan ekstrimis, ekstrimisme akan segera pupus dari tanah airnya!




Ulasan

Catatan Popular