REVIU: Novel AUSTRALIA karangan Mama Regina Ibrahim
Hello!
Dah lebih setengah bulan juga aku tak tambah entri baru dalam blog ni. Sibuk. Terkejar-kejar dengan hal kampus dan hal-hal lain juga sampai tiada masa nak tulis entri baru di sini. Sekarang cuti semester. Dapat juga luangkan masa dengan habiskan buku-buku yang aku beli via Shopee dan pesta buku.
Minggu lepas aku langsaikan satu novel FIXI berjudul AUSTRALIA karangan salah seorang penulis kegemaran aku, Mama Regina Ibrahim. Dalam entri ni, aku mahu tulis reviu aku tentang AUSTRALIA. Secara ringkasnya, AUSTRALIA novel yang bagus dan aku galakkan semua untuk beli dan baca.
Aku habis pembacaan dalam masa yang sekejap saja. Sifir mudah sebenarnya -- cepat habis pembacaan menandakan buku itu bagus, kena dengan selera aku dan memang direkomendasikan kepada semua (pembaca yang matang).
AUSTRALIA berkisah tentang tiga orang wanita di latar tempat yang sama -- Malaysia dan Australia. Masing-masing warga Malaysia dan mereka menjejakkan kaki di Tanah Kanggaru dengan alasan dan tujuan yang berbeza.
Rozaina, wanita yang punya pendirian dan tidak punya rezeki berjodohan di awal cerita, Rohana yang berupa seorang bekas pelakon yang hidup sentiasa berwaspada dan moderat, dan akhir sekali Si cekal Mirna (seorang transnita) yang punya pengalaman yang boleh dibikin pengajaran buat yang membaca. Mama Regina bijak bercerita, membahagi ruang dan menyampaikan cerita secara tersusun rapi mengenai perjalanan Rozaina, Rohana dan Mirna.
Yang paling aku gemarkan adalah kisah Rohana. Bikin kaget dan teruja pula ingin tahu bagaimana Mama Regina bisa peroleh idea yang sebegini fantastik. Menurut Mama lewat Tiktok, segala kisah di dalam AUSTRALIA adalah kisah benar yang difiksyenkan. Kisah Mirna, juga saya sukai, bawa rasa tak tersangka-sangka di akhir cerita. Si cekal Mirna digarap Mama amat baik dan penuh sekali dengan pengajaran tentang narkotik. Kisah Rozaina, yang tidak bernasib baik di awal dan sewaktu di hujung waktu berada di Australia, juga tidak kurang baik juga. Beberapa bab di akhir novel AUSTRALIA berjaya bikin saya penasaran benar sebab mahu tahu apa nasib Rozaini di akhir cerita -- adakah peristiwa lepas sebelum berangkat ke bumi Australia akan berulang?
Novel AUSTRALIA berjaya mendorong minat aku untuk menjejakkan kaki ke tanah Australia. Aku mahu menikmati yang seronok-seronok seperti mana watak-watak dalam AUSTRALIA itu rasai-- Mengamati suasana di Three Sisters, tidur bersama pasangan dalam posisi sudu di kamar dengan tingkap yang punya pemandangan kota di Australia dan lain-lain.
Paling penting dalam setiap novel Mama pasti akan terselit banyak mutiara-mutiara berupa nasihat dan pesan-pesan dalam susunan perkataan-perkataan. Cubalah cari dan baca nanti.
Rate: 4.8/5.0


Ulasan
Catat Ulasan