HARI BERTUAH RAHEMAN cerpen amier suhaimi

 



    Matahari pagi tanpa segan bertelanjang atas langit kampung. Merenjis-renjis sinarnya ke seluruh kawasan. Raheman dilihat berjalan kaki menuju ke Warung Maniam. Ada sepeda yang dikayuh Anand, anak lelaki kepada Maniam, juga dilihat mengikuti laluan yang sama dengan Raheman. Kalau sudah anak Si Maniam, dah tentu hala tujunya ke kedai bapaknya. Hadirnya dia adalah untuk membantu bapaknya yang kekadang tak menang tangan itu. 

Melihat Anand dengan sepedanya, ada terdetik pula rasa dalam hati Raheman untuk sampai dulu ke kedai Maniam. Dia jalan, laju. Namun, dalam perlumbaan yang hanya diketahui Raheman itu, Anand yang sampai dulu. "Shit...." Raheman menyumpah dalam hati. Dilihatnya Si Anand (barangkali) dimarah Maniam dengan bahasa tamil yang dia langsung tak faham - mungkin kerana hadir lewat. Pandangan dia tertumpu pula pada kawasan meja-meja makan yang dipenuhi orang. Tanpa perlu amati lama-lama pun sudah dia tahu yang pelanggan Si Maniam yang duduk minum kopi, duduk borak santai, duduk main dam dan yang duduk baca surat khabar sambil dengan lagu tamil melalui radio buruk itu bukan sesiapa pun, orang kampung sini belaka.

    Ada satu wajah yang benar-benar Raheman kenal: Siva, kawan lamanya yang lebih kurang sebaya arwah ayahnya. Raheman tak pilih bulu dalam berkawan. Janji ada nilai hormat. Raheman sudah tahu, tanpa belajar secara formal subjek Agama Hindu di sekolah selama berbelas tahun pun dia memang orang baik. Tambah lagi, dia gemar betul berkawan dan berbual dengan orang lebih berumur - barangkali mereka yang lebih tua itu telah banyak makan garam: penuh pengalaman dan macam-macam penyakit menjalar juga kerana terlebih makan garam!

    "Wah, Rahemannnnn.... Mari. Sini duduklah!" Siva yang teruja mempelawa Raheman duduk di meja yang sama. Raheman senyum. Sebenarnya sebab dua alasan: pertamanya dapat bertemu Pak Siva dan keduanya, senyum yang menahan gelak kerana suara Siva masih malar semacam suara pelakon berbangsa India bernama Sathiya - bukan itu saja, lagaknya dan misai itu juga. 

    Lekas-lekas Raheman melabuh punggung atas kerusi plastik warna putih yang bertentangan dengan Siva. Atas meja ada kopi kosong yang sudah diminum separuh dan akhbar dengan tulisan Tamil nan bergulung-gulung. Sebenarnya Siva tidak membaca pun. Malas barangkali. Dia cuma belek helai-helai kertas yang penuh tulisan bergulung-gulung berserta gambar itu. 

Raheman dan Siva mulalah berbual kemudiannya:

"Mau makan apa? Mau minum apa?"
"Minum ajelah."
"Ha, lekas orderlah."

    Raheman mengangkat tangannya, melambai-lambai pada Maniam yang tengah bancuh air. "Pak... kopi wunne!"

Dilihat Maniam angguk beberapa kali tanda mendapat pesanan Raheman. 

"Dey, Mani! Ini budak mau kopi, satu!"
"Ayoyoyo... ini orang tua... aku dengarlah, dey!" 
"Kata kita orang tua... Dia pun orang tua juga." 

Siva ketawa dan Raheman juga ikut terkekeh-kekeh. Maniam, yang mesra dipanggil Mani turut  tersenyum. Selepas itu, lagu yang baru mulai berkumandang melalui radio buruk Maniam. Tiada dipasang tivi di situ. Cuma radio buruk saja dan itulah yang berbakti sejak dulu lagi. Lagu lantunan seorang vokalis wanita yang berkumandang itu sedap sungguh di kuping Raheman meskipun dia tak faham sepatah haram yang liriknya itu. Raheman memandang Maniam. Dilihatnya Maniam itu  bergerak-gerak tubuhnya, berjoget kecil seiring lagu yang keluar dari radio. 

Mata Raheman beralih pada Siva yang duduk bertentangannya. Dilihatnya Siva rakus benar meneguk kopinya yang sedikit sejuk itu. Tinggal sedikit lagi baki kopinya dalam gelas usai itu.  

"Dey, tambi... Minum saja mau, makan tarak mau ka?"
"Kenapa? Pak Siva mau belanja ka?"
"Yalah! Kamu sudah balik sini lama tarak jumpa mau kasi makan free lah!"
"Adui... Saya mau minum aje pagi ni. Petang nanti sajalah, Pak Siva."
"Ohoooo... Bolehlah. Mana mau makan?"
"Kedai cina dekat bandar sana."
"Dey... Itu kedai kamu boleh makan ka? Mana ada Melayu makan sana."
"Ayoyo, Pak Siva... Itu Melayu lain. Saya Melayu lain."
"Melayu lain?"
"Ya, banyak lain!"

Setelah diterangkan Raheman, barulah faham Siva yang lelaki yang selalu dia gelar 'tambi' itu bukan beragama Islam. Huruf O keluar melalui mulut Siva dikeluarkan lama. Anand muncul sekejap menghantar kopi hitam segelas untuk Si Raheman.

"Tapi tambi... Mana boleh keluar... Nanti kena potong!"
"Potong kepala?"
"Yalah dey. Ayoyoyo.... Banyak berani ini tambi."
"Hahahah... Dia orang tak ada tahu. IC pun tak boleh tukar. Mana boleh potong, Pak."
"Ayoyo... Macam itu pula. Banyak pusing."

Raheman ketawan kecil.

"Tapi tambi... Dia orang itu siapa?"
"JAN. Jabatan agama Negara."
"Ohooooo... Dia orang tarak tahu, jadi tarak potong lah. Tapi saya ada tahu."
"Ayooo... Pak Siva Islam ka?"
"Takkkkkk... Engkau tarak baik tuduh. Saya cakap saja.... Saya bukan Islam, tapi saya tahu kamu."
"Pak Siva nak masuk Islam?"
"Takkkkk la dey... Saya banyak takut. Kalau masuk nanti kena potong. Mau keluar juga dia orang mau potong."
"Kah kah kah."
"Ayooo ini tambi... Orang kata betul dia ketawa pula."

Raheman tunjuk telapak tangan pada Siva. Itu tanda dia mahu perbualan antara mereka berdua itu dijedakan sebentar. Raheman kemudiannya panggil Anand, "Anand... Saya mau piring. Mau kasi sejuk cepat ini kopi."

Anand angguk dan kemudiannya berlalu mendapatkan piring usai lepas hulurkan secawan teh tarik pada seorang lelaki melayu tua yang duduk hujung warung. 

"Dey, tambi... Mau makan apa dekat kedai cina sana?" tanya Siva. Raheman tersenyum nakal. Siva pula dilihat panasaran. "Aiyo Pak Siva... sudah gaharu cendana pula, sudah tahu bertanya pula?" Raheman balas pula dengan persoalan. Dalam kepala Siva tengah ligat berfikir apalah Si Tambi bertuah ini mahu makan. 

"Aiyoyooooo.... Tambi... Tak payah sudah gaharu, sudah gaharu lah dey. Garu kepala saya. Banyak pusing. Mau makan apa?" Siva mahukan jawapan. Raheman ketawa kecil. Dalam kepala ada terdetik juga apa Siva ini memang polos atau sengaja jadi polos, buat-buat tak tahu. Macam main teka-teki jadinya. Raheman rasakan kalau mahu tunggu jawapan dari Siva, agaknya sampai Pak Maniam tutup kedai pun Siva tak dapat tangkap apa dia mahu makan. Lantas itu, Raheman beri juga klu jawapan, "Ba..."

Siva ikut juga kata Raheman, "Ba...?"
Panjang berharakat Siva mengucap 'ba'. Dirasakan lucu oleh Raheman. Dia ketawa lagi terkekeh-kekeh. Setelah lama menyebut 'ba' barulah Siva faham apa yang Raheman maksudkan. 

"Ohooooo.... Ada faham! Aiyoyo... Cakap sajalah mau makan 'itu', dey!" Ujar Siva, Raheman dilihat senyum nampak gigi yang kuning keputihan. 


***

    Lagu silih berganti. Raheman dan Siva masih tetap di kedudukan sama di Warung Maniam.  Kopi yang diminum kedua mereka sudah berganti air kosong bergelas-gelas. Raheman yang menyarankan. Kena jaga kesihatan, nanti dah tua susah dan menyusahkan! 

    Siva dalam mengamati lagu, melilau juga matanya. Dicampakkan pandangannya ke atas jalan tar di tepi Warung Maniam. Ada seorang lelaki dilihatnya yang membonceng motor perlahan. "Waaaaa.... Anak Ahmad Karim... Sini marilah dey!" Siva memanggil. Kuat suaranya. Raheman menutup kedua belah tangannya sambil mata ditancapkan pada surat khabar bahasa tamil - belek-belek gambar juga sebab dia tidak reti berbahasa tamil. 

    Anak Ahmad Karim datang mendekat pada meja yang ada Siva dan Raheman. Sebuah kerusi plastik warna merah diperoleh dari meja belakang dihulur Siva kepada lelaki tinggi lampai yang tercegat berdiri itu. Punggungnya berlabuh manakala Siva pula mencuit Raheman. Dia mahu memperkenalkan sama tambi di depannya itu anak lelaki Si Ahmad Karim. Namanya Saharul. Menurut empunya tubuh, dia baru balik dari Al-Azhar. Ada bunyi O dari kedua Siva dan Raheman. 

"Apa itu Al-Azhar?"
"Aiyoyo, Siva.... Ingatkan bunyi O tadi sebab tahu."
"Ayooo...  Tambi... Kasi tahu sajalah."
"Itu sekolah... Eh, bukan... Itu Universiti. Dekat arab sana."
"Waaaaaa.... Arab. Bagus ini anak belajar jauh-jauh. Belajar apa saja?"

Saharul, anak lelaki Ahmad Karim yang merupakan kenalan Siva mulailah dapat berbicara. Balasnya pada Siva, "Belajar agama. Biasa-biasa je." 

"Ohooooo... Faham. Banyak bagus ini anak Karim." 
"Eh, biasa saja tu, Pak Siva. Alih-alih nanti dia kerja sini juga. Kalau tidak kerja cikgu agama, cikgu arab, dia jadi itu orang di Jabatan Agama Negara juga!"
"Aiyo... Itu macam ka, anak Pak Karim?"

Saharul angguk saja. Tidak tahulah sama ada Raheman yang duduk sedikit menjauh dengannya itu mengejek atau cerita perkara yang benar. Yang benar pastinya sukar ditelan. Dia angguk saja, bersetuju dengan apa yang dikatakan Raheman dan lalu berkata pula, "Ya... Nanti saya dapat kerja dekat JAN. Kerja pegawai JAN bahagian sini." 

"Ohooo... Baguslah dapat jadi pegawai. Banyak bagus. Itu kerja pejabat boleh... Itu satu lagi... Err... Kerja tangkap-tangkap orang pun boleh."
"Bagus? Merepek sajalah Pak Siva nak main tangkap-tangkap orang. Dia nak pakai seksyen mana? Itu polis saja boleh tangkap."
"Aiyoyo ini tambi... Saya tarak tahulah benda undang-undang ni."

Saharul yang mendengar kata-kata Raheman rasa macam dibakar pula. Jadi, dia tersengih-sengih sajalah mendengar bualan Siva dan Raheman. Sesekali Raheman nakal mengusik Saharul, "Nanti kerja pegawai JAN jangan tangkap orang yang main dekat hotel tiga bintang ke bawah aje, tahu."

Saharul pula yang mendengar sekadar ketawa kecil yang dibuat-buat seraya mengangguk saja. Raheman pula menyambung lagi usikannya, "VIP dekat hotel lima bintang jangan lupa, tahu."

    Memang puas benar hatinya dapat membakar Saharul. Raheman dapat merasakan yang ini semacam hari bertuah dia pula kerana dapat makan menu istimewa petang nanti (dibelanja Siva) dan sekarang dapat pula membakar anak Haji Ahmad Karim yang dulu bukan main riak bila anaknya, Si Saharul, dapat belajar agama (sahaja) di tanah arab sana. Soal ayah Saharul itu bukan soal pokok, sebaliknya soal JAN yang gemar benar buat perkara yang tak sepatutnya dan bercanggah pula dengan ayat Tuhan mereka sembah itulah menjadi penyebab utama Raheman membakar Saharul yang bakalan menjadi pegawai JAN itu nanti. 


Ulasan

Catatan Popular