SEBAIK-BAIK WANITA, SEJAHAT-JAHAT WANITA cerpen Amier Suhaimi

    


     Petang hari di restoran cina muslim dekat dengan kawasan kami menetap, dilihat ada beberapa orang yang sedang menikmati mi tarik dan ada juga yang tengah makan dumpling. Aku dan Nadzeera duduk betul-betul dekat kawasan yang melekat alat penghawa dingin usai buat pesanan: dua mangkuk mi tarik dan minuman.

    Punggung dilabuhkan dan telefon pula dikeluarkan dari tas tangan. Mata menatap pada telefon - membaca beberapa posting di Facebook - dan sesekali juga pada pekerja-pekerja yang bikin mi tarik dekat dapur yang belakang kaunter ambil makanan - biasanya ambil mi tarik yang siap dekat situ.

    Ada satu video kelakar terpapar dalam Facebook. Aku ketawa kecil. "Tengok ni, Nad." Kata aku, pandangan beralih kepada muka dia - dengan hasrat mahu tunjukkan pada dia video itu. Dan mulailah sedar aku yang sebenarnya Nadzeera dah lama memanah wajah aku dengan renungannya. 

    Aku menyoal kemudiannya, "Kenapa?"

    "Dah lama tak jumpa Ustazah Semah." Dia balas. Aku setuju, Katanya betul. 

    Aku beritahu dia yang memang sudah lama aku tak bertemu Ustazah Semah dan tindakan itu sebenarnya disengajakan. Aku beritahu dia juga yang rasa tenang itu kian menguntum pula bila makin banyak hari aku memonteng dengar ceramah perempuan itu. 

    Ada bunyi O yang perlahan dari mulut Nadzeera yang duduk bertentangan dengan aku di meja makan. Dapat aku rasa yang sebenarnya Nadzeera mahu tanya lagi (berkaitan hal ini) tapi sengaja dia pendamkan. Barangkali mahu menjaga hati. Tersenyum kecil aku - kerana terbit rasa lucu dan gembira juga. Nadzeera, walaupun sudah lama bersahabat,  masih tidak yakin untuk menyoal pada aku soalan-soalan begitu padahal tahu aku orang yang sedikit terbuka untuk berbincang hal-hal begitu. 

    Mata memerhati kawasan dapur tadi. Mi tarik masih belum siap tapi air yang dipesan tadi - teh dan sirap - baru saja diletakkan atas meja makan kami. Aku minum sedikit teh, sekadar basahkan tekak. Ada beberapa orang yang baru saja selesai makan dan mulai keluar dan beberapa orang lagi mulai masuk - ada yang sedang beratur di kaunter pesanan-bayaran serta ada yang mulai cari tempat duduk. 

    "Tapi... Kenapa?" Tiba-tiba Nadzeera membangkitkan pertanyaan. Rasa ingin tahu betul-betul menjalar pada dirinya sehingga rasa memendam itu meletus. Aku beri isyarat tangan - menandakan 'tunggu sekejap' - kerana mahu minum lagi. Sambil itu, aku sedang susun ayat jawapan dalam kepala. 

    Setelah habis ditelan teh itu dan jawapan pun sudah siap dikarang dalam kepala, maka aku pun beritahulah apa alasannya aku mulai menghindar dari perempuan itu:

    Dalam ceramah terakhir yang aku pergi dulu, Ustazah Semah pernah kongsikan buah fikirnya: sebaik-baik kita (orang perempuan) adalah yang tidak menarik perhatian ramai. 

    Nadzeera mengangguk. Setuju barangkali kerana waktu kali terakhir aku dengar ceramah Semah, dia berada di sebelah aku. Aku melanjutkan alasan, "... Dan aku dapati yang dia (Ustazah Semah) selalu menarik perhatian orang dengan buah fikir, perkongsian dan statement yang aku kira tidak logika... dan dangkal juga! Masih ingat waktu dilanda banjir dulu?" Aku merujuk perkongsian Semah lewat Facebook yang mengatakan agama kita benar kerana waktu dilanda banjir, kitab agama kita tidak musnah. 

    Fikiran melayang pula pada buku-buku aku - tulisan Mustafa Akyol, Irshad Manji dan novel Faisal Tehrani, 'Perempuan Nan Bercinta' - tidak musnah dilanda air banjir beberapa tahun lalu. Apa pula maksudnya (atau tandanya) tu?

    "Ya... Betul juga." Kata Nadzeera, lalu dia menyedut beberapa kali air sirapnya sebelum menyambung, "... Baru-baru ni juga Ustazah Semah ada buat surat terbuka untuk orang awam. Jangan terlalu gembira politikus yang mencuri wang rakyat dipenjara, kata dia sambil tunjuk simpati dan apologetik tak tentu fasal pada politikus tu. Padahal kita gembira kerana keadilan masih tertegak di sini."

    "Kalau mahu tunjuk simpati... Patut dibuatnya pada waktu seorang mak dipenjara kerana curi serbuk minuman koko dalam tin itu hari. Tapi mana dia waktu tu, ya?" Aku menambah.

    "Yaaaaaa..." 

    "Itu hari ada orang kongsi foto dia dengan seorang anak politikus. Bapa budak itu dan politikus yang sedang dipenjara itu berada dalam satu parti politik yang sama!"

    "Ya... Aku pun ada nampak juga. Sekarang aku dah faham!"

    Bunyi dari call bell, dari kaunter ambil mi tarik itu, menghentikan perbualan rancak kami. Segera diambil dua mangkuk mi tarik itu dan bawa ia ke meja tempat kami duduk sebentar tadi. Kami sambung perbualan kami sementara tunggu mi tarik kami itu sedikit sejuk. 

    "Sekarang kau dah nampak kan, Nad? Cara fikirnya pun sudah bermasalah. Sebaik-baik kaum kita adalah tidak menarik perhatian, katanya..." Jelas aku, kemudian berhenti sebentar sambil melihat-lihat sekeliling takut-takut die-hard-fan Ustazah Semah sedang mencuri dengar perbualan kami dan sedang berpanas hati - tapi ternyata tiada. Aku sambung: "... tapi dia sendiri tarik perhatian dengan opininya yang entah apa-apa itu. Tak beramal dengan kata sendiri. Maka, bolehlah dikata yang dia adalah sejahat-jahat wanita. Dan orang sebegitu korup pemikirannya itu tidak patut diikuti." Dalam kepala terlintas beberapa perkongsian   lama Ustazah Semah yang aku kira sangat patriaki itu - pernah dia menasihati seorang wanita yang menjadi mangsa keganasan rumah tangga untuk tidak buka aib suami padahal nyawa sudah di hujung tanduk! Geram sungguh! 

    "Alahai... Tak sangka... Barulah aku sedar betapa bobroknya dia." Balas Nadzeera. Jelas tampak di wajahnya kesedaran itu. Kesedaran yang bahawasanya Semah itu ulama perempuan problematik dan merosak fikiran dan menyekat kemajuan saja - sama seperti beberapa orang ulama lain. 

    Kami nikmati mi tarik kami kemudiannya dan usai itu mulai berjalan pulang ke kediaman. Nadzeera bertanyakan kepada aku tentang apa yang aku lakukan sewaktu ponteng ceramah Ustazah Semah. Aku ketawa ringin dan memberitahunya yang aku kadang-kadang lepak di Starbucks - minum Caramel Machiatto.

    "Mahu ikut!"

    "Ikut ke Starbucks? Sudah tak mahu dengar ceramah Ustazah Semah?"

    Nadzeera menggeleng. Ketawa kemudiannya. Aku pun turut ketawa - mungkin apa yang dikata orang itu tentang ketawa boleh berjangkit adalah benar.

    "Lepas itu kita pergi konsert!"

     "Haram, kan?"

    "Ceramah politik pun boleh jadi haram juga!"

    Nadzeera ketawa kecil. Aku pun turut ketawa petang itu. Memanglah benar kata orang: ketawa itu bisa berjangkit. Maka sebarkanlah ketawa, dan kegembiraan itu. 


Tamat


Ulasan

Catatan Popular