PENUNGGANG| CATATAN amier Suhaimi 28/08/2022

 Ini adalah catatan ditulis pada tanggal 28 Ogos 2022: 

"Aku nak bagitahu sesuatu..." Kata aku pada Adik. Mata kemudiannya beralih pula dekat skrin laptop. Aku tengah bersihkan ruang dalam laptop: Simpan nota kuliah semester lepas dalam Google Drive dan buang fail-fail yang dah tak guna. 

Terjumpa balik foto dari buku EMPAT KALI HARAM ATAU TUAN GURU MATA KE RANJANG. Itu antara buku yang aku baca waktu di PATMA (perpustakaan) semester lepas. 

Teringat bahagian kedua dalam buku tu - yang tajuknya 'KERANA NAFSU TA' MENGENANG BUDI'. Begini bunyinya:

Tuan guru Ahmad itu sa-benar nya kelakuan-nya adalah rambang mata. Ia sa-kali2 tidak mengěnang kapada kěsan dan akibat daripada perbuatan diri-nya. Sunggoh pun istěri-nya yang tua maseh tinggal di-Mekah tidak dichěraikan-nya tětapi ia tělah kahwin sa-banyak tujoh kali. Di-mana ia tinggal di-situ ia kahwin dan pada masa itu istěri-nya maseh ada ěmpat orang, sa-orang yang tua sakali di-Mekah, yang kėdua di-Adan, yang kětiga di-Mělaka dan yang kēěmpat maseh ada tinggal di-Klang. Tiga istěri-nya lagi di-chěraikan-nya ia-lah sa-orang di-Kělantan běrsama2 děngan anak-nya tiga orang, sa-orang di-Pěrlis měninggalkan anak dua orang dan sa-orang lagi di-Bětawi měninggalkan sa-orang anak.

Sa-tělah istěri-nya itu di-chěraikan maka tidak pernah sa-kali pun ia měngirim nafkah anak2-nya bahkan běrtanya pun atau měnulis surat kapada měreka itu pun ta' pěrnah. Hidup-kah anak-nya, makan-kah anak-nya, bagaimana rupa anak-nya tidak-lah di-kětahui bahkan tidak pun sa-kali2 ia měngambil peduli chěrita2 orang yang měnyampaikan kapada-nya kěsusahan2 yang di-děritai oleh janda-nya yang měnanggong pěrbělanjaan dan běbanan anak-nya bahkan běrita mengatakan janda-nya yang di-Kělantan tělah měnjadi pělayan kědai kopi kěrana měnchari nafkah měmbelanjai anak-nya itu di-sambut-nya děngan kětawa sahaja děngan tiada sadikit pun měmpunyai perasaan tanggong jawab kapada mereka itu bahkan kelakuan-nya itu tidak-lah salah saperti orang měnabor padi sahaja apakala tumboh tidak pun di-kawal dan di-jaga supaya běneh yang di-taborkan-nya itu běrmunafa'at kapada masharakat. Kelakuan ini adala di-lakukan-nya tidak sahaja kapada janda2-nya tětapi demikian juga kapada isteri2-nya yang ada, – di kechualikan isteri tua-nya yang di-Mekah itu pun sa-kali sa-tahun sahaja ia měnghantarkan kiriman-nya pada hal isteri yang di-Mekah itu pun mempunyai empat orang anak. Ia berkahwin děngan istěri-nya ini ia-lah dalam masa ia měngaji di-Mekah dahulu.

(Empat Kali Haram atau Tuan Guru Mata Keranjang. Mukasurat 20-21)


"Apa dia?" Adik tanya. Dia datang dekat dan pandangan aku beralih sekejap ke muka dia. Ada jeda sekejap sebab dalam kepala terngiang-ngiang kata SN A. Samad Said: Sastera harus merakam realiti masyarakat!

Kalau tak ada angin, pokok tak bergoyang. Kalau tak ada isu, suatu cerita tu tak akan tertulis. Orang yang menulis cerita, pada masa yang sama sedang merakam hal-hal seputarnya, aku fikir macam tu. Aku kongsikan apa yang aku tengah fikirkan tadi dekat adik aku.

"Penunggang agama dan penjual agama... Orang macam itu akan sentiasa ada. Kita fikir ia trend sekarang tapi sebenarnya dari dulu dah ada. Dulu, mungkin, mereka guna status mereka untuk lunaskan nafsu mau celup zakar selalu. Hari ini, orang-orang macam itu masih ada lagi. Sama. Tunggang dan jual agama untuk buat benda sama. Sebab itu aku tak terkejut kalau ada orang yang macam itu guna agama untuk pertahan Si Kuraptor." Aku terangkan, Adik dengar saja aku membebel depan laptop. Aku lanjutkan lagi, "Masa akan datang nanti siapalah tahu apa kerosakan lagi yang mahu dibuat orang-orang macam tu."

Adik tenung saja tapi aku tahu dia faham apa yang nak aku sampaikan. Perkongsian tamat macam itu saja dan kami lanjutkan kerja masing-masing. Aku pun beralih mata ke laptop semula. Sambung kerja-kerja mengemas tadi.


Amier suhaimi

28/08/2022




Ulasan

Catatan Popular