IN THE MAKING: PENGHARAMAN BUKU DI MALAYSIA DAN PERLEMBAGAAN PERSEKETUAN - Sebuah catatan tentang pembikinan video refleksi.
Januari lepas, saya dan dua orang rakan kuliah baru sahaja selesai membikin sebuah video berkenaan salah satu topik yang kami pelajari dalam kursus Undang-undang Komersan. Entri kali ini adalah berkenaan catatan saya sewaktu proses pembikinan tugasan ini.
Kami buat berkenaan Perlembagaan Persekutuan Malaysia. Tidak terjangkau pula dalam fikiran kami bertiga pada masa itu untuk membikin video sebegini tapi pada masa yang sama saya berhasrat mahu buat sesuatu yang berbeza daripada kumpulan lain. Mahu berbahas tentang topik penipuan dalam talian, kes kecurian dan money laundering semacam tidak menarik. Ianya sudah dibahas orang (Mahasiswa sesi lepas). Saya, yang mahu buat perkara yang barangkali kumpulan belum lain laksanakan, memberi pendapat untuk buat video berkenaan pengharaman buku di Malaysia dan apa pandangan dari kami yang boleh dikaitkan dengan Perlembagaan Persekutuan kita.
Saya ingatkan idea saya bakalan ditolak mentah-mentah. Saya kenal benar dengan ahli kumpulan saya. Nazrin walaupun mengamalkan dasar pintu terbuka, kadang-kadang boleh lekas menutupnya pada topik tertentu. Syafiq pula saya kurang pasti. Namun, apa yang jadi seterusnya amatlah jauh dengan apa yang menari inang dalam fikiran saya. Ianya meleset. "Okey saja idea tu." Mereka kata dan itu buat saya sedikit terperanjat. Usai dapat kata putus, kami kumpulkan beberapa maklumat berkenaan topik tadi.
Beberapa artikel dari internet kami kumpulkan. Kes yang menarik yang kami temui adalah berkenaan novelis Dr Faisal Tehrani. Saya ada beberapa buah buku ditulisnya. Buku-buku dari Felo penyelidik UKM itu yang baharu kebanyakkannya. Saya juga ada novelnya yang bertajuk 'Perempuan Politikus Melayu' dan 'Cinta Hari-Hari Rusuhan'. Saya juga sempat membaca sebuah bukunya sebelum diharamkan iaitu 'Aku____, Maka Aku Ada.' yang merupakan sebuah kumpulan esei yang menarik.
Kami buat video guna Canva. Ini kali pertama sebenarnya. Sebelum ini tidak terlintas dalam fikiran saya untuk menghasilkan video menggunakannya tapi saya rasa lebih baik cuba. Lagipun ramai orang kata guna Canva lebih bagus dan mudah juga. Sebelum saya mula buat storyboard, kami bertiga kumpul beberapa artikel dan video dari Free Malaysia Today dengan tajuk 'Fatwa Violated My Right As An Author, Says Faisal Tehrani'.
Selesai dengan tugasan ulasan artikel untuk kursus yang sama, saya mula melakar storyboard dan berfikir tentang skrip. Saya bercadang mahu buat macam dokumentari ala Net Geo Wild yang ada seorang pelakon suara. Saya pilih Nazrin atas sebab mahu cuba lihat potensi dia. Cuti semester saya bercadang mahu tulis skrip drama radio tapi tidak pasti berkenaan apa. Itu cerita lain. Syafiq pula saya tugaskan untuk jadi video editor sebab saya tidak seberapa arif tentang transisi dan lain-lain perkara tentang video. Bagi saya, apa yang sedap di mata saya sudah cukup. Tapi selalunya apa yang baik di mata kita adalah buruk di pandangan orang lain, kan?
Seminggu sebelum tarikh penghantaran iaitu 24 Januari, kami bertiga masukkan audio, tambah lagu latar dan perbaiki semula kelemahan yang kami nampak pada video kami. 7 minit dan 30 saat. Saya beritahu kegusaran saya pada Nazrin. "Kumpulan lain buat 10 minit, 15 minit. Risau aku." Luah saya. Gundah. Dia kata semuanya baik-baik saja sebab semua perkara kita sudah sentuh. Ada benar juga kata dia. Dalam video, kami ada berkongsi tentang pengharaman buku Faisal Tehrani pada 2014-2015, bercerita tentang Perlembangaan Persekutuan yang tercatat Perkara 10 (1) (a), iaitu hak kebebasan bersuara dan memberi pendapat, dan Perkara 8 kurungan (1), iaitu kesamarataan di sisi undang-undang, serta pandangan kami berkenaan isu pengharaman buku di negara kita. "Dah tak ada lagi perkara yang kena tambah dalam video." Saya menenangkan diri. Kemudian terus lekas ke katil dan masuk tidur kerana tercium bau bunga dari belakang rumah. Bauan yang datang tiba-tiba di tengah malam tanpa hujung pangkal boleh bikin seram, tahu.
Esoknya, awal pagi, saya buka laptop saya. Muat turun video yang kami sudah siapkan dan cari semula ayat untuk kapsyen yang saya sudah tulis di Whatsapp. Muat turun video di Canva buat saya menyumpah seranah. Ambil masa juga. Entah malang apa yang melekat pagi itu. Saya hela nafas lega pasca video kerja kumpulan saya dapat dimuat turun. 1%. 9%. 28%. 49%. 66%. 80%. 93%. 100%. Kemudiannya saya muat naik pula ke Facebook. Dengan perasaan gembira, saya beritahu Nazrin dan Syafiq yang video kami berjaya dimuat naik dalam Facebook. Usai itu, saya kembali ke katil dan tarik selimut membaluti badan.
֍──────────֍
Pada zaman lambakan maklumat dan perkembangan intelektual ini, pelbagai buku berjaya dihasilkan. Buku fizikal, e-buku, berbayar dan percuma. Sampai rambang mata dibuatnya untuk memilih satu dan khatamkan. Setiap buku dengan ilmunya yang berbeza. Mengajarkan kita pelbagai jenis ilmu. Tapi. kekadang harus beringat: Di tanah ini, ada yang terlalu sensitif. Mereka tidak bisa disentuh dan ditegur. Mereka paranoia dan kemudiannya menyekat. Di dalam laman web KDN E-PQ Senarai Perintah Larangan, ada 1719 buah buku telah diletakkan perintah larangan. Apa pandangan kami bertiga tentang pengharaman buku di Malaysia? Tontonlah video kami untuk mengetahuinya.
Selamat menonton:


Ulasan
Catat Ulasan