DOSA - CERPEN AMIER SUHAIMI



Dia pandang aku semacam. Lelaki tu. Hina sangat ke aku pada pandangan dia? Sebab rambut aku warna hijau maka bolehlah dia pandang aku macam ahli neraka? Celaka! Warna hijau kan warna kegemaran Nabi. 

Lelaki tu, dengan muka tak malu sedut nikotin bersungguh-sungguh. Lepas tu hembus asap berkepul-kepul dari mulut dia. Busuk. Aku harap sangat nanti rokok diharamkan ataupun ada akta untuk kurangkan spesis begini. Lagi bagus kalau orang tua tu mati sakit jantung. Tak pun kena kanser. Ah, kalau kerajaan buat akta ke, buat cukai ke selagi tak bendung rasuah selagi tulah makhluk-makhluk naga hembusan asap nikotin akan melata. Apa? Kalau tak sebab rasuah, macam mana orang kita dapat rokok seludup? Murah dan islamik lagi nama, tahu. Aku pernah jumpa rokok seludup jenama 'Barakah'. Gelak besar aku. Patutlah tak segan silu nak menghisap. 

Dengan muka selamba babi hutan dia pun buang puntung dekat halaman rumah aku. Macam celaka perangai dia, kan? Tapi kau nak tahu tak apa yang lagi celaka? Datang rumah orang tak dijemput lepas itu maki aku kenapa warnakan rambut aku dengan warna hijau. Aku yang warnakan rambut, kenapa kau yang panas? Pelik aku, tuan rambutnya adalah aku tapi yang menyibuk adalah orang lain. Sebenarnya rambut aku tidaklah warna hijau keseluruhannya. Berbelang saja. Ada bahagian yang aku biarkan dengan warna asal. 

"Kau tak tahu dosa ke?" Tanya lelaki tua tu. Pak Din namanya.

Aku diam saja dekat bangku simen. Mata aku fokus dekat telefon. Muka dia yang tak semenggah dengan misai nipis tu aku tak pandang pun. Geli, tahu. Gigi dia dahlah jarang dan ronggak. Kuning lagi. Tak berselara aku tengok orang tua ni. 

Pak Din tunggu jawapan aku. Dia tanya balik soalan sama sebab tak puas hati. "Kau warnakan gigi dengan warna kuning tak apa pula?" Aku cakap dalam hati saja. Malas nak buat sketsa dekat sini. Kampung ni banyak wartawan Melodi tak bertauliah. Tapi kalau kisah ni kecoh satu kampung pun aku tak peduli. Bukan masalah aku kalau mereka fikir aku begitu begini. Itu masalah mereka. 

Aku senyap dan jantan tua tu pula keluarkan sebatang sigaret dalam begnya. Sebelum ni, aku selalu aku tengok dia buang banyak puntung rokok dekat tanah. Banyak. Berapa banyak batang dia sedut sehari aku pun tak tahu. Moga dia mati cepat dan tak capai moksha. Hidup menyusahkan orang. Macam sekaranglah. Aku tak kacau orang, tapi orang kacau aku. Ini bukan kali pertama. Zaman aku sekolah menengah ada ahli Suria (Syurga) kata itu-ini fasal cara hidup aku. Kadang-kadang sampai tertekan jadinya sebab daya mereka kuat. Alasan mereka buat begitu katanya takut tanggung dosa dan kena azab juga walaupun tak buat 'dosa'. Aku selalu baca terjemahan Quran dan Allah kata: Seseorang itu tidak akan menanggung dosa orang lain. Mungkin mereka baca yang bahasa arab sahaja. Dan, tidak dilupakan, sekadar berlagu semata. 

Berbalik pada waktu sekarang. Dekat halaman rumah. Pak Din kemudiannya panggil mak aku, maka terkedek-kedeklah ke mari orang tua itu dengan muka terpinga-pinga. Macam kaunter aduan jantan tua tu - yang hari-hari pakai t-shirt kolar merah dan jeans biru buruk - buat. Aku senyum sinis saja. Ingatkan di era modenisasi kini hanya kanak-kanak saja yang selalu mengadu. Yang tua bangka juga ada! 

Dari rambut warna hijau sampai ke perangai aku yang katanya biadap dekat dia. "Tak takut Neraka ke? Nak terkapai-kapai dekat Mahsyar?" Leter Pak Din. Aku endahkan saja sambil usap perut kucing gemuk warna oren yang berjaya menghidu kebosanan aku. Tapi kalau ikutkan hati, nak saja aku kata yang aku tak takutkan Suria (Syurga) dan Melaka (Neraka) dia. Jauh sekali aku nak gerun untuk terkapai-kapai dekat Padang Merbuk (Mahsyar) nak cari dia semata. Dia sendiri perangai macam haramzadah. 

Lepas puas berleter, jantan tu senyap. Ada bunyi O yang panjang dari Mak sebelum dia tenung aku. Aku angkat kedua bahu. Sebelum lelaki tua tu cemarkan rumah aku dengan asap nikotin guna batang rokok dia yang baru (Masuk tiga batang rokok di rumah aku saja ya), aku terus buka mulut.

"Mudah. Ini tubuh aku dan tiada SESIAPA atau institusi mana pun yang berhak keatas aku." jawab aku. Perkataan 'sesiapa' ditekan. Aku tahu yang aku dengan jayanya membenihkan amarah dalam hatinya.

"Anak kau ni dah liberal gamaknya," Balas dia lepas hembus-hembus asap macam Kereta Api Thomas dan Kawan-kawan. Dia sambung lagi. "Ustaz janggut panjang Parti Bul-" 

"Apa? Ustaz janggut panjang? Hmm. Tak tahu pula Suria dan Melaka dia yang tentukan." Potong aku sambil buat gaya hembus asap rokok dan kepit rokok dekat dua batang jari. Terbeliak mata Pak Din. Mukanya juga merah. Nampaknya bukan sahaja asap dari mulut yang bakalan keluar. Boleh jadi keluar juga dari dua lubang telinganya. 

Kesian dia. Akhirnya dia pulang dengan perasaan hampa. Dan juga marah. Aku tak peduli. Lagipun, siapa suruh kacau aku? Segera aku masuk ke rumah bila drama pukul tujuh berlangsung. Bukan sebab aku nak tonton tapi aku mahu tukar siaran tivi. Tonton Upin dan Ipin lagi bagus walaupun sampai sekarang mereka tak remaja. 

֍──────────֍

Malam itu aku dengar cerita dari Sakinah, wakil wartawan Melodi tak bertauliah: Rupanya lelaki tua tu yang sibuk dosa orang itu pengamal yang taksub akan kombo surah An-Nisa' ayat 34 dan sahih Bukhari 5825. Baru bercerai - Katanya sebab dah puas kikis duit KWSP dan hasil untung jual nasi berlauk isteri. Tinggal dengan Mak lepas tu buat dia macam hamba suruh buat kuih itu ini walaupun dia dah tua bangka dan cukup sifat. Paling penting tak bayar nafkah anak. 

"Sungguh, Kinah?" Aku tanya untuk kepastian.

"Sungguh, nok. Zaman sekarang ni senang nak stalk orang, tahu. Dia tu pun bodoh juga. Buat kerja tak clean. Kau nak chat sundal pun janganlah chat dekat komen FB. Sundal manalah nak dekat dia tu." 

"Harap bukan orang yang kita kenal kan, Kinah."

"Simpang malaikat 44!" 

Sakinah pandang aku sekejap. "Kelakar, tahu. Macam mana dia boleh nampak dosa orang tapi dosa sendiri tak tahu?"

"Orang macam dia mana tahu dosa. Maksum, Kinah oi. Mereka tak boleh ditegur. Konfem kena cop kafir - liberal - sekular."

"Padahal perangai sendiri macam arab jahiliyah. Itu yang boleh buat isteri dengan mak macam hamba." Balas Sakinah disertai ketawa yang kecil.

"Tapi segelintir orang kita ni aneh. Kalau pergi ceramah tanya yang soalan yang 'out of this world' sungguh. Mereka bukannya nak tanya hukum pukul isteri dan hukum culas bayar nafkah anak. Tak hairan pun kalau lelaki yang lepas bercerai anggap tak bayar nafkah anak pun tak berdosa."

Sakinah mengangguk. "Ada yang back-up, gamaknya. Patriaki sungguh!"

Sambil dengar Sakinah berleter itu-ini, aku buka Facebook dan tengok perkongsian orang. Dalam hati terdetik sesuatu. Senyuman nakal terukir. Aku jumpa akaun Facebook dia. Berbekal niat membalas serangan, aku mesej Pak Din via Messenger:

Aku: Dengar cerita Pak Din tak bayar nafkah anak. Kenapa ya? Cacat ke? 

Pak Din: Kalau tak mampu, tak payah bayar pun tak apa.

Aku: Apa yang tak mampu? Kalau dah cukup sifat tu buat cukup sifat sajalah. pergilah bekerja. Selama ini harap duit bini. Dah seronok kikis, bercerai pulak. Bila suruh bayar nafkah buat-buat cacat pula. Orang kurang upaya pun bekerja juga, tahu. 

You have been blocked

Aku kena blok. Aku dan Sakinah terbahak ketawa. Puas hati aku dan semestinya aku akan terlena dengan aman. Padan muka dia. Sejahat-jahat aku, tak adalah aku ganggu orang nak berkehidupan, tak pukul orang dan tak curi duit orang. Moga orang tua tu sedar yang selama ini dia pun buat dosa juga. Tapi orang macam Pak Din yang dah mengamalkan pukul isteri, perhambaan, mencuri dan mengata orang dari muda sampailah ke tua bangka nampaknya seperti susah untuk berubah kecuali mati saja. 

Ulasan

Catatan Popular