BAGAIMANA HASSAN NAIK KE LANGIT - CERPEN AMIER SUHAIMI
Hassan termenung. Dia duduk dekat beranda rumah berteman malam. Tubuhnya disimbah lampu pendaflour sambil punggungnya berlabuh atas tangga kayu rumah. Dia memikir akan nasibnya - Ayoh tinggalkan dia dengan Ma, Ma pula kena herdik orang kampung dan kedua mereka hidup daif sekelip mata. Hassan naif. Tak tahu apa-apa. Sedar-sedar saja Ayoh angkat beg, panaskan enjin kereta buruknya yang warna merah jenama Proton itu dan terus lesap dari pandangan. Ma pula teresak-esak menangis dekat bucu katil macam pelakon drama dalam tivi.
Hassan ingat mereka berkelahi macam selalu. Ya, kebelakangan ini Ma dan Ayoh selalu berperang mulut. Ayoh pula akan keluar dari rumah dan pulang sebelum terbit matahari. Tak kira apa, Ayoh tetap akan balik juga. Sebabnya, dia kena tolong Ma berniaga nasi berlauk dekat gerai. Kalau tak tolong, Ayoh tak akan dapat pitih (duit) nak beli berpuntung-puntung rokok.
"Ayoh gi mano, Ma?" Soalnya. Hairan sebab Ayoh dah lama tak pulang. Berteka-teki dia: Adakah pergi rumah kawannya? Tapi tidur di mana pula? Aneh. Kalau Ayoh keluar sekali pun, mesti semalam jam dua-tiga pagi lagi dia dah terpacak depan pintu kayu rumah. Tapi, dah beberapa hari Hassan tak dengar ketukan-ketukan kuat dekat pintu depan atau pintu dapur.
Pertanyaan Hassan tiada jawaban. Ma duduk dekat beranda. Pandang halaman rumah. Seterusnya dilempar terus ke jalan raya. Lepas itu dekat sawah padi hijau kekuningan tu. Hassan tanya lagi soalan sama.
Ma sebenarnya dengar soalan anaknya. Cuma masalahnya dia tak tahu bagaimana hendak jawab. Mendengar kali kedua pertanyaan Hassan buat mata Ma berkaca. Berat mulut dia nak beritahu Hassan apa yang dah jadi.
"Ayoh mu doh tinggalkan mu oghe. Doh sedap, dah puah, dio cegha dengan Ma mu." Jawab Maznah, jiran sebelah rumah yang sejak beberapa hari ni selalu muncul tolong Ma buat kerja rumah. "Jatey babi!" Sambung Maznah lagi. Geram sungguh dia.
"Maznah..." Ma lemah membalas. Maznah pula tepuk muka perlahan.
"Biar budok ni tahu, Ilah!"
"Aku tak nok dio sedih, Maznah...."
"Buat gapo nak sedihnyo, Ilah oi! Baik dimakinyo ayoh dio tuh. Dok sedar diri. Harey punyo peghanga. Dok keney jaso, selamo ni bini dio hok jago makey paka dio. Rokok pun guna pitih bini. Alih-alih, gata nak cari tino lain. Siap cughi pitih mu lagi, Ilah... Peghanga serupo setey!"
Terbeliak mata Hassan mendengar sambil kepalanya tengah cuba proses apa yang Cik Maznah katakan. Dari hal penceraian sampailah ke hal duit. Baru dia faham. Ayoh Hassan dah tak ada. Lari. Bawa sekali duit dan harta Ma. Dia tak akan balik sebab mahukan betina lain.
Hassan kaku. Ini kali pertama. Dia tak tahu nak buat apa. Ma bingkas bangun. Dia peluk rapat anaknya yang sorang tu. Ma fikir yang anaknya tak dapat terima perkara ni berlaku. Penceraian. Ma risau yang Hassan akan hidup terumbang-ambing tanpa seorang bapa. Tapi Ma tak tahu yang Hassan sebenarnya tak kisah kalau Ayohnya - yang tak bekerja, curang dengan isteri dan kerjanya menghabiskan duit isteri tu lesap dari pandangan. Bagi dia, lagi rela jadi macam Nabi Isa. Tiada ayah. Lagi-lagi yang 'peghanga serupo setey'.
Ma tak tahu, yang Hassan lagi sedih akan nasib Ma yang telah dianiaya sebelum ni. Sekarang Ma dah tak perlu risau. Oghe tuo jahaney tu doh takdok doh sini, kata Hassan dalam hati.
֍──────────֍
II
Berbekal baki duit KWSP yang masih ada, Ma buat modal untuk jual kuih dekat gerai. Dia buat sikit-sikit dulu. Wanita 50-an itu tak mampu nak bawa banyak barang untuk ke gerai. Kereta dah dibawa lari suami. Nak minta tolong Maznah pun dia segan walaupun sudah diberitahu yang dia sentiasa tolong Ma. Dia mahu Maznah fokus pada anak perempuan dia, Asiyah, yang mahu sambung belajar dekat universiti.
Pagi itu Ma lupakan bekas suami keparatnya itu. Kena senyum. Kalau muka masam, siapa nak singgah gerai? Dia tunggu pelanggan sampailah ke jam sembilan. Kuih tak terusik. Orang tak nak beli. Sebelum ini dia ada curi-curi dengar dua tiga orang berbual:
"Tok soh pegi keda hok tino tu. Baghu ni aku denga, tino tu keno cegha."
"Sunggoh? Bakpo weh?"
"Bini dok gheti jago laki. Laki tingga lah. Aku ado denga kawe laki dio dok kabo laki dio cegha sebab tino tu dok reti laye dio."
"Huh, meme patut keno tingga pun!"
"Tok soh beli hok dio. Tok soh dekak lah denge tino tuh."
"Holah wei...Nati abe-abe kito dio dok ambik. Toksey wei keno madu, keno cegha!"
Ma cuba pekakkan telinga. Ma cuba tahan air mata dia yang nak tertumpah tu. Nanti orang tengok, tak molek. Dia cepat-cepat bungkus kuih-kuih tak terjual tu dan cepat-cepat berjalan pulang ke rumah.
֍──────────֍
III
Perkara pertama Hassan buat lepas pulang dari sekolah adalah buka baju sekolah lusuh warna putih dan baring bawah kipas siling. Dia mahu hilangkan segala penat lepas jauh berjalan kaki. Kebiasaanya, Ayoh akan jemput dia pulang ke rumah walaupun kereta merah jenama Proton tu terpacak lambat depan pagar sekolah.
Ma dari dapur bergerak beberapa langkah untuk jenguk Hassan di ruang tamu. Dia rasa kasihan tengok anak dia yang terpaksa pulang berjalan kaki. Dalam hati dia menyumpah seranah bekas suami.
"Siey anok, Ma." Ujar Ma dari dapur. "Moh makey dulu." Sambungnya.
"Menta, Ma."
"Ma baghu masok aye."
"Menta, menta."
Hassan menghela nafas perlahan. Sebenarnya ada perkara yang dia nak beritahu Ma tapi takut nak diucap. Hassan tahu situasi dia dan Ma sekarang. Jadi dia takut kalau apa yang bakal dia kata nanti akan buat Ma terbeban pula. Lagi bertambah risau dia bila tengok bekas-bekas kuih atas meja sana. Kuih-kuih jualan pagi yang langsung tak dibeli. Tapi kalau tak diluah, nanti kepala dia serabut pula di sekolah nanti.
"Ma..."
"Gapo, Hassan?"
"Ma, ado pitih dok? Hassan...nok bayor yure skoloh...." Jeda sekejap. "Cikgu kato yure keno bayor."
Ma senyap seketika. Dipandang wajah anaknya yang sorang tu sambil dalam kepala tengah kira-kira wang masih ada atau tak. "Takpo...nanti Ma kasi pitih." Jawab Ma. Dia kemudiannya melangkah ke arah singki. Langkah kakinya terhenti setelah beberapa tapak bergerak. Hassan memanggilnya lagi. Ada seperkara lagi yang perlu dia ingin katakan.
"Kasut skolah Hassan dah tak elok doh..." Adu Hassan sambil melemparkan pandangannya ke lantai. Serba salah sebenarnya dia. Takut mengundang beban lagi kepada Ma. Ma senyap seketika.
"Takpo Ma. Toksoh lah, ya."
"Ma kuat lagi. Takpo, Ma cari pitih. Mu keno belajar panda-panda, Hassan."
Hassan angguk tanda faham. Dia kemudiannya ke kamarnya. Mahu salin baju. Lepas itu mahu makan. Tapi sebelum tukar pakaian seragam sekolahnya tu, dia duduk bersandar dekat almari. Mengenang nasibnya.
֍──────────֍
IV
"Kita kembali ke berita selanjutnya," Ujar lelaki kacak pembaca berita di tivi. "Seramai 120 orang pegawai Jabatan Agama dikerah mencari dan menangkap seorang Maknyah." Sambungnya selepas jeda beberapa detik.
"Bullshit!" Kata Asiyah. Geram. Sampai terperanjat Maznah yang sedang menjamah kuih karipap inti kentang yang Ma buat.
"Bakpo mu, Asiyah? Kejut Umi, tahu."
"Dok lah, umi. Cuma," Asiyah hirup air teh o. Hassan sedang menunggu-nunggu apa yang ingin diperkata gadis itu. "Daripada tangkap orang yang dah tak tahu hilang ke mana tu, lebih baik kerah 100 pegawai tu jejak suami yang tak reti bayar nafkah."
"Aloh, mu pahe-pahe je lah, Asiyah oi! Hok tu tok doso pun...."
Asiyah meluat. Dia capai satu keping kuih karipap dalam piring. Masuk dalam mulut. Kunyah. Tapi rasa meluat, rasa menyampah itu masih ada.
Maznah pandang Ma. "Dio bagi pitih dok?" Dio merujuk kepada Ayoh. Ma geleng kepala. Maznah tepuk dahi perlahan.
"Bukan mahkamah kata dekat dia kena bayar nafkah anak ke?" Soal Asiyah pula. Hairan bercampur geram. Sebab dia tahu Ayoh cukup sifat. Kudrat masih ada walaupun berusia 50-an. Kalau tiada kudrat, masakan boleh utamakan hal zakarnya?
Ma hela nafas berat. "Takpo lah..." Ma kata. Maznah pula tak puas hati. Jelas terbit di wajahnya akan perasaan itu.
"Mano bulih takpo-takpo...Mu tepon dio, aku nok kecek menta." Arah Maznah pada jirannya itu. Ma minta Hassan capaikan telefon pintarnya yang di atas almari itu. Hassan, yang menurut, melangkah ke almari dekat dengan soket elektrik sana. Dicabutnya wayar dan ditutupnya pula suis pengecas telefon Ma. Ma cuba hubungi bekas suaminya di Whatsapp tapi tidak dibalas. Dibaca pun tidak. Maznah syak yang lelaki tak guna tu dah sekat nombor Ma. Maznah cadang pada Ma untuk dail nombor lelaki itu pula. Tapi hampir seminit mereka menunggu tidak pula diangkat. Berkali-kali usaha mereka namun gagal juga. Ma disekat Ayoh, Maznah dan Asiyah pasti akan itu. "Jatey babi!" Carut Maznah.
Asiyah mendapat akal. Segera dia mencuit bahu uminya perlahan. Dua kali perkataan 'Facebook' disebutnya pada Maznah. Maznah angguk tanda mengerti. "Cerdik mu, Asiyah." Puji Maznah. Asiyah terkekeh-kekeh ketawa. Ke mana tumpahnya kuah kalau tak ke nasi, kan?
Maznah capai telefon pintarnya. Lekas-lekas dia buka Facebook. Cari akaun lelaki tak guna itu. Setelah menemui profil dengan gambar Ayoh yang bermata kecil dan bermisai nipis itu, segera dia menghubungi melalui Messenger.
Maznah: Salam. Aku nok kecek sikit. Gapo masalah mu? Bakpo mu buat dok tahu dekak anok bini mu? Buley lepas denge buley ni dok kirim pitih dekak anok mu.
Ayoh: Kalau tak mampu tak payahlah bagi.
Maznah: Mu cacat doh ko? Gilo punyo jatey. Doh la cughi pitih oghe. Dok reti bagi nafkoh ko anok. Toksoh hidop oghe lagu mu ni.
Ayoh palau Maznah. Sebelum diblok, Maznah sempat beri emotikon jari tengah sebelah teks, 'Jatey bodo'.
Mengucap dia lepas tu. Ma pandang saja Maznah yang tengah geleng kepala depan telefon. Tanpa perlu kata-kata, Ma sudah tahu yang riak wajah Maznah ingin mengatakan bahawa bekas suaminya yang tak guna tu dah lupa tanggungjawab.
֍──────────֍
V
Ma dah kurang berniaga sejak kali pertama berniaga dengan gelaran janda. Baginya, cukuplah hari pertama itu dia dikecam teruk sebab status jandanya tu. Pagi, lebih tepat jam sembilan itu dia berbual dengan Maznah. Sambil minum kopi O hasil air tangan Asiyah, Ma lempar pandangannya ke bendang-bendang padi yang hijau kekuningan seberang jalan sana.
"Toksoh bimbe, Ilah. Dio dok kasi pitih ke anok mu pun, mu oghe boleh hidop." Ujar Maznah. Matanya masih lekat pada sawah padi. Tanggannya pula setia dengan cawan kaca lutsinar yang separuh berisi kopi O.
"Guano nok cari pitih, Maznah? Aku nok jua kuih pon oghe dok suko. Dioghe tok nok beli takuk aku kaco laki dioghe. Mu tahu kan aku sebelom keno cegha lagi doh negho." Jeda sekejap. Mata Ma berkaca. "Doh kalo oghe tok nok beli hok aku buak, guano nok dapat pitih? Takdok caro lain aku nok cari pitih nok kasi Hassan skoloh." Sambungnya. Maznah memandangnya dengan perasaan pilu.
Ma kemudian meluahkan padanya tentang arahan mahkamah kepada Ayoh untuk membayar nafkah kepada Hassan. Ma hairan kenapa Ayoh tak gentar. Asiyah mendengar. Panas hatinya. Dia muncul di balik pintu.
"Undang-undang syariah negara ni memang tak bela nasib wanita Islam pun, Ma. Semua undang-undang tu dibuat berdasarkan hukum-hakam ulamak-ulamak patriaki. Dari dulu lagi!" Jelas Asiyah. Itulah sebabnya dia tak berminat mahu sambung pelajaran dalam undang-undang syariah. Dia lebih berminat dengan undang-undang sivil dan jadi peguam sivil.
Ma mengehela nafas berat. Buntu kepala dia mahu memikirkan jalan keluar dari terowong gelap itu. Maznah disisi kasihan akan jirannya. Ada benar kata anaknya itu. Dia pernah merasa. Naik turun mahkamah sebab bekas suaminya yang dayus itu mahu tuntut hak penjagaan anak. Asiyah yang masih kecil itu bakalan diserah kepada ayahnya yang keparat perangainya. Ayah yang tidak mahu beri nafkah banyak kepada anak sendiri atas alasan perlu belanja besar untuk keluarganya yang baru. Maznah ingat lagi bagaimana dia sedu sedan menangis mengenang akan nasibnya yang bakalan jauh dari anak sendiri. Angkara Si bekas suami keparat yang dengki akan dia yang bersuamikan lelaki yang lebih baik darinya. Tapi nasib baik Tuhan yang tidak perlu dipertahan di jalan raya adalah Tuhan yang maha adil dan mendengar akan rintihan manusia ciptaanya yang dianiaya. Bekas suami ditimpa kemalangan dan disahkan meninggal dunia seminggu selepasnya.
Projektor dalam kepala berhenti memainkan babak malankolia yang sudah bertahun lamanya. Maznah kembali sedar dari lamunannya. Dia kemudiannya meniliti telefon pintarnya. Tidak lama selepas itu mukanya berseri-seri, suasana yang pilu bertukar gembira serta kucing dan anjing saling bersahabat. Maznah mendapat akal. "Kalo mu buat kuih 'frozen', okay dok?" Cadang Maznah. Ma yang peka mendengarnya mulai berfikir. Dalam hati dia mengatakan yang idea Maznah semacam baik. Tak perlu jual di kampung ini - Yang menjadi tempat dia dihina kerana tak mampu menjaga suami dan jadi isteri tak guna. Boleh saja ambil tempahan ataupun iklankan dan buat penghantaran di kawasan-kawasan yang boleh dicapai dahulu.
"Toksoh riso dekak bendo lain. Aku ado, Ilah." Tambahnya lagi. "Kito samo-samo buak sampa bulih." Sambungnya
"Bulih." Diulangnya dua tiga kali. Gembira Ma. Senang hati dia sambil menghirup kopi O dibuat Asiyah.
֍──────────֍
VI
Hassan berdiri depan laut berkaki ayam. Dia pakai jersi warna merah dan seluar pendek hitam. Dia tenung laut biru yang bergelora macam fikirannya. Dia duduk bawah mentari yang membahang seperti hatinya. Kemudiannya menghela nafas berat. "Aku dah nekad." Katanya dalam hati.
Projektor dalam kepala mainkan semua benda-benda sial yang berlaku berpunca daripada lelaki tu. Bagi Hassan, Ayoh selayaknya dipanggil babi saja. Semuanya berpunca dari dia. Dalam hati dia menyumpah seranah lelaki tua tu dan betul-betul berharap yang dia akan diazab dengan seksaan yang perit.
Hatinya menjeri kepenatan. Tapak demi tapak dia maju ke hadapan. Menuju ke laut dalam. Dari kaki, hingga ke paras bahunya basah kuyup dek air asin laut. Setelah kepalanya ditelan laut, segalanya gelap.
֍──────────֍
VII
Cahaya putih mulai pudar. Dari laut ke sebuah padang maha luas dan indah. Dari badan yang basah kuyup, kini terus ke kering dan berpakaian cantik. Dari keadaan yang kusut ke wajah yang rapi dan kemas. "Aku dekat mano ni?" Tanya Hassan. Terkejut campur takjub. Tanah ini belum pernah dijejakinya. Seorang lelaki dan seorang wanita bersayap muncul dari belakang. Kedua mereka masing-masing menyentap perlahan kedua bahu Hassan.
"Di tanah ini tiada kesedihan buatmu." Kata yang perempuan.
"Di tanah ini kan ada hanya kegembiraan buatmu." Kata yang lelaki pula.
"Jadi, sejahtera dan bergembiralah dirimu wahai Hassan di tempat ini." Kata mereka berdua serentak.
Sesungguhnya Hassan masih lagi terperanjat. Dia terkejut. Pelik juga ada. Dia fikir yang dia tidak layak.
Hassan: Sayo dekak... tapi sayo dok lay-
Lelaki Bersayap: Mengarut. Kamu layak.
Perempuan Bersayap: Kamu layak, Hassan. Sesungguhnya di tanah sebelum ini, ia menyiksamu. Orang-orang sekelilingmu membuatmu sedih, Hassan.
Lelaki Bersayap: Usah lagi kau berduka, wahai Hassan. Di sini tiada kesedihan. Mintalah apa jua, kan pasti tercapai.
Dia endahkan apa yang lelaki bersayap itu katakan. Tentang segala apa yang dihajatnya kan tercapai. Dalam fikiran Hassan ada Ma. Di tanah maha luas dan indah itu Hassan sedang membayangkan Ma yang tengah meraung-raung kesedihan. Ma yang tengah mencari anaknya yang sorang itu. Ma yang baru sahaja temui anaknya mati dengan keadaan perutnya kembung dek air laut yang masin tu. Ma merana kerananya. Dia mulai sedar yang tindaknya adalah salah. Dan dia mahu pulang. Tapi semacam mustahil bila kakinya sudah jejak ke tanah ini.
Hassan termenung lagi. Dia berfikir akan cara untuk pulang. Pasti ada. Kata-kata lelaki bersayap putih tadi terngiang-ngiang dalam kepalanya. 'Mintalah apa jua, kan pasti tercapai'.
Hassan: Tuwe?
Lelaki Bersayap: Ya, Hassan.
Hassan: Sayo raso...ini saloh ni. Sayo...Nok Ma!
Kedua laki-laki dan perempuan berpakaian indah dan bersayap itu memandang antara satu sama lain. Lalu senyum mesra keduanya pada Hassan.
Lelaki dan Perempuan Bersayap: Kalau begitu... Mari ikut kami.
Hassan dibawa terbang ke sebuah gunung tinggi. Teruja dia dapat berada setanding langit nilakandi nan indah. Di gunung tinggi itu, ada sebuah tasik dengan airnya yang jernih. Dari dalam tasik indah itu, nun di bawah sana, bisa dia tonton Ma yang sedang di dapur menguli tepung dengan Maznah. Menitis air matanya. Tenggelam bersama perasaan marah dan sedih teramat merupakan kesilapan yang besar dia buat. Dia sedar akan itu. Ianya keputusan dirinya yang betul-betul salah. Hassan mahu pulang ke pangkuan Ma. Mahu belajar rajin-rajin dan persetankan apa yang orang sekeliling bicarakan.
"Kamu betul-betul pasti mahu pulang? Jangan kamu khuatir akan Ma, Hassan. Sesungguhnya Tuhan mu pasti akan berikan kegembiraan buatnya." Ujar Perempuan bersayap itu yang berdiri di kanannya. Hassan sekadar mengangguk. Perempuan bersayap itu tersenyum manis.
"Lagu mano nok balik?"
"Mudah. Kamu lompat saja dalam tasik itu."
Hassan angguk tanda faham. Sebelum dia melompat, dia bertanya lagi satu soalan.
Hassan: Hok sore tu?
Lelaki dan perempuan bersayap saling berpandangan buat seketika. Mereka faham. Hassan bertanya tentang Ayoh.
Lelaki dan Perempuan Bersayap: Ketahuilah Hassan bahwa setiap isi langit dan bumi ini mencela dirinya. Usah kau bimbang. Tuhanmu pasti membantumu. Nasibmu dan orang yang teraniaya seperti mu akan terbela.
Bergembiralah Hassan kerana nasib dirinya dan orang lain terbela. Tidak menunggu masa yang lama, dia loncat terus ke dalam tasik, meninggalkan tempat indah itu.
Tamat.
Tajuk kali ni panjang. Antara sebabnya adalah: Tak tahu nak letak tajuk apa. Cerita ini rekaan semata dan semestinya tiada kaitan dengan yang hidup dan yang sudah mati. Bukan tajuk saja, cerpen buat kali ni pun panjang. 2000 lebih patah perkataannya. Terkejut, dan pada masa yang sama gembira juga sebab berjaya buat cerpen panjang macam ni. Terima kasih sudi baca.
Ribuan terima kasih buat rakan, Aliaa Amrina dan Syazwani, dari Tanah Darul Naim yang sudi jadi tempat rujukan.


Ulasan
Catat Ulasan