GELORA 1 - CERPEN AMIER SUHAIMI



Yusri_Yasree Tweet: "Tolong! Tolong! Update terkini dari daerah kami: Paras air makin naik, kami tiada tempat berlindung dan jalan keluar sangat mustahil untuk ditemui. Kami kehabisan makanan, barangan kami tak dapat diselamatkan dan anak-anak kecil menangis sebab lapar."

    Tersenyum sinis Nur Izza bila baca kicauan Twitter milik seorang lelaki yang tinggal di Pantai Barat Malaysia itu. Baginya, negeri itu memang layak diazab. Ya, azab. A-Z-A-B. Kerana banjir teruk di kawasan yang terletak di Pantai Barat negara itu merupakan satu enigma yang hanya boleh dirungkai dengan mengatakan itu adalah azab dari Tuhan saja. 

Nur Izza yang berkelulusan ijazah sarjana dalam pengajian Islam yakin amat dengan hal itu. Tambahan lagi di kawasan banjir itu ada bandar besar dan bangunan-bangunan tinggi nan mencakar langit. Mungkin selama ini dia fikir yang hanya sesetengah tempat saja berlaku maksiat.

Selepas habis buat rakaman video ceramah untuk Instagramnya, Nur Izza buka Twitter lagi. Terbit rasa tidak puas dalam hati dia lagi, jadi dia cari ciapan dari akaun twitter seorang lelaki bernama Yusri_Yasree itu sampai jumpa. Baginya, apa yang disimpan dalam hatinya tadi harus diungkapkan dan, sudah tentu, dimaklum pada orang lain. Baginya, sudah jadi seperti tanggungjawab dia sebagai seorang muslimah sejati untuk menyampaikan. "Apa yang aku nak buat ini adalah perkara yang betul. Biar semua orang ambil tahu." Ujar dia dalam hati.  

Sebagai seorang wanita muslimah sejati, setiausaha Tuhan dan pemegang kunci Syurga, dia karang saja ayat tanpa fikir perasaan mangsa banjir tadi. Baginya, yang pedih itulah yang sukar ditelan. Memang benar kata orang, empati bukan ada pada semua orang. Lepas karang ayat yang dia dah susun cantik dalam kepala, dia pun retweet ciapan Yusri_Yasree tadi.

Izza_MuslimahSejati Retweet: "Syukurlah Tuhan tidak binasakan kamu. Itu maknanya Tuhan beri kamu peluang untuk bertaubat dan jauhi maksiat. Beristigfarlah dan sama-samalah kita beribrah."

Aishah, sahabat muslimah sejati berkomentar pula,

Aishah_MuslimahSejati comment: "Ya, bersyukurlah. Selama ini orang di sana hidup penuh lagha. Bersyukurlah sedikit saja nyawa Tuhan ambil. Itu tanda Tuhan kita sayang. #JauhiMaksiat."

Kemudian diikuti pula Iman anak lebai kampung sebelah,

Iman_MuslimSejati comment: "Ada sebab Tuhan beri kawasan itu bencana. Dekat situ kan ada kilang arak. Hasbunallah wa nikmal wakil. #JauhiMaksiat."


֍──────────֍

Satu jam kemudian, Nur Izza mesej sahabat dunia akhiratnya, Aishah. 

NUR IZZA: Assalamualaikum, anti. Ana ada dapat mesej dari seseorang.

AISHAH: Waalaikumussalam, anti. Mesej dari siapa? Kenapa tu?

NUR IZZA: Ada orang mesej ana. Fasal apa yang ana kata di Twitter tadi. Dia minta ana padam. Dia kata apa yang ana tulis tu tak sesuai waktu sekarang.

AISHAH: Tak sesuai?! Berani dia menidakkan apa yang Tuhan dah kata dalam kitab!!! Anti respon apa lepas tu?

NUR IZZA: Ana kata 'Okay' saja. 

AISHAH: Cuba anti beritahu nama akaun Twitternya. Ana nak tengok orangnya macam mana.

NUR IZZA: Mia_Sarah_1

Ana tengok orangnya tak tutup aurat. Rambut warna warni macam orang barat. Banggalah dapat ikut kafir. 

AISHAH: YA!!! Lepas tu, ada hati dia nak nasihat anti. Dia tak tahu ke anti ni siapa? 

NUR IZZA: Betul tu. Berani dia nak menidakkan apa yang Tuhan dah kata. Akhir zaman agaknya, anti. Orang akhir zaman bukan nak dengar kata tuan guru dan ulamak kita. Mereka lagi persoalkan. 

AISHAH: Betul. Ana setuju dengan anti. Mia_Sarah_1 ni mesti liberal. Tak pun sekular. Ana pernah dengar ceramah, Ustaz Janggut Panjang kata orang macam tu masuk Neraka Jahanam. 

NUR IZZA: Moga kita dihindarkan daripada orang macam tu ya, anti. Ana tak nak ikut dia masuk Neraka Jahanam.

AISHAH: InsyaAllah. Ana yakin, kita kan bertemu di Syurga nanti. Amin.


֍──────────֍

Aishah kemudiannya mesej Iman.


AISHAH: Sayang. Baby ada cerita tak best ni.

IMAN: Cerita tak best? Cerita pasal apa tu?

AISHAH: Tadi kan, baby, ada orang mesej Izza. Dia siap tegur lagi Izza fasal. Dia kata tak sesuai nak retweet ayat macam tu waktu ni. Berani betul perempuan tu.

IMAN: Ouh.... Perempuan? Siapa tu, baby?

AISHAH: Mia_Sarah_1. Baby tengok taklah lawa mana pun. Dah lah free hair, rambut warna-warni. Mujur sayang kenal dengan baby, kan.

IMAN: Betul lah tu, mujur sayang kenal baby. Mana ada perempuan macam baby sekarang ni. Susah nak jumpa. 

Hmm... Okaylah baby, sayang ada hal sikit ni. Kita chat nanti, ya?

AISHAH: Okay, baby. Take care. Muah.

IMAN: Take care too, sayang. Muah banyak-banyak.


֍──────────֍

    Petang itu, Mia Sarah baru saja selesai bungkus makanan untuk mangsa banjir di Pantai Barat Malaysia. Sepuluh minit lagi mereka akan bergerak ke kawasan tempat perlindungan banjir untuk agihkan makanan kepada mangsa banjir. Untuk hilangkan penat,  dia duduk sekejap atas kerusi. Tiba-tiba telefon pintar Mia Sarah berdering. Ada notifikasi. Satu mesej diterima dari @Iman_MuslimSejati.


IMAN: Hai, awak. Nak noty?

MIA SARAH: GILA KE?!

 you have blocked this contact.

 TAMAT

Ulasan

Catatan Popular