Setepek Syurga Di wajahmu - cerpen Amier Suhaimi


    Cuba kita renungi kasih sayang Tuhan kepada manusia yang kebuluran di Afrika dan manusia yang sedang bermandikan peluru, bom dan darah di palestina dan manusia  hilang keluarga, harta benda di kala perang dan manusia yang belum merasai nikmat menjadi kanak-kanak yang dijual, dilacur untuk kepuasan manusia yang punya lebih autoritinya dan manusia yang dinerakakan di dunia dek kerana berbeza fahaman, pegangan dan banyak lagi lah!

Mari kita renungi kasih sayang Tuhan terhadap Basiran. 

֍──────────֍

"Tidak ku minta lahir ke dunia

Tidak ku duga cacat begini

Bukan ku minta kasih dan manja

Bukan ku rayu bantu simpati"

- Freddie Fernandez, Namun Ku Punya Hati.


    Basiran. Kadang-kadang dilihat seorang diri tengah duduk di depan tasik buatan sambil makan kuaci. Entah macam mana dia dapat kuaci tu tapi yang pasti dia makan dengan kulit-kulitnya sekali. Dia suka makannya begitu. Itulah ayat yang akan dia beritahu pada orang-orang asing yang kadang-kadang menyapa dia. Basiran tak tahu yang orang-orang asing itu, yang kemudian memandangnya jelek itu, sebenarnya tak lain tak bukan adalah jiran di kiri kanan rumahnya juga.

Sudah tentu pakcik, makcik, atau sesiapa yang menyapanya selepas itu tak mahu dekati atau anggap dia tak wujud lagi. Siapa yang mahu berkawan dengan budak cacat otak dan nampak tak terurus? Orang-orang sekarang lebih pandang rupa dengan alasan, kalau beli selipar pun mahu yang lawa-lawa apatah lagi mahu berkawan dengan orang. Tambahan lagi, kalau pakcik yang menyapa itu punya isteri, sudah tentu akan kena marah, "Jangan mengada-ngada nak tambah cawangan dengan Ayu janda tu ya! Nak tunjuk baik konon tapi sebenarnya ada udang disebalik mi!"

    Ayu, seorang janda dan jaga (pengawal keselamatan), ada seorang anak lelaki yang ada masalah sel-sel otak tak berhubung sejak kecil, ber-body montok walaupun sudah nak hampir 40 tahun. Sudah tentu digeruni isteri-isteri di kawasan perumahan itu sampai ada yang tak menyapa dia dan apatah lagi anaknya. Takut laki kena kebas, you! Malang tak berbau jadi sediakanlah payung sebelum hujan. Kadang-kadang dia marah pada Tuhan. "Kenapa diletaknya aku dalam situasi begini? Hukuman apakah ini, Tuhan? Tak cukupkah engkau hukum aku dengan terpaksa membela si Basiran yang tak habis-habis menyusahkan aku selalu?" Ayu si janda merintih. Dia lupa. Tanpa wang daripada pihak Jabatan Kebajikan yang diberikan kepadanya setiap bulan untuk biayai Basiran itu belum tentu lagi dia mampu nak beli alat-alat kosmetik mahal untuk dirinya.

Sedang langit bertukar ke warna jingga keungguan, Basiran bergerak pulang ke rumahnya dengan pek kuaci masih di tangan. Sudah tentu Basiran yang naif akan pulang dengan gembira. Maknya akan pulang dari kerjanya nanti dan kalau bernasib baik, dibawa pulangnya makanan untuk dia mengisi perut. "Hehe...Tak a..pa. Ka..lau mm..mak tak bawak ba..lik makanan pun tak a..pa. Bis..sikut ada lagi." Ujarnya seorang diri sambil kepala angguk-angguk kecil dan tersengih-sengih. 

Basiran setia di ruang tamu rumah. Menanti dengan gembira kepulangan maknya. Sesekali dia ketawa kecil, mematikan sunyi dalam rumah itu. Azan maghrib dah lama berkemundang dan langit pula kian gelap. Basiran masih setia menunggu sehinggalah bunyi motorsikal berhenti di depan rumahnya. Itu tandanya yang Ayu sudah pulang.

Ayu pulang dengan berbaju seragam warna putih, bertudung dan berseluar slack warna hitam. Di tangannya tiada plastik berisi bekas polisterin. Nampaknya Basiran tak bernasib baik lagi malam ini tapi bibirnya setia mengukir senyum. "Hehe.. Tak a..pa. Bis..sikut ada. Hehe," Ujar Basiran kemudian memandang maknya yang baru keluar dari bilik setelah siap bertukar pakaian. 

"Mmak mmm dah mmakan, ke?"  

Ayu, yang sekarang berbaju T biru tua dan seluar getah warna hitam, endahkan sahaja Basiran. Dia penat dan tak kuasa nak melayan. Jadi, dihenyakkan saja badannya di atas sofa sambil menonton televisyen. Menguap dan kemudiannya terlelap. Sekarang televisyen yang menonton Ayu manakala Basiran pula mengisi perutnya dengan beberapa keping biskut pemberiaan Hasanah, salah seorang petugas Jabatan Kebajikan yang selalu bertandang ke rumah mereka. Ayu sibuk dengan kerja. Jadi bila wakil dari Jabatan Kebajikan datang menjenguk, hanya ada Basiran saja. Segala benda diluahnya Basiran kepada Hasanah.

֍──────────֍

"Nak tinggal dengan Umi tak?" Pernah Hasanah menyoal pada Basiran. Digelar dirinya sebagai Umi dengan harapan Basiran akan bersetuju mengikutinya. Dia mahu jadikan Basiran sebagai anak angkatnya dan mahu menjaganya. Hasratnya itu membuak-buak lebih-lebih lagi bila Kak Kalsom, jiran sebelah Basiran, kata yang dia selalu dengar suara Basiran yang mengaduh kesakitan dalam rumah malam-malam. 

"Tak nak lah. Nak du..duk dengan mmak."

"Kenapa nak duduk dengan mak?"

"Oghang da..lam TV ka..kata surga tu kat ba..wah kaki mmak!"

Ya Tuhan, kata Hasanah dalam hati. Matanya berkaca-kaca. Dilawan rasa sebaknya sebab dia tak mahu menangis di hadapan Basiran. Selesai urusan sahaja pantas-pantas dia masuk ke dalam keretanya. Air matanya berjujuran jatuh. Sedih. "Ya Tuhan, kau lembutkanlah hati mak Basiran. Aku tak sanggup tengok dia macam tu, Ya Tuhan." Doanya dalam hati.

֍──────────֍

    Ayu bangkit dari tidurnya. Dia pandang Basiran yang sedang nyenyak tidur dekat atas lantai beralas tikar getah. Mulutnya comot makan biskut-biskut dalam bekas tupperware. "Aduh!" Ayu menghela nafas berat. Lantai rumah bersepah dengan biskut-biskut. Geram. Disepaknya belakang badan Basiran. Gedebuk! Basiran bingkas bangun dari tidurnya. Terkejut.

"Hoi, babi! Kau ni kalau melantak tak menyusahkan orang tak boleh ke?" Tengking Ayu. Kuat bunyinya. Ditariknya kasar rambut Basiran. "Kau tak boleh tengok aku senang ke, sial?!"

Basiran yang naif hanya menangis. Takut. Dipeluknya erat sebelah kaki maknya.

"Lepaslah babi. Kau ni dari dulu menyusahkan aku je." Ditolak kasar Basiran dengan kaki yang anaknya peluk itu. Basiran teresak-esak menangis.

"Basiran min...tak maa..ap!"

"Kau ingat dengan maaf kau tu, aku boleh hidup senang ke. Pasal kau lahir lah laki aku tinggalkan aku. Pasal kau lah hidup aku derita, tahu?!"

"Mmmaak...."

"SIAL KAU! HIDUP BUAT BEBANNNNN!" Basiran terpelanting kuat ke dinding. Ayu pula masuk ke biliknya. Pintu biliknya dihempas kuat. Bam!  

"Mmmaakk..." Basiran merintih. Ayu pula dalam bilik tengah high. 

֍──────────֍

    Entah kenapa malam ini semacam tidak senang hati Hasanah. Dia tak dapat tidur dan dengan itu dia capai telefon pintarnya. Buka Facebook. Menatal dari satu cerita ke cerita lain yang dikongsi rakan-rakan. Rata-rata berkongsi tentang anak masing-masing. Anak buat itu, anak dapat ini. Sesekali terbit rasa sedih dan iri dalam hati. Kenapa kau uji aku sebegini, Tuhanku?

"Tak apalah, awak. Belum tiba rezeki kita lagi. Sabar, ya." Kata Faizal, suami Hasanah, semacam mengerti apa yang bermain dalam fikiran isterinya. Dari tempat pembaringannya, Faizal menarik Hasanah supaya dekat dengannya. "Sabar ya." Beritahunya sekali lagi lalu dipeluknya erat Hasanah  sebelum kembali menatap bukunya. 

Ting! Telefon pintar Hasanah berbunyi sambil mengeluarkan notifikasi. Ada mesej dari Kak Kalsom. Dia baca dengan teliti. 

"Cik Hasanah tolong datang rumah Basiran sekarang. Tadi saya dengar dia menangis!" 

Hasanah terkejut bukan kepalang lagi. Dengan pantas dia bangun dari katil, pakai tudung yang terdekat dan terus naik kereta bersama suaminya. 

"Cepat bang! Cepat bang! Ya Tuhan..." Pinta Hasanah pada suaminya. Dalam hati amat berharap yang tiada apa yang berlaku pada budak itu.

֍──────────֍

    Ayu si janda bukan penagih dadah amatur. Dah lama dia terjebak dengan dadah. Stress katanya. Dia mahu lupakan benda-benda sial yang dia hadap setiap hari. Diganggu lelaki tua miang, diumpat kaum hawa di kawasan perumahan dan terpaksa membela anak hasil keterlanjurannya dengan Mat. Jantan tak guna tu dah pergi jauh dari hidup mereka berdua. Masih hidup atau mati pun jantan itu Ayu tak nak ambil peduli. Sebab dialah hidupnya merana. 

"Celaka!" Ayu marah. Hampir sahaja mahu high tiba-tiba rasa pedih. Mulutnya tak henti-henti menyumpah saranah pada orang yang menjual 'barang' itu. "Mesti benda ni dia campur tepung. Babi." Tebak Ayu. Melayang begitu saja wang yang dia dapat dari Jabatan Kebajikan itu. Panas. Tekaknya kering. Ayu kemudiannya keluar dari biliknya dan terus menuju ke dapur. Dia mahu minum segelas air. 

Sekembalinya dia ke pintu biliknya, Ayu terpandang Basiran yang sedang teresak-esak menangis di tepi dinding ruang tamu rumah. "Aduh..." Ayu mengeluh berat nafasnya. Dia, yang rasa serabut bila tengok Basiran, mula dekati anaknya itu. 

"Basiran..."

"Ya mmak..." Basiran yang naif. Dia sahut panggilan maknya lembut. Ustaz dalam TV bagitahu yang syurga itu di bawah tapak kaki mak, katanya. Maknya pula sekarang tengah separuh khayal. 

"KAU BOLEH SENYAP TAK!"  Nah setepek syurga (kaki) melekat di muka Basiran. Geram. Dipijak-pijak muka Basiran. Mulut Ayu meratib makian pada Basiran.

"MAMPUS KAU! MAMPUS KAU!"

Tendang. Terajang. Dikerjakan Si Basiran itu sampai lunyai. Ayu bagai dirasuk syaitan. Basiran tak henti-henti merintih, mengaduh kesakitan dan sesekali meminta Ayu berhenti memukilinya. Tapi apa yang boleh diharapkan bila Ayu tengah khayal lepas ambil heroin? Usai penat mengerjakan Basiran, dia menghenyakkan badannya di atas sofa. Dilihatnya Basiran yang terbaring kaku di lantai simen beralas tikar getah. "Diam pun." Kata Ayu. Puas hatinya. Dia masuk kembali ke biliknya. Dia mahu pergi ke bulan. Tinggalkan nasib yang selalu tak menyebelahinya jauh-jauh di bumi.

֍──────────֍

"AYU!" Jerit Hasanah di depan pintu masuk rumah. Ayu terperanjat.

"Cik Hasanah buat apa datang sini malam-malam. Nak beri bantuan duit ke?" Soalnya bersahaja sambil kepalanya terhuyung-hayang. Serbuk putih atas meja dia sapu cepat-cepat. Takut kantoi!

Terbeliak mata Hasanah. Mukanya merah. Marah. Geram. Inilah saat yang dia nantikan. Dia nak luah apa yang dia pendam selama ni pada perempuan di depannya itu. 

"Sampai hati kau ya. Dia anak kau! Dia sayang ka-" 

Belum sempat Hasanah menghabiskan ayatnya, Ayu mulai memotong. "Eh, memang lah dia anak aku! Jadi, suka hati akulah nak buat apa pun dengan dia. Kau dah kenapa?" 

Dia endahkan saja Ayu. Di biarkan Ayu yang tengah khayal dekat sofa sana. Yang lebih utama adalah menyelamatkan Basiran yang sedang kaku terbaring di atas lantai. Patutlah beberapa hari ni dia berasa tidak senang hati. Ah, sepatutnya Kak Kalsom awal-awal lagi beritahu hal ni atau dia boleh saja beritahu polis terus, kata Hasanah dalam hati. Dia teringatkan alasan Kak Kalsom. Dia sudah tua, katanya. Dan suaminya pula tidak mahu ambil tahu hal rumah tangga orang. Tak fasal-fasal jadi bahan umpatan orang-orang yang tinggal di kawasan perumahan. Ikutkan hati, mahu saja dia carutkan semua warga perumahan ni.

"Cik Hasanah, kalau nak bagi duit, bagi je lah. Kalau setakat datang saja-saja, saya rasa lebih baik cik Hasanah balik rumah." Kata Ayu. Tengah high.

"Diamlah kau!" Jerit Hasanah. Air mata yang mengalir deras itu dia kesat. Dia kejut Basiran beberapa kali namun gagal. "Ya, Tuhan. Basiran bangun. Umi ada dekat sini, Basiran." 

"Basiran." Hasanah mengejutkan Basiran lagi. Cubaanya gagal. Teresak-esak dia menangis. Ayu pula garu kasar kepalanya dengan dua belah tangan. Serabut agaknya dengan drama depan mata.

Siren polis kedengaran diikuti pula dengan siren ambulans tak lama kemudian. Jiran-jiran, yang secara tiba-tiba prihatin, mulai membanjiri kawasan luar rumah. Sensasi! Ayu yang tak sempat lari telah ditahan polis. Tangannya digari. Basiran yang masih kaku di lantai setia dengan Hasanah. Diperiksa nadinya. Tak berdenyut. Matanya berkaca. Hasanah sudah tekan dada Basiran beberapa kali tapi masih tak bangun-bangun. Paramedik kemudiannya mengambil tugas. Diangkut Basiran masuk ke dalam kenderaan besar warna putih dan merah itu. Hasanah menangis. Faizal disisi menenangkannya. Sebelum Ayu dibawa masuk ke dalam kereta polis, Hasanah memandang tepat wajahnya. Pilu dan sedih terbit diwajah pegawai kebajikan masyarakat itu. "Dia sayang kau, Ayu. Sampai hati kau buat macam ni pada dia." Hasanah kata. Tiada apa yang terpacul di wajah Ayu. Rasa bersalah mahupun sedih juga tiada. Kosong. Tak lama selepas itu Ayu dibawa pergi. 

Bunyi siren dari kenderaan polis sudah kedengaran jauh. Jiran-jiran yang tiba-tiba prihatin juga dah lama kembali ke rumah masing-masing. Semuanya meninggalkan Hasanah yang kini di depan rumah Ayu. Dia pandang langit gelap, hela nafas berat dan air matanya dikesat perlahan. "Oh, dunia. Kenapa kau begitu kejam?"

Tamat


Nota pengarang: Sangat sukar untuk menamatkan Setepek Syurga Di Wajahmu. Bagi aku, ianya agak mencabar dek writer's block yang selalu aku akan hadap bila draf cerpen ni dibuka. Sepatutnya cerpen ini diterbitkan pada 8 September lepas tapi perancangan Tuhan itu yang lebih baik. Bila mana anda membuka cerpen ini, tak kisah dalam smartphone atau laptop, akan mengharapkan yang cerpen ini bakal beri anda suatu rasa walaupun ianya tak kena dengan selera anda. Sekian.

Ulasan

Catatan Popular