Apa saya rasa tentang RASA: Review novel Rasa karya Nuril Basri.
"Ketika kita pikir segalanya baik-baik saja, eh malah ada kejadian yang tidak kita duga. Atau ketika kita berpikir segalanya sudah sangat buruk, tau tau sebuah hal baik menghampiri. Atau lebih parah, ternyata hal yang lebih buruk malah terjadi." - Nuril Basri, RASA. (2019)
Ini adalah novel pertama Nuril Basri yang aku telah siap baca. Secara jujurnya aku berpuas hati dengan RASA. Tidak. Berpuas hati tidak cukup... Aku rasa seronok bila berjaya dapatkan dan khatam buku ni! Marvelous!
RASA telah dibahagikan kepada lima tajuk kecil, yang masih menceritakan perihal si watak utama tetapi berlatar tempat yang berbeza. Contohnya, tajuk pertama iaitu KAPAL, menjadikan sebuah kapal persiaran tempat Maya bekerja sebagai latar tempatnya. Macam-macam orang yang Maya telah temui dan kejadian berlaku sepanjang pengembaraannya itu.
Jalan ceritanya menarik. Sama menariknya dengan cara penulis berkisah tentang kehidupan Maya dari awal sampai pengakhiran novel ni. Mudah faham dan kadang-kadang boleh terbahak-bahak ketawa sebab ada babak-babak lucu dan mungkin juga disebabkan gelagat Maya, watak utama dalam RASA, yang kelakar tu (walau lucu tapi ada babak-babak lain yang bisa buat pembaca rasa sedih, dan lain-lain).
Sesungguhnya, saya dapati bahawa RASA berkisah perihal menemui diri - mencari kepuasan, pencapaian dan impian (untuk lari sejauh mungkin dari realiti?). Ia juga berkisah tentang pengalaman. Naratif yang sangat bagus, setiap babaknya membawa aku ke satu fragmen pengajaran kehidupan, dialog-dialognya tak janggal, dan segala perihal karakter di dalamnya diterangkan dengan amat baik sekali.
Ada juga terbit rasa kesian sebenarnya. Tak tahu kesian pada Maya dalam babak-babak tertentu macam ditipu dan mahu minta wang dari ibunya, ataupun kesian pada diri sebab tak tahu apa jadi pada Maya di akhir novel tersebut secara lebih detail.
Membaca RASA bagi aku adalah satu perkara yang mengujakan. Setakat ini, RASA adalah novel kegemaran aku daripada Nuril Basri (aku sedang baca DOSA dan ENAK dalam masa yang sama tapi kedua novel itu tak boleh nak lawan RASA). Naskah ini sangat saya recommendkan kepada mereka yang suka membaca. Ianya ringan, penuh dengan humor, hal-hal romantis dan sedih juga serta pengalaman Maya mengembara yang berharga.
Sekian.
Rate: 4.9/5.0 (kurang 0.1 sebab tak berpuas hati dengan endingnya)



Ulasan
Catat Ulasan